Jabatan Radiologi Menangi Anugerah Kualiti Naib Canselor

Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Abdul Raai Osman


BANGI, 16 April 2012- Jabatan Radiologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dilengkapi teknologi terkini supaya dapat membantu pakar-pakar member rawatan terbaik telah memenangi Anugerah Kualiti Naib Canselor di malam Anugerah Inovasi, UKM yang ke-7 malam ini.

Profesor Madya, Dr Hamzaini Abdul Hamid dan pasukannya telah menerima sijil dan cek bernilai RM10,000 dari Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Jabatan radiologi menyediakan perkhidmatan terkini kepada pesakit selain berfungsi sebagai tempat penyelidikan imej perubatan pesakit dan melatih pelajar menjadi pakar bidang radiologi.

Teknologi yang tersedia di jabatan itu telah membolehkan serangan angin ahmar dikesan awal bagi membolehkan rawatan bersesuaian dapat diberikan. Dalam kebanyakan kes ia telah memainkan peranan penting memulihkan pesakit yang diserang angin ahmar. 

Radiologisnya juga dilatih untuk menyelamatkan pesakit yang mengalami darah beku dalam saluran darah di otak dengan mengeluarkannya menggunakan alat yang di namakan MERCI.

Jabatan Radiologi menerima pengiktirafan tersebut kerana menunjukkan kecemerlangan dari sudut operasi, prestasi dan kepimpinan. Prof Sharifah Hapsah berkata inovasi hanya menjadi inovasi apabila ia berjaya memberi impak positif.

Inovasi adalah tanggungjawab semua warga UKM dan bukannya kepada saintis sahaja. Ini termasuk semua kakitangan dan pelajar.

Sesiapa sahaja yang berjaya mencipta sesuatu yang boleh memudah atau mempercepatkan kerja, mereka juga telah membuat sumbangan.

Beliau berkata impak inovasi tidak harus di pandang rendah kerana ia boleh memberi impak meluas. Prof Sharifah Hapsah menyamakannya sebagai sebutir batu kecil bila dilempar ke dalam kolam akan mengakibatkan alunan yang akan bergerak keseluruhan kolam hingga ke tebing.


Majlis Anugerah Inovasi UKM adalah acara tahunan untuk memberi penghargaan kepada warga UKM. Ia tidak terhad kepada penyelidik sahaja tetapi terbuka kepada semua warga UKM termasuk kakitangan dan pelajar. Anugerah itu bertujuan memupuk budaya inovasi di kalangan mereka.

Lebih dari pada 70 anugerah dalam pelbagai kategori di sampaikan kepada kakitangan akademik, pertadbiran dan juga pelajar UKM.

Hadir di upacara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ir Dr Othman A. Karim, Pengarah Pusat Perancangan Korporat dan Kepimpinan, Prof Dr Noor Inayah Yaa’kub, ketua jabatan, dekan fakulti dan warga UKM.