Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 9 Mei, 2011 – Universiti boleh memainkan peranan penting untuk membendung merebaknya wabak HIV/AIDS di negara ini terutamanya kepada kanak-kanak dan wanita, kata Pro Canselor UKM Tunku Panglima Besar Kedah Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam di sini hari ini.
Beliau telah berucap merasmikan forum serantau Rangkaian UKM- Universiti Asean (AUN) mengenai Tanggungjawab Sosial yang ke Dua bertajuk “Pengetahun untuk Rakyat, Penyelidikan untuk Masyarakat” untuk membincang tanggung jawab sosial yang dipikul oleh Universiti .
Forum 3 hari yang bermula hari ini di Puri Pujangga dalam kampus UKM dengan di dokong Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan the Asia-Talloires Network of Engaged Universities (ATNEU) adalah susulan kepada Forum yang pertama di Burapha University Negeri Thai tahun lalu.
Tunku Safinaz memetik angka Kementerian Kesihatan yang menjangkakan sehingga 300,000 kes jangkitan virus HIV/AIDS akan wujud dalam negara menjelang 2015 kiranya usaha berkesan tidak dilakukan untuk membendungnya.
Beliau berkata kerjasama di antara institusi pengajian tinggi dan agensi seperti UNICEF, badan-badan Amal , kerajaan dan persatuan-persatuan pelajar perlu di wujudkan untuk menangani isu-isu masyarakat seperti jangkitan virus HIV/AIDS.

Beliau memberi contoh kerjasama di antara UKM dan AIESEC (Badan pelajar yang terbesar di dunia) yang telah berjaya memperjuangkan “The Red Project” sebuah projek komuniti yang diterajui oleh belia untuk meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS di kalangan pelajar sekolah, kolej dan universiti di Malaysia.
Universiti, katanya, perlu keluar dari zon selesa mereka untuk melibatkan diri dengan masyarakat. Peranan tradisi mereka sebagai gedung ilmu, pengajaran dan penyelidikan hingga mengasingkan diri dari masyarakat sudah tidak dapat dipertahankan lagi.
Beliau berkata fungsi tradisi tersebut telah menghadkan universiti kepada golongan pelajar dan professor sebagai lingkungan atasan yang tertutup hingga dibahasakan sebagai ujud dalam suasana ‘menara gading’.
Tetapi kini masyarakat di seluruh dunia inginkan akauntabiliti dan mahu melihat pulangan bagaimana pengajian tinggi boleh membantu mereka dalam bidang ekonomi dan sosial.
Universiti perlu memberi sumbangan yang lebih dari hanya mengeluarkan graduan dan penyelidik kepada institusi yang mampu menolong menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat, tambah beliau.
Sebelum itu Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Wira Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin bercakap dalam nada yang sama berkata ilmu yang di garap di universiti perlu dimanfaatkan kepada masyarakat untuk menjadikannya suatu yang bernilai.
Beliau menerangkan kejayaan usaha UKM mentransformasikan peranannya dari sekadar sebuah institusi pengajian tinggi yang juga boleh menyumbang dan berusaha menolong menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.
Salah satu projek yang dapat dilaksanakannya dengan jayanya adalah projek Perkasa Remaja di mana kesemua 62 belia kebanyakannya ‘mat rempit’ telah dihantar ke kem bina diri dan kini telah memperolehi pekerjaan dan menjadi ahli masyarakat yang berguna.
Prof Dr Saran Kaur Gill Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) , Sherine El Traboulsi wakil dari Ma’an Alliance of Arab Universities for Civic Engagement dan penceramah dari pelbagai negara menghadiri forum tersebut yang akan berakhir Rabu ini. ![]()