Kempen Menderma Organ Menarik Ramai Pengunjung

Selasa, 18 Oktober 2011 16:13
Cetak PDF

By Shahfizal Musa
Pix by Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Okt 2011 –Sekurang-kurangnya seramai 3000 orang telah hadir di Majlis Pelancaran Program pendermaan organ di stadium UKM hari ini. Mereka terdiri daripada penduduk di sekitar Hulu langat dan warga UKM.

Kempen untuk mendapatkan lebih ramai orang untuk menjadi penderma organ telah di anjurkan oleh UKM dan Kementerian Kesihatan. Matlamat kempen tersebut adalah meningkatkan kesedaran tentang keperluan untuk menderma organ untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Di Malaysia jumlah mereka yang berikrar untuk menderma organ adalah masih rendah berbanding jumlah pesakit yang memerlukan organ yang baru.

Ia adalah suatu isu yang perlu diperjelaskan kerana ramai yang masih tidak sedar akan kepentingan menderma organ.  

Dengan menjadi penderma organ, ia dapat membantu memberi kehidupan yang baru kepada seseorang. Penderma organ akan berbudi kepada seseorang yang mungkin mereka tidak pernah bersua tetapi ia akan tetap di kenang.

Naib Canselor yang hadir pada majlis tersebut  berucap dalam kata-kata aluannya menerangkan sebab kurangnya penderma organ di negara ini.

Beliau berkata ramai yang keberatan untuk menjadi penderma organ adalah disebabkan perasaan takut, kurang kesedaran, dan tanggapan yang ia adalah bertentangan dengan agama mereka.

Sementara itu Menteri Kesihatan Dato’ Sri Liow Tiong Lai di dalam ucapan perasmiannya menegaskan yang kaum keluarga perlu di maklumkan sekiranya seseorang itu telah berikrar menjadi penderma organ, ini kerana akan mengelakkan penentangan dari keluarga apabila sudah tiba masanya.

 
Terdapat beberapa situasi di mana kaum keluarga tidak bersetuju. Ini menimbulkan masalah di mana organ mereka tidak boleh di ambil walaupun mereka telah berikrar.

Beliau berkata di Malaysia kini terdapat seramai  181,534 orang yang telah mendaftar sebagai penderma organ, 55 % daripadanya adalah dari kaum wanita dan selebihnya adalah dari kaum lelaki. Jumlah yang tertinggi adalah dari kaum belia yang berumur di antara 20 hingga 30 tahun.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Tan Sri Lee Lam Thye berkata subjek pendermaan organ akan dijadikan sebahagian daripada modul kurikulum Kelab Doktor Muda di sekolah rendah.    

Beliau juga memperjelaskan yang pendermaan organ tidak di larang oleh kebanyakan Agama di Malaysia.

Kempen tersebut diharapkan mendapat seramai mungkin orang untuk berikrar untuk menderma organ dari kalangan warga UKM dan orang awam.

Berbagai-bagai aktiviti telah di anjurkan antaranya adalah senamrobik, walkathon dan forum kesedaran.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Prof Ir. Dr Othman Karim Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal pelajar dan Alumni), Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah, warga UKM dan juga orang awam.