Majlis Perasmian Penutup Program Kem PERKASA Siri 4/2012

Cetak PDF

29 Jun 2012

Majlis Perasmian Penutup Program Kem PERKASA Siri 4/2012

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sukacitanya menjemput media bagi acara seperti maklumat di bawah

Acara : Majlis Perasmian Penutup Program Kem PERKASA Siri 4/2012

Tarikh : 2 Julai 2012 (Isnin)

Tempat : Panggung Seni, UKM

Masa : 3.30 petang

Hadir : YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Program PERMATA

YBhg. Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,
Naib Canselor UKM

YBhg. Prof. Dr. Samsudin A. Rahim, Pengarah Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA)

Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail, Ketua Program Kem PERKASA

 

Kem PERKASA Siri 3/2011 telah berlangsung pada 16 Oktober – 30 Disember 2011 dengan penglibatan seramai 39 orang peserta. Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) telah bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menyediakan peserta-peserta dari Projek Perumahan Rakyat Tun Razak. Kem PERKASA siri 4/2012 pula telah bermula dari 16 Mei dan tamat pada 16 Jun 2012 dengan penyertaan seramai 34 orang peserta. Kem PERKASA siri 4 ini dilaksanakan dengan kerjasama dari Jabatan Kebajikan Masyakat, Kementerian Belia dan Sukan dan DBKL.

Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu menyediakan penyertaan peserta. Peserta-peserta terdiri dari 2 kumpulan iaitu mereka yang masih dalam perintah khidmat masyarakat (CSO) seramai 14 orang dan yang selebihnya sudah selesai menjalani perintah khidmat masyarakat dan mereka terlibat secara sukarela. Kebanyakan peserta pernah dicaj dibawah seksyen 42 akta Jabatan Pengangkutan Jalan, iaitu menunggang motorsikal secara merbahaya. Manakala Kementerian Belia dan Sukan membantu memberi input dalam pembangunan kemahiran diri peserta dengan menyediakan penempatan latihan kemahiran serta peluang menyambung pengajian ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). DBKL pula turut menyediakan kira-kira 5 orang peserta yang juga terlibat dalam kes kesalahan lalu lintas.

Dari segi profile sosio-ekonomi, kebanyakan peserta adalah dari kelas sederhana dan miskin, keciciran dalam persekolahan dan terlibat dalam beberapa kes juvana sehingga disabitkan kesalahan di Mahkamah dan menjalani CSO. Peserta-peserta berumur di antara 17 hingga 24 tahun. 32 orang berbangsa Melayu dan 2 orang lagi berbangsa India. Sebahagian besar telah bekerja dan selebihnya menganggur. Data profile psikologi peserta menunjukkan fenomena rempit bersifat ‘tips of iceberg’ iaitu disebalik aktiviti rempit ada banyak gejala sosial lain yang melibatkan mereka iaitu seks bebas, rogol, lepak sepanjang malam, penyalahgunaan bahasa, mencuri, merompak, berjudi dan sebagainya.

Dalam beberapa sesi perkongsian masalah, data menunjukkan kebanyakan mereka datang dari keluarga yang kacau bilau, keluarga yang kurang memberi sokongan, kawalan diri yang lemah dan tidak jelas tentang hidup mereka. Oleh itu, modul-modul yang diterapkan dalam kem memfokus kepada memperkasakan nilai tersebut. Kajian pre mendapati, konsep diri, percaya diri, kemahiran komunikasi, kerjasama, pengawalan emosi dan resilience mereka adalah rendah. Namun selepas tamat kem, data post telah dikutip dan mendapati kesemua aspek tersebut didapati meningkat secara signifikan.

Kem PERKASA Siri 3 & 4 dilaksanakan dengan menggunakan modul berasaskan kem terdahulu yang sudah ditambahbaik dan diperkemaskan lagi dari segi pembangunan emosi, spiritual dan intelektual remaja yang ditekankan secara bersepadu dengan mengunakan pendekatan holistik. Peserta-peserta perlu melalui ke semua modul ini mengikut fasa-fasa tertentu. Peserta perlu melalui fasa pertama iaitu Pembangunan Kendiri yang melibatkan mengenali diri, emosi, mengurus komunikasi berkesan dan pembangunan spiritual. Fasa pertama ini telah dijalankan di Pusat Latihan Polis Bantuan FELDA Bukit Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Seterusnya peserta perlu melalui fasa 2 dengan pengisian modul Pemerkasaan Kendiri.

Dalam modul Pemerkasaan Kendiri, peserta telah menjalani pelbagai aktiviti lasak di antaranya ekspedisi berkayak ke Teluk Sekadeh, ekspedisi berlayar ke Pulau Syawal dan solo kem. Aktiviti fasa 2 ini dijalankan di Outward Bound School, Lumut, Perak. Fasa yang terakhir, peserta perlu melalui modul Kem Tebuka, iaitu Kursus Intensif Teknikal di IKBN. Pendedahan latihan kemahiran diberikan kepada peserta-peserta untuk mewujudkan minat kembali belajar serta memberi kemahiran asas sebagai keperluan pembinaan masa hadapan mereka.

Dengan peluang yang ada, peserta juga dapat memperbaiki kehidupan yang lalu seterusnya menjalani aktiviti-aktiviti sihat dan akan menguntungkan masa depan mereka. Selepas menjalani Kem PERKASA peserta telah menunjukkan tanda-tanda perubahan diri yang positif dan semangat untuk memajukan diri. Sebagai contoh, berdasarkan sesi temubual yang dijalankan dengan peserta-peserta Kem PERKASA 1, 2 & 3, seramai 70% daripada mereka telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai anggota Polis Diraja Malaysia, Polis Bantuan Felda, tukang Masak, jurulatih di Outward Bound School Lumut, manakala bakinya memilih untuk bekerja sendiri dan masih belajar. Bagi yang masih belajar di IKBN terutama peserta-peserta Kem PERKASA siri 3, mereka menunjukkan prestasi yang baik serta menerajui persatuan-persatuan yang terdapat di sana.

##

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Cik Nastura Nasir,
Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Korporat, UKM
017 3198162 (Talian Bimbit), 03 8921 5151 (Talian Terus)

Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya , www.ukm.my , www.ukm.my/newsportal