SYARAHAN PERDANA PROF. DR. MOHD. RAIHAN TAHA

Cetak PDF

 

4 Julai 2012

SYARAHAN PERDANA PROF. DR. MOHD. RAIHAN TAHA

Bahan Nano dan Kejuruteraan Geoteknik : Masalah Besar Penyelesaian Kecil

Kejuruteraan geoteknik adalah penting kerana hampir semua binaan seperti bangunan, jalan raya, jambatan, dan empangan memerlukan asas dibina di atas tanah atau bumi. Struktur geoteknik, contohnya asas cetek, cerucuk, tembok penahan dan cerun telah menjadi bahan kajian yang tradisi dan diketahui umum. Kini, hasil industri yang melibatkan pengurusan sisa dan bahan kimia, struktur geoteknik baru seperti pelapik kambusan, dinding penahan reaktif dan sistem pembersihan tanah muncul.

Sehubungan dengan itu, Prof. Dr. Mohd. Raihan Taha, dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina akan mengupas permasalahan ini dengan lebih mendalam dalam syarahan perdana beliau pada 6 Julai 2012 (Jumaat), jam 8.30 pagi bertempat di Bilik Senat, Canselori UKM.

Menurut beliau, sejajar dengan perkembangan teknologi, nanoteknologi melalui aplikasi bahan nano boleh digunakan untuk membantu kejuruteraan geoteknik mempertingkatkan keupayaan struktur atau sistem geoteknik yang disebutkan di atas.

Nanoteknologi adalah satu bidang yang kini telah sampai di peringkat matang. Kepentingannya agak jelas dengan aplikasi tak terbatas yang merangkumi semua bidang pengetahuan. Dalam bidang elektronik, perubatan, pembuatan, dan tenaga ia boleh dikatakan telah mantap. Walau bagaimanapun, penggunaan nanoteknologi belum lagi dapat dikembangkan sebagaimana sepatutnya bagi kejuruteraan geoteknik. Sememangnya bahan nano telah digunakan untuk pembersihan tanah dan air tanah tercemar, namun penggunaanya boleh diperluaskan.

Evolusi nanoteknologi serta konsep “nano” dalam kejuruteraan geoteknik sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dalam kejuruteraan geoteknik. Ia telah berada dalam himpunan ilmu asas geoteknik untuk sekian lama tanpa disedari bahawa ia berada dalam lingkungan nanoteknologi. Kaitan antara nanoteknologi dan kelestarian juga sangat rapat, oleh itu kelestarian menjadi salah satu tonggak penggunaan bahan nano dalam kejuruteraan geoteknik.

Kajian penyelidikan berkaitan bahan nano dan kejuruteraan geoteknik yang dilakukan di Universiti Kebangsaan Malaysia adalah unik kerana di samping melibatkan pembersihan tanah, penyelidikan pesat juga dilakukan bagi melihat keupayaan bahan nano untuk memperbaiki sifat kejuruteraan tanah.

Ini penting untuk kemungkinan mengaplikasikannya pada struktur geoteknik supaya ia boleh menanggung beban lebih tinggi, terutama akibat perubahan iklim. Hasil kajian sehingga kini menunjukkan tambahan bahan nano boleh meningkatkan prestasi bahan asal, oleh itu berpotensi untuk digunakan secara lebih meluas dalam bidang kejuruteraan geoteknik.

##

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Cik Nastura Nasir,
Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Korporat, UKM
017 3198162 (Talian Bimbit), 03 8921 5151 (Talian Terus)

Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya , www.ukm.my , www.ukm.my/newsportal