::UKM::Laman Utama::

PALAPES UKM DI SANA-SINI

Briged bantuan bencana Banjir

Pada 25 hingga 27 Januari 2008, seramai 18 orang Pegawai Kadet Palapes UKM, telah menyertai program gotong royong membersihkan sekolah yang dilanda banjir di negeri Pahang yang dianjurkan oleh Unit Kebajikan Pelajar . Program yang turut disertai oleh pelajar-pelajar UKM ini dilaksanakan selepas negeri itu dilanda musim banjir yang teruk pada awal tahun 2008. Bagi melicinkan lagi perjalanan program ini, PK Azlan Bin Abas telah dipilih sebagai ketua kumpulan junior PALAPES dengan Lt M Fazzrul dan Lt M Mohd Kamil selaku pembimbing kumpulan ini.

Rombongan ini telah bertolak dari UKM pada pukul 3.00 petang dengan menaiki bas. Perjalanan tersebut mengambil masa lebih kurang 6 jam untuk tiba di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dan pelajar-pelajar UKM ini telah menginap disana untuk semalaman. Perjalanan program ini diteruskan pada keesokan harinya selepas bersarapan. Rombongan UKM telah bertolak pada jam 9.00 pagi dan menuju ke Sekolah Kebangsaan Mambang, Pekan untuk bergotong-royong bersama-sama bagi membersihkan sekolah tersebut yang teruk dilanda banjir. Jarak antara sekolah tersebut dengan UMP adalah tidak berapa jauh kurang dari 20 minit perjalanan. Setibanya di sana para sukarelawan terus membuat persiapan untuk aktiviti gotong-royong tersebut. Antara aktiviti yang telah dilakukan adalah seperti membersihkan lumpur-lumpur di setiap kelas serta aktiviti menceriakan sekolah. Aktiviti gotong-royong tersebut telah selesai pada pukul 4.00 petang dan kesemua sukarelawan telah diberi peluang untuk melakukan aktiviti di bawah pentadbiran masing-masing. Sukarelawan UKM telah menginap semalaman di sekolah tersebut sebelum melakukan aktiviti gotong-royong seterusnya di tempat lain.

Pada keesokan harinya, rombongan UKM bertolak selepas bersarapan menuju ke sebuah sekolah berhampiran Tasik Chini pada jam 0900. Walau bagaimanapun, perjalanan menuju ke sekolah tersebut terpaksa dibatalkan kerana jalan yang menuju ke sana telah runtuh ekoran banjir yang berlaku baru-baru ini. Akhirnya, rombongan membuat keputusan menuju ke jeti yang berhampiran untuk melakukan gotong-royong membersihkan jeti tersebut pada jam 10.00 pagi. Gotong-royong tersebut telah selesai pada jam 1400 dan rombongan sukarelawan bertolak pulang menuju ke UMP sebelum bersiap pulang ke UKM pada hari tersebut.

Aktiviti seumpama ini amat sesuai diamalkan oleh setiap pelajar terutamanya para pegawai kadet PALAPES sendiri. Ini kerana aktiviti seumpama ini bukan sahaja dapat membiasakan mereka dengan masyarakat sekeliling, malah dapat memupuk nilai-nilai kepimpinan dalam diri setiap seorang dari mereka mengenai cara bagaimana untuk berinteraksi dengan orang dibawah tanggungjawab mereka dan juga cara bagaimana untuk berhubung dengan pihak atasan. Dengan aktiviti-aktiviti seperti ini, diharapkan agar segala pengalaman, pengajaran serta maklumat berguna yang di peroleh semasa aktiviti ini berlangsung dapat dimanfaatkan untuk masa-masa akan datang.

........................................................................................................................................................................................................

PROGRAM KONVOI BERBASIKAL DAN LARIAN KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-50

Pada 24-30 Ogos yang lepas, telah berlangsungnya satu program yang berasaskan kemerdekaan iaitu Program Konvoi Berbasikal dan Larian Kemerdekaan Malaysia ke-50 anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM). Program tersebut telah disertai oleh peserta-peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan semua universiti seluruh Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia telah menghantar 100 orang peserta bagi sama- sama menjayakan program tersebut yang mana 70 orang daripada peserta tersebut adalah pegawai kadet-pegawai kadet dari PALAPES UKM.

Program yang berjalan selama satu minggu ini telah membawa pegawai kadet-pegawai kadet tersebut menjelajah ke seluruh pelusuk negara dengan menaiki basikal bagi meluahkan rasa cinta dan sayang mereka kepada negara atas kemerdekaan Malaysia yang ke-50. Program tersebut telah dirasmikan oleh Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dalam satu majlis yang penuh gilang gemilang di UiTM Machang, Kelantan pada 26 Ogos 2007.

Para peserta telah di pecahkan kepada 3 kumpulan iaitu Zon A, Zon B, dan Zon C, dimana setiap kumpulan konvoi ini akan berbasikal melalui beberapa tempat yang berasingan di seluruh negara. Konvoi Zon A telah berbasikal bermula dari Universiti Malaysia Perlis (UniMap) menuju ke UiTM Arau, Perlis. Seterusnya mereka telah menuju ke Politeknik Ungku Omar dan kemudian ke Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tg. Malim. Seterusnya Konvoi ini meneruskan perjalanan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan akhir sekali menuju ke majlis kemuncak iaitu Majlis Penutupan Program Konvoi Berbasikal dan Larian Kemerdekaan Malaysia ke-50 serta Majlis Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-50 di UiTM Shah Alam.

Konvoi Zon B pula telah memulakan konvoi berbasikal mereka dari UiTM Machang menuju ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta UiTM Dungun dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan berakhir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Manakala peserta- peserta Zon C pula telam memulakan konvoi mereka dari UTM Skudai. Mereka seterusnya berbasikal ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Melaka (UTEM), dan setrusnya ke Politeknik Port Dickson. Mereka seterusnya meneruskan perjalanan ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan akhirnya menuju ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program seumpama ini sangat bermakna dan membawa seribu manfaat kepada belia umumnya dan mahasiswa universiti khasnya. Selain menyihatkan badan , program seumpama ini juga dapat memupuk nilai patriotisme dalam diri setiap belia atas kemerdekaan yang telah Malaysia kecapi selama 50 tahun disamping meningkatkan semangat setia kawan dan berdisiplin di kalangan belia masa kini agar tidak terjebak ke dalam perkara yang tidak bermoral.

 
........................................................................................................................................................................................................

Kem Motivasi Junior PALAPES UKM di Pulau Pangkor

Tanggal 7 hingga 9 September 2007, satu Kem Motivasi Junior PALAPES UKM telah diadakan di Pulau Pangkor. Kem motivasi yang berlangsung selama 3 hari ini telah melibatkan Pegawai Tetap, Pegawai Sukarela, RSM serta seramai 70 orang pegawai kadet PALAPES peringkat junior.

Tujuan program seumpama ini diadakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan sesama pegawai kadet peringkat junior serta hubungan antara pegawai kadet dengan pegawai sukarela­- pegawai sukarela. Selain daripada itu, keyakinan serta keberanian para pegawai kadet dapat ditingkatkan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang kem motivasi tersebut.

Penginapan para pegawai kadet telah diasingkan atas beberapa faktor, para pegawai kadet wanita telah ditempatkan di sebuah chalet di pulau tersebut, manakala pegawai kadet – pegawai kadet lelaki telah ditempatkan di dalam khemah di tepi pantai bersama-sama dengan pegawai muda atas faktor keselamatan. Dalam kem motivasi ini beberapa acara telah dijalankan, antaranya ialah ceramah motivasi dari beberapa orang pegawai sukarela. Antara ceramah motivasi yang telah disampaikan ialah ceramah pengurusan masa oleh Kapt. Azahan dan ceramah mengenai kehidupan sebagai Pegawai Kadet oleh Kapt Samsu Adabi. Ceramah-ceramah seumpama ini mampu meningkatkan semangat serta membuka minda para pegawai kadet bagi memikirkan tentang masa depan mereka.

Selain daripada itu, majlis kebudayaan turut diadakan bagi mencungkil bakat pegawai kadet. Para pegawai kadet telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan bagi menyediakan satu persembahan sempena majlis tersebut. Pelbagai reaksi dan aksi para pegawai kadet dapat dilihat pada majlis tersebut. Di samping berseronok dan bergembira ketika majlis kebudayaan itu, hubungan antara pegawai kadet dapat dieratkan.

Kem tersebut telah berakhir pada pukul 1 tengahari 9 september 2007, dan kemudian semua peserta bertolak balik ke UKM. Di pelabuhan Lumut peserta-peserta telah di benarkan membelli-belah sebelum menaiki bas untuk kembali ke UKM.

 
........................................................................................................................................................................................................

LAWATAN MUHIBBAH KE KEM-KEM TENTERA

PALAPES UKM telah mengadakan satu lawatan muhibbah ke beberapa kem tentera pada 14-16 Januari 2008. Lawatan yang berlangsung selama 3 hari itu telah melibatkan seramai __ orang pegawai kadet PALAPES UKM peringkat senior, intermediate dan junior. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Mejar Hamalek B Adam, Ketua Jurulatih PALAPES UKM ketika itu, dan PW 1 Abdul Rahim B. Mat Hasyim, RSM PALAPES UKM.

Seawal jam 0700 pada 14 Januari 2008 mereka telah bertolak menuju ke Kem 6 Rejimen Asktar Melayu Di-Raja, Kepala Batas, Kedah. Setibanya di kem tersebut, mereka telah diberi sedikit taklimat berkenaan aktiviti serta operasi yang dijalankan oleh Kem 6 RAMD. Selepas itu, mereka bergerak ke Kem Tok Jalai dan menginap di sana. Pada sebelah malamnya mereka telah dibawa bersiar-siar di sekitar Kuala Perlis.

Keesokan harinya mereka telah bertolak ke Kelantan untuk melawat Kem Wataniah 301 Tanah Merah, Kelantan (kini dikenali sebagai Rejimen Sempadan). Kemudian mereka bertolak ke Pahang menuju ke Kem 12 RAMD Mekanise Bt. 10 Kuantan, Pahang. Dalam perjalanan tersebut mereka sempat berhenti seketika di Jerteh sebelum meneruskan perjalanan semula.

Setibanya mereka di kem tersebut, mereka telah di beri sedikit jamuan dan telah diberi bilik untuk mereka berehat sebelum menyambung semula lawatan mereka. Pada 16 Januari, mereka telah bertolak ke Cawangan Latih 1 Armor Di Raja. Disana mereka telah diberi sedikit talimat mengenai RAMD serta taklimat mengenai kereta perisai ADNAN ACV300 . Rombongan PALAPES UKM kemudian dipersembahkan dengan demonstrasi kereta perisai ADNAN ACV300 oleh Kor Jurutera, Letrik dan Jentera Diraja(KJLJD) pada waktu tengah hari. Para pegawai kadet turut dapat merasai pengalaman menaiki kereta perisai tersebut.

Pada pukul 1400 mereka telah bergerak menuju ke Pengkalan TLDM Tg. Gelang, Kuantan. Di sana mereka telah di bawa melawat sekitar kawasan pelabuhan dan antara kawasan yang sempat mereka lawati ialah Jabatan BOMBA TLDM, Kapal KD Hang Tuah, serta Kapal KD Jebat. Disana mereka telah didedahkan dengan pelbagai alatan serta fungsi-fungsi alatan tersebut ketika sesebuah kapal itu belayar dan ketika berlakunya peperangan. Lawatan di pelabuhan ini mengambil masa hampir empat jam, setelah selesai lawatan ini, mereka telah bertolak balik ke UKM.

Program seperti ini sangat bermakna kepada pegawai kadet-pegawai kadet PALAPES UKM kerana dengan adanya program seperti ini, mereka dapat menimba ilmu serta menambah pengalaman baru yang sukar untuk diperolehi di tempat lain. Diharapkan agar program-program seperti ini menjadi acara tahunan bagi PALAPES UKM, di samping program ini juga dapat menarik minat para pegawai kadet untuk lebih bersemangat bergiat dalam aktiviti ketenteraan seperti PALAPES.

 
........................................................................................................................................................................................................

Kem Tahunan PALAPES UKM DI Kongkoi Kuala Klawang, Jelebu

Pada 10 Disember 2008 hingga 18 Disember 2008, PALAPES UKM telah mengadakan Kem Tahunan yang melibatkan ketiga-tiga peringkat junior, intermediate, dan senior di Kongkoi, Kuala Klawang,Jelebu. Seramai 289 orang Pegawai Kadet PALAPES telah terlibat dalam Kem Tahunan tersebut yang melibatkan 118 orang Pegawai Kadet peringkat junior, 80 orang Pegawai Kadet peringkat intermediate dan 84 orang Pegawai Kadet peringkat senior bersama dengan pegawai latih,jurulatih dari setiap peringkat dan Pegawai Muda. Sebelum konvoi PALAPES UKM bertolak ke sana, satu skuad pendahuluan seramai 20 orang yang diketuai oleh Pegawai Kadet Azlan B. Abas telah bertolak terlebih dahulu pada 9 Disember 2008 ke Kem Kongkoi untuk memasang khemah serta menyediakan segala kelengkapan bagi konvoi yang akan datang pada keesokan harinya.

Pada jam 0800, konvoi PALAPES UKM telah bertolak dari Panggung Seni, UKM dan tiba di sana pada jam 1000 selepas 2 jam perjalanan. Selepas konvoi tiba di Kem Kongkoi, ketiga-tiga peringkat mula berpecah menuju ke tempat latihan masing-masing. Pegawai Kadet peringkat intermediate dan senior berpecah untuk bergerak menuju ke hutan yang ditetapkan manakala pegawai-pegawai kadet peringkat junior ditempatkan di Kem Konkoi sebagai menyediakan sokongan seperti menyediakan makanan dan memberi bantuan kecemasan kepada kepada pegawai-pegawai kadet yang cedera kepada pegawai-pegawai kadet peringkat intermediate dan senior sepanjang perkhemahan tahunan tersebut.

Sepanjang perkhemahan tahunan tersebut, pegawai-pegawai kadet peringkat intermediate dan senior mempraktikkan segala ilmu yang diajar sepanjang latihan lanjutan selama 10 hari sebelum ini. Pegawai-pegawai kadet peringkat intermediate menjalani latihan dengan melakukan 4 fasa iaitu fasa mara, serangan, pertahanan dan pengunduran. Pegawai-pegawai kadet peringkat junior turut membantu mereka menjalani latihan tersebut dengan menjadi ’musuh’ seperti melakukan serang hendap dan pertahankan kubu, disamping mempraktikkan perang melawan insurgensi (PMI) serta berjalan sejauh 15km bersama raifal M16 A1. Pegawai kadet peringkat junior juga telah menghadiri kelas-kelas taktik dan membuat lawatan ke pusat serenti yang berhampiran.

Kemuncak latihan tersebut ialah fasa serangan yang dilaksanakan oleh pegawai kadet peringkat senior ke atas pegawai kadet peringkat intermediate yang akan melaksanakan fasa pengunduran. Dalam latihan tersebut, pegawai kadet peringkat senior melakukan serangan keatas pegawai kadet peringkat intermediate yang sedang berkubu di sebuah bukit pada jam 0700. Latihan yang berlangsung selama lebih kurang 15 minit turut disaksikan oleh Ketua Jurulatih PALAPES UKM, Mejar Hamalek B. Adam dan pegawai-pegawai kadet peringkat junior. Latihan tersebut berjalan dengan lancar dan pegawai-pegawai kadet dari kedua-dua peringkat berjaya melakukan simulasi latihan tersebut. Hal ini disuarakan oleh Mejar Hamalek yang memuji pegawai-pegawai kadet peringkat intermediate dan senior yang berjaya melaksanakan latihan mereka. Kesemua pegawai-pegawai kadet PALAPES pulang ke Kem Kongkoi untuk membuat persiapan sebelum pulang ke UKM pada hari tersebut.

 
.......................................................................................................................................................................................................

Minggu Suai Kenal Pegawai Kadet

Minggu Suai Kenal Kadet bermula pada 16/03/2008 hingga 18/03/2008. Pendaftaran pegawai kadet Palapes Peringkat Junior bermula pada jam 1700. Aktiviti seterusnya bermula pada jam 2000, di mana pegawai kadet peringkat junior telah berkumpul di Bilik Memorial Kolej Tun Hussein Onn, bagi mendengar taklimat tentang objektif dan perjalanan program minggu suai kenal kadet daripada Ketua Pengarah Minggu Suai Kenal Sesi 2007/2008, PKW(Kpl) Nur Dalila Bte Azmi.

Pada keesokan harinya, pada jam 0830H satu majlis perasmian telah dilakukan di dewan kuliah 3B202 di Falkulti Sains Sosial dan Kemanusiaan oleh Pengetua Kolej Tun Hussein Onn yang juga merupakan Ketua Cawangan Latih, Mej Dr Nasir Bin Saludin. Selepas ucapan perasmian tersebut ,para pegawai kadet berehat sebentar untuk menikmati minum pagi pada jam 1000. Selepas minum pagi, pegawai kadet peringkat junior berkumpul kembali di dewan kuliah untuk mendengar taklimat program yang akan datang oleh PKW(Kpl) Nur Dalila Bt Azmi.

Pada jam 1300H,pegawai-pegawai kadet pulang ke kolej untuk menikmati makanan tengah hari dan menguruskan diri masing-masing. Majlis bermula semula pada 1400, dan pada 1500H telah disampaikan taklimat tentang etika pemakaian daripada PWI Rahim Bin Mad Hashim. Pada 1700H semua kadet junior diarahkan untuk turun ke gelanggang sepak takraw untuk aktiviti sukan. Pada 2000H hingga 0001H telah diadakan majlis interaksi bersama Pegawai Kadet peringkat intermediate. Dalam majlis ini pelbagai buah fikiran dan pengalaman yang dikongsikan oleh Pegawai Kadet peringkat intermediate kepada Pegawai Kadet peringkat junior.

Pada hari Ahad, jam 0400H semua Pegawai Kadet peringkat dijemput ke surau kolej untuk menunaikan solat tahajjud dan solat hajat secara berjemaah. Kemudian semua hadirin telah bersama-sama menunaikan solat subuh secara berjamaah dan telah disampaikan tazkirah subuh oleh seorang jemputan khas dari luar. Pada 0700H semua Pegawai Kadet peringkat Junior diarahkan ke ke Dewan Gemilang untuk melakukan aktiviti senaman pagi dan tarian poco-poco selama lebih kurang 2 jam.

Selepas itu semua peserta telah pulang semula ke kolej untuk bersarapan pagi. Seterusnya ialah taklimat daripada Lt M Fazzrul Hisyam B. Abd Razak mengenai pengurusan masa. Antara pekara yang diutarakan dalam taklimat ini ialah begaimana untuk menguruskan masa dengan bijak sebagai pelajar dan dalam masa yang sama sebagai Pegawai Kadet. Selepas habis taklimat tersebut, peserta telah diberi tugasan untuk mengadakan persembahan kumpulan pada malam Isnin.

Pada jam 2000H telah berlangsungnya majlis interkasi bersama Pegawai muda serta Pegawai Kadet peringkat senior. Dalam majlis ini lebih banyak informasi serta input yang berguna yang telah disampaikan oleh mereka yang harus diberi perhatian sewajarnya oleh Pegawai Kadet-Pegawai Kadet peringkat junior, dimana mereka banyak menekankan mengenai semangat setiakawan, kekuatan mental serta hormat menghormati sesama rakan dan juga orang yang lebih tua dan berpengalaman.

Selepas itu telah berlangsungnya persembahan daripada Pegawai Kadet Junior mengikut kumpulan. Seterusnya ialah persembahan multimedia yang telah disediakan oleh pegawai kadet peringkat Intermediate. Untuk upacara kemuncaknya telah diadakan majlis meraikan hari lahir pegawai kadet yang telah lahir pada bulan 3 dan sebagai acara terakhir telah diadakan majlis penutupan.

 
.......................................................................................................................................................................................................

Majlis Koktail Peringkat Intermiediate

Pada 12 Mac 2008, Majlis Koktail Pegawai Kadet PALAPES UKM Peringkat Intermediate telah berlangsung di Hotel Royal Adelphi, Seremban. Majlis ini telah disertai oleh 80 orang Pegawai Kadet Peringkat Intermediate dan 12 orang tetamu yang lain turut menghadiri majlis tersebut yang terdiri daripada pegawai-pegawai serta jurulatih-jurulatih PALAPES. Antara dif-dif kehormat yang hadir ialah Mejar Hamalek B Adam, Ketua Jurulatih PALAPES UKM, Mejar Dr Mohamad Nasir B. Saludin, Ketua Cawangan Latih UKM, dan PW 1 Abdul Rahim B. Mat Hasyim, RSM PALAPES UKM.

Majlis Koktail yang diadakan ini sebenarnya merupakan salah satu daripada aktiviti yang dijalankan oleh wisma dalam Angkatan Tentera Malaysia. Kebiasaannya, majlis ini diadakan pada waktu malam di hotel-hotel dan merupakan salah satu majlis yang tidak terlalu rejimental dan lebih bersifat ramah mesra. Tujuan penganjuran Majlis Koktail ini adalah sebagai memenuhi silibus pembelajaran Pegawai Kadet Palapes

Peringkat Intermediate. Selain itu, aktiviti ini dapat melatih pegawai kadet dalam kemahiran bersosial dalam tentera di samping mewujudkan pegawai yang berkemampuan dalam mengendalikan majlis-majlis formal di masa akan datang. Majlis bermula pada pukul 8.00 pm dan berakhir pada pukul 11.00 pm dengan jayanya .

Mejar Hamalek B Adam dalam ucapannya di Majlis Koktail secara peribadi telah memuji komitmen yang telah ditunjukkan oleh Pegawai Kadet Peringkat Intermediate dalam menjayakan acara tahunan ini. Sekalung tahniah kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan Majlis Koktail ini.

 
.......................................................................................................................................................................................................

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jurulatih

Pada 23 Mei 2008, telah diadakan satu Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jurulatih PALAPES UKM. Majlis ini telah diadakan di Dewan Gemilang, UKM sempena perpindahan keluar Ketua Jurulatih PALAPES UKM Mejar Hamalek Bin Adam, ke Kementerian Pertahanan. Tempat beliau kini telah di gantikan oleh Lt. Kol Jury Bin Tasrifan.

Majlis tersebut telah mula berlangsung seawal jam 0730 pagi dimana semua Pegawai Kadet PALAPES UKM dari ke tiga-tiga peringkat telah berbaris di dataran Dewan Gemilang. Bagi mengelakkan berlakunya kesilapan sepanjang majlis tersebut, PW 1 Abdul Rahim Bin Mat Hasyim, RSM PALAPES UKM telah mengadakan sesi raptai pada pagi tersebut.

Pada jam 0830, semua pegawai kadet dan jurulatih telah berbaris di dataran tersebut dan menanti ketibaan Mejar Hamalek selaku orang yang dirai dalam majlis tersebut. Beliau telah meberi sedikit nasihat kepada semua Pegawai Kadet dan jurulatih PALAPES UKM. Dalam ucapan tersebut beliau banyak menekankan mengenai hidup berdikari. Sebagai seorang pemimpin kita haruslah bersedia atas apa juga keadaan, sama ada keadaan yang memaksa atau terdesak kita haruslah berfikir secara rasional dan sentiasa mengambil berat terhadap orang di bawah tanggungan kita.

Selesai sahaja ucapan dari Ketua Jurulatih itu, beliau telah menerima cenderahati dari wakil Pegawai Kadet, PRM Mohd Razmil Bin Razak. Kemudian majlis di teruskan lagi dengan ketibaan Ketua Jurulatih PALAPES UKM yang baru iaitu Lt Kol Jury Bin Tasripan. Setibanya beliau ke Dewan Gemilang tersebut, upacara menandatangani surat serah terima tugas Ketua Jurulatih PALAPES UKM dijalankan. Upacara yang penuh bermakna ini di saksikan oleh lebih 200 orang pegawai kadet serta hampir 30 orang jurulatih serta staff-staff PALAPES UKM.

Upacara serah terima tugas ini kemudiannya diteruskan dengan penyerahan tongkat kuasa oleh Mejar Hamalek Bin Adam kepada Ketua Jurulatih PALAPES UKM Lt. Kol Jury Bin Tasrifan. Dengan sempurnanya upacara penyerahan tongkat kuasa ini maka secara rasminya Lt. Kol Jury Bin Tasrifan akan berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih di PALAPES UKM.

Sejurus selepas itu, beliau telah menyampaikan sedikit pesanan yang amat bermakna kepada semua pegawai kadet, jurulatih dan staff-staff yang berkhidmat di PALAPES UKM ini. Antara perkara pokok yang di sampaikan oleh beliau ialah 5 prinsip yang ingin beliau tekankan dalam organisasi PALAPES UKM ini iaitu, disiplin, taat setia, kepimpinan, setia kawan serta keimanan. 5 prinsip ini andai diamalkan oleh setiap individu dalam sesuatu organisasi maka dengan izin tuhan organisasi tersebut pasti akan beroleh kejayaan dalam apa jua bidang tugas yang mereka ceburi.

Dengan berakhirnya ucapan dari Ketua Jurulatih PALAPES UKM yang baru itu, maka berakhirlah Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jurulatih PALAPES UKM. Dengan pucuk pimpinan yang baru ini, diharapkan agar Organisasi PALAPES UKM ini akan lebih mantap serta lebih maju di masa akan datang.

 
PALAPES Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi Selangor, MALAYSIA. Tel: +603 8921 5555/3045, e-mail: palapes@ukm.my
Hakcipta © Universiti Kebangsaan Malaysia 2009