Pengenalan

Program ini meliputi dua disiplin iaitu Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi (PDR). Pengimejan Diagnostik berkaitan penghasilan imej tubuh manusia bertujuan mendiagnosis keabnormalan, memantau kesihatan pesakit dan memperolehi maklumat penapisan perubatan dengan menggunakan pelbagai modaliti seperti radiografi am, ultrabunyi, tomografi berkomputer (CT), pengimejan resonans magnet (MRI) dan pengimejan radionuklid. Radioterapi pula berkaitan perancangan dan pemberian rawatan penyakit terutamanya kanser dengan menggunakan sinaran mengion berkuasa tinggi seperti sinar X daripada pemecut linear, sinar gamma dan bim elektron. Bidang ini juga melibatkan perancangan rawatan, simulasi dan dosimetri. Kedua-dua profesion ini memerlukan gabungan kemahiran teknikal dan saintifik serta minat untuk berkhidmat kepada pesakit.

Program ini dibentuk dengan memperkenalkan kepada pelajar asas sains perubatan pada tahun pertama diikuti dengan kursus profesional pada tahun kedua dan seterusnya. Latihan klinikal bermula pada tahun kedua pengajian. Pada permulaan, pelajar-pelajar akan memerhati dan melakukan prosedur dibawah tanggungjawab penyelia klinikal dan seterusnya berupaya untuk bekerja dengan bimbingan yang minimum. Pelajar juga dikehendaki untuk melakukan penyelidikan pada tahun akhir pengajian dibawah bimbingan penyelia di dalam pelbagai bidang yang berkaitan. Program ini mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).