| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Umum | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 

 

..

Buku ini telah dilancarkan 
oleh YBhg. Tan Sri 
A. Samad Ismail 
di Petra Jaya pada
2 April 1997.

Warisan Seni Bina Melayu.  1998.  SBN 967-942-343-3. RM100.00.  Abdul Halim Nasir (N.A. Halim) & Wan Hashim Wan Teh 

Aspek estetika rumah Melayu terpancar pada reka bentuknya yang indah, bermula dari halaman yang redup oleh pepohon bunga dan ulaman, lewat tangga yang tersusun, anjung yang nyaman, serambi yang luas serta bilik dan dapur yang selesa. Konsep rumah Melayu ini kemudian dikembangkan kepada istana, masjid dan surau. Aspek kekuatan pada seni bina orang Melayu pula terlihat pada binaan kota-kotanya yang besar dan tegap yang kekal hingga ke hari ini. Orang Melayu juga amat kuat berpegang kepada adat dan suruhan serta tegahan agama Islam. Dengan demikian kita dapat melihat seni bina masjid yang indah di seluruh Alam Melayu. Keindahan seni bina Melayu yang awal ini dapat dikesan melalui epigrafi Islam pada nisan-nisan yang awal. Kreativiti minda bangsa Melayu yang diwarisi oleh tukang-rukang yang mahir ini telah menghasilkan reka bentuk seni bina yang bukan sahaja indah malahan halus dan kaya dengan falsafah yang tersirat tetapi mudah difahami. Tradisi ini tidak lagi dapat bertahan dalam arus pemodenan bangsa Melayu dan haruslah dikekalkan dalam bentuk yang kekal dan selamat. Buku ini adalah rakaman pencapaian bangsa Melayu dalam kemahiran dan kepandaian menghasilkan seni bina serta reka bentuk rumah, istana, masjid dan bangunan lain yang sangat akrab dengan kehidupan bangsa Melayu sejak berabad-abad lamanya. Semua ini adalah untuk tatapan kita dan generasi akan datang.

ABDUL HALIM NASIR adalah Karyawan Tamu di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengalaman beliau selama dua puluh tiga tahun dengan Muzium Negara telah menjadikan beliau seorang peneliti, pengkaji dan penulis yang baik dalam seni bina terutama yang mencakup soal tradisi dan estetika. Beliau telah menghasilkan banyak karya. Sebuah daripadanya, Seni Bina Masjid di Dunia Melayu - Nusantara (1995) diterbitkan oleh Penerbit UKM. Buku ini dihasilkan semasa beliau bertugas sebagai Karyawan Tamu di ATMA.

WAN HASHIM WAN TEH Ph.D. adalah Profesor Antropologi Budaya, di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah menghasilkan 20 buah buku, sebahagian besarnya mengenai aspek Sosioekonomi dan Budaya Masyarakat Melayu termasuk budaya material. Empat buah buku beliau sebelum ini dengan Penerbit UKM ialah A Malay Peasant Community in Upper Perak (1979), Kesedaran Kelas dan Konflik dalam Sebuah Komuniti Nelayan (1981), Sains Sosial dari Perspektif Islam (1994), (Cetakan Kedua) dan Peasants Under Peripheral Capitalism (1995) (Cetakan Kedua).