| | Menu Utama | Buku & Monograf | Syarahan Perdana | Buku Terbaru | Indeks Pengarang | |
Pengurusan alam sekitar di negara
ini telah dimulakan sejak beberapa dekad yang lalu. Langkah pengurusan
yang dilaksanakan pada sebahagian besarnya melibatkan cara perundangan
yang didasarkan kepada peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan. Langkah
pengurusan yang lebih proaktif dan terarah hanya dilaksanakan setelah tertubuhnya
Jabatan Alam Sekitar beberapa tahun setelah Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu
tentang Persekitaran Manusia di Stockhold. Sejak peningkatan kemajuan sektor
industri pembuatan pada dekad 1970 masalah alam sekitar bukan hanya semakin
bertambah, tetapi juga semakin pelbagai. Pengenalan langkah perancangan
yang menitik-beratkan input alam sekitar dalam pembangunan sesuatu projek,
terutamanya melalui penilaian impak alam sekitar dan diikuti pula dengan
penerapan konsep pembangunan berterusan pada bahagian akhir dekad 1980
telah sedikit sebanyak mempengaruhi hala tuju pengurusan dan juga kualiti
alam sekitar di negara ini. Walaupun wujud kegagalan dan banyak juga kemajuan
yang telah dicapai dalam langkah menguruskan alam sekitar di negara ini,
masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjamin supaya kualiti alam sekitar
tidak mengalami kemerosotan yang lebih teruk. Peningkatan globalisasi terutamanya
dalam hubungan perdagangan dan urusan-urusan antarabangsa yang lain selepas
Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu tentang Alam Sekitar dan Pembangunan
di Rio de Janeiro telah menawarkan satu bentuk pengurusan alam sekitar
yang lebih mencabar. Pengenalan Sistem Pengurusan Persekitaran melalui
siri standard ISO 14000 dan juga pengaplikasian penilaian risiko alam sekitar
semestinya akan menjadikan pengurusan alam sekitar sebagai satu agenda
penting yang memerlukan penyertaan semua pihak untuk menerokai alaf baru.