..
|
Pendidikan
Bahasa Melayu: Antara Hasrat dengan Perlaksanaan. 2002.
ISBN 967-942-588-6. 64 hlm. RM15.00.
Juriah Long
Abstrak
Negara kita telah mencapai kemerdekaan
lebih daripada empat dekad. Selama itu pihak kerajaan dan pejuang bahasa
berusaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi
negara dan bahasa pengantar ilmu seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan
dan Perundangan Malaysia. Namun demikian pelaksanaan dasar bagi merealisasikan
matlamat tidak berjalan dengan licin. Ini kerana hasrat yang telah dipersetujui
dalam dasar dan akta terpaksa diubah suai dan dilaksanakan mengikut tuntutan
semasa, sehingga para pengkaji dan pengamal dasar berada dalam keadaan
keliru. Para pengamal dasar pula mendapati kelemahan-kelemahan tertentu
yang sukar di atasi pada peringkat pelaksanaan. Pembentangan ini cuba meneliti
hasrat dasar bahasa yang terkandung dalam Perlembagaan dan Dasar Pendidikan
Kebangsaan dan kemudian menilai sejauh mana pelaksanaan pengajaran bahasa
Melayu dapat merealisasikan hasrat tersebut. Skop pembentangan
ini terbatas kepada tiga persoalan utama. Pertama, apakah hasrat Dasar
Bahasa Kebangsaan dan Pendidikan Bahasa Kebangsaan yang terkandung dalam
Perlembagaan dan Perundangan Malaysia? Kedua, sejauh manakah Dasar Bahasa
Kebangsaan dan Pendidikan bahasa Melayu dilaksanakan selepas negara mencapai
kemerdekaan yang merangkumi zaman awal pascakemerdekaan, zaman reformasi
pendidikan, dan era globalisasi dan teknologi maklumat memenuhi hasrat
tersebut? Ketiga, apakah agenda pendidikan bahasa Melayu
yang masih belum selesai dan perlu dijadikan agenda penting pada abad ke-21
bagi memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar
ilmu dan pembina tamadun bangsa? Kerangka teori jurang digunakan sebagai
panduan bagi membincangkan perbezaan
antara hasrat dan pelaksanaan dasar serta mengenal pasti keperluan yang
wajar dipenuhi bagi memastikan matlamat dasar tercapai.
Hasil penelitian menunjukkan
bahawa hasrat Dasar Bahasa Kebangsaan dan Pendidikan Kebangsaan yang termaktub
dalam Perlembagaan dan Perundangan Malaysia ialah: bahasa Melayu adalah
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan pengantar utama dalam sistem pendidikan.
Namun, dalam pelaksanaan dasar
sejak zaman selepas merdeka hingga masa kini, pencapaian pelaksanaan tidak
selaras dengan hasratnya. Bukti-bukti menunjukkan bahawa terdapat jurang
antara hasrat dengan pelaksanaan dasar di institusi pendidikan awam dan
swasta. Kualiti pendidikan bahasa serta produknya tidak sampai tahap yang
boleh dibanggakan. Kadangkala, kita berhadapan dengan guru-guru yang tidak
berketrampilan untuk mengajarkan bahasa Melayu terutama di sekolah-sekolah
Jenis Kebangsaan dan di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Tambahan pula,
sesetengah kumpulan pendidik dan pelajar menganggap penguasaan bahasa Melayu
standard tidak penting. Selain itu,
penekanan kerajaan terhadap kepentingan
bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan pada abad ke-21 meneguhkan sikap
negatif sesetengah pihak terhadap bahasa Melayu. Namun, golongan pelajar
dan pekerja yakin bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris berperanan dalam
pembangunan sumber manusia pada abad
ke-21. Justeru, penyelesaian masalah utama dalam pendidikan Melayu khususnya,
dari segi asas bahasa dan pedagogi bahasa dan masalah kualiti bahasa Melayu
yang digunakan oleh para guru dan pelajar, masalah ketrampilan guru bahasa
Melayu khususnya, dari segi asas
bahasa dan pedagogi bahasa dan masalah kualiti pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu di institusi Pendidikan Tinggi Swasta. Masalah-masalah inilah
yang menjadi 'duri dalam daging' dalam pendidikan bahasa Melayu, di samping
masalah sikap pelajar,
guru dan pelaksana dasar di peringkat makro dan mikro. |