| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Kesusasteraan | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
.
.. Pegangan Pementasan Drama.  ISBN 967-942-605-x. 184hlm. RM25.00.  Kalam Hamidi

Kalam Hamidi berpengalaman sebagai pelakon, pengarah dan penulis skrip drama dan teater. Oleh itu, buku ini ditujukannya kepada mereka yang ingin menjadi pelakon, pengarah dan penulis skrip. Kalam sebagai orang lama, memberikan banyak petua, pedoman serta nasihat yang dapat dijadikan pegangan oleh pendatang baru dalam bidang seni lakon. Kepada Kalam, berlakon mendidik jiwa menjadi berani, yakin dan percaya kepada diri sendiri. Lakonan melatih kita menjadi manusia yang bertanggungjawab dalam melakukan tugas berat dan sukar. Manusia seniman dapat melahirkan rasa seninya dalam pelbagai bentuk misalnya melalui lakonan. Bakat adalah anugerah Allah, maka seniman tidak boleh terlalu bangga atau sombong dengan kebolehannya itu. Kalam menjelaskan pelbagai jenis drama termasuk tonil, opera, bangsawan, sandiwara, citrawara, purbawara, jenakawara, pantomim, tablo dan teater. Selain menggariskan beberapa ciri yang perlu ada pada diri pelakon, Kalam juga mewajibkan seseorang pengarah itu mesti berpengetahuan tentang drama, berpengalaman dalam selok belok drama, berbakat dalam memimpin, dapat meyakinkan pelakon, serta dapat bertindak secara berpsikologi. Pengarah mesti mengkaji sesuatu cerita, pandai memilih pelakon, melatih pelakonnya, merangka rajah dekorasi serta mencari idea bagi menimbulkan sesuatu kesan khas dengan pelbagai teknik. Bagi pedoman menghasilkan skrip drama, Kalam menampilkan tiga buah skrip ciptaan beliau: Nyiur Gading Puncak Mahligai; Kasanova dan Anak Nazar Tujuh Keramat. Skrip-skrip ini mewakili drama purbawara dan moden.

KALAM HAMIDI, sebelum ini menghasilkan Memoir Kalam Hamidi: Dari Panggung Victoria ke Istana Budaya (Penerbit UKM, 2001). Beliau selain berpengalaman berlakon dan mengarahkan drama, banyak juga menghasilkan skrip drama. Selain giat mengusahakan perniagaanya, Kalam juga gemar mengembara. Travelognya diterbitkan dengan judul Oh! Fatamorguna: Kembara Ke Eropah, Acheh dan Irian Jaya (Penerbit UKM, 2003).



140403