| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Ansos | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
.. Pembangunan dan Kesejahteraan: Agenda Kemanusiaan Abad Ke-21.  (Syarahan Perdana). 2003.  ISBN 967-942-639-4.  RM15.00.  ABDUL RAHMAN EMBONG

Sejak 50 tahun lebih ini, persoalan kemunduran dan pembangunan telah menjadi tema utama dalam perdebatan ideologi dan teori serta menjadi keperluan dasar di negara-negara yang baru merdeka. Dalam bidang pengajian pembangunan terdapat pertentangan tajam di antara pelbagai aliran pemikiran, khususnya di antara teori modenisasi dan neoliberalisme di satu pihak dengan pelbagai aliran neo-Marxisme, serta teori statist atau neo-statist di pihak lain. Dari segi pengalaman pembangunan pula, sementara negara-negara Afrika Sub-Sahara dan beberapa buah negara Amerika Latin dan Asia Selatan terus ketinggalan, kejayaan Asia Timur dan Asia Tenggara telah mencetuskan optismisme, serta menjadi landasan bagi pembinaan teori dan pilihan dasar yang baru yang kesemuanya berkisar pada peranan negara dalam pembangunan. Akan tetapi, sejak 1990-an khususnya setelah keruntuhan blok Soviet dan berakhirnya Perang Dingin sehingga kini, peranan pemerintah dalam pembangunan sudah tergugat dengan hebat. Hal ini adalah kesan daripada kontra-revolusi neoliberal yang menganjurkan program penyelarasan struktural sejak 1980-an serta program governan baru antarabangsa menyusul krisis Asia 1997/98. Perkembangan ini meletakkan teori pembangunan dan pengajian pembangunan di jalan buntu sehingga menimbulkan persoalan sama ada  peranan pemerintah dalam pembangunan dan juga pengajian pembangunan masih relevan pada hari ini. Dalam keadaan demikian adalah perlu bagi kita untuk merenung kembali persoalan pembangunan dengan menelitinya dari segi epistemologi, teori, ideologi dan pengalaman pembangunan serta jatuh bangun pengajian pembangunan. Pembangunan tidak seharusnya menitikberatkan pertumbuhan semata-mata tetapi harus menyeluruh dan seimbang dengan kesejahteraan umat manusia dan peningkatan martabat mereka sebagai matlamatnya. Di sini empat persoalan besar perlu dibicarakan. Pertama, apakah yang terselinap di sebalik wacana pembangunan sejak munculnya apa yang dipanggil ‘zaman pembangunan’ lebih lima dekad yang lalu? Kepentingan dan agenda apakah yang mendorong wacana pembangunan dan ‘kesedaran pembangunan’ sejak Perang Dunia Kedua, yang kini secara tidak terelakkan menjadi global? Kedua, apakah teori dan pengalaman pembangunan selama beberapa dekad ini menjurus ke arah memperkukuhkan perkongsian antara manusia serta meningkatkan kesejahteraan hidup dan martabat manusia? Ketiga, dalam era globalisasi neoliberal kini, khususnya sejak kejatuhan blok Soviet dan kemunculan AS sebagai satu-satunya adikuasa di dunia,  apakah yang terjadi kepada peranan pemerintah dan apakah ia boleh terus berperanan dalam pembangunan? Keempat, apakah dampak kesemua ini ke atas ilmu pembangunan dan bagaimanakah ilmu pembangunan boleh disuburkan semula dan dipertahankan kerelevanannya? Keempat-empat persoalan ini perlu diulas dengan mengambil kira perdebatan dalam bidang ilmu pembangunan dan sejarah pembangunan di negara Barat serta pengalaman pembangunan di negara sedang membangun termasuk Malaysia. Renungan ini diharapkan dapat menyumbang kepada usaha untuk menyuburkan semula teori pembangunan dan pengajian pembangunan sebagai bidang ilmu yang utuh serta meletakkannya pada tempat yang sewajarnya. Di samping itu ia juga diharapkan dapat mengemukakan landasan intelektual yang kukuh bagi mendedikasikan dan mempertegaskan semula pembangunan sebagai suatu usaha sejarah bagi memajukan kesejahteraan dan martabat umat manusia.
 



021003