| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Kesusasteraan | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
..

Siri Memoir

Biografi Dato' Onn: Hidup Melayu.  2004. ISBN 967-942-645-9 (Paperback).  280 hlm. RM30.00.   Anwar Abdullah.

Dato' Onn diingati kerana budinya yang besar kepada orang Melayu dan peribadi luhurnya yang berasal daripada keturunan keluarga menteri di Johor. Sebagai seorang naionalis, dengan wataknya yang tenang tetapi tegas Onn Jaafar telah membangkitkan kesedaran ke arah kemerdekaan serta memberi harapan baru kepada orang Melayu. Banyak babak menarik dalam sejarah hidupnya. Salah satu yang penting ialah apabila beliau berselisih faham dengan istana. Insiden ini jelas memperlihatkan keperibadiannya yang tinggi yang sentiasa mementingkan Sultan. Dato' Onn berkhidmat dengan Kerajaan Johor antara 1911-49, bermula sebagai seorang kerani dan menamatkan perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Johor. Beliau pernah dua kali dibuang kerja. Kali pertama pada 1920 dan sekali lagi pada 1926. Bahkan beliau pernah dibuang negeri oleh Sultan Ibrahim. Kesukaran hidup yang dialaminya bersama rakyat jelata lebih ketara apabila pada suatu ketika semasa pemerintahan Jepun, beliau bersembunyi di hutan Kempas dan menjalani hidup yang sukar. Kehidupannya di hutan bersama orang kampung ini telah mendekatkan beliau dengan erti kemanusiaan sebenar terutama semasa kesusahan dilanda peperangan. Beliau sepatutnya berada dengan selesa bersama Sultan Johor diiringi tentera Jepun menyelamatkan diri ke Batu Pahat. Apabila perang tamat beliau menggerakkan orang Melayu dalam satu barisan ke arah mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dengan menggagalkan hasrat menubuhkan Malayan Union. Dato' Onn dikenali juga kerana pandangan jauhnya yang mahu menyatukan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan keturunan dalam satu ideologi politik. Namun demikian, sikapnya yang anti perkauman itu kemudiannya telah meminggirkan beliau daripada pentas politik negara ini. Sifatnya yang tenang dan tidak terburu-buru dalam mendapatkan kemerdekaan ini telah digunakan oleh saingan politiknya yang sering meniupkan semangat kemerdekaan dengan mengangkat senjata.


311203