| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Pendidikan | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
... Pengendalian Kanak-kanak Cacat Pendengaran: Satu Anjakan Paradigma. (Syarahan Perdana). 2004.   ISBN 967-942-675-0. 48  hlm. RM15.00.  Lokman Saim. 

Pendengaran merupakan asas kepada kebolehan manusia berkomunikasi. Keupayaan kanak-kanak membentuk pertuturan dan bahasa terhasil daripada kebolehan mereka mendengar, memahami pengertiannya dan seterusnya menuturkan apa yang didengarnya. Lazimnya kanak-kanak yang lahir cacat pendengaran tidak akan dapat bertutur lalu diberi stigma sebagai kanak-kanak pekak dan bisu. Maka kanak-kanak ini akan dikelompokkan sebagai golongan yang perlu berbahasa isyarat tanpa mengendahkan potensi mereka menggunakan sisa pendengaran yang ada atau dibantu supaya dapat meningkatkan kebolehan mereka mendengar. Tanggapan dan cara pengendalian kanak-kanak cacat pendengaran seperti ini perlu diubah. Dengan adanya alat-alat bantu dengar yang menggunakan teknologi komputer yang canggih serta keupayaan melakukan pembedahan mikrosurgeri telinga, objektif utama dalam pengendalian kanak-kanak cacat pendengaran harus beranjak kepada usaha pemulihan pendengaran dan seterusnya melakukan habilitasi untuk bertutur dan berbahasa. Ini merupakan satu anjakan paradigma yang perlu didokong oleh semua pihak yang terlibat dalam pengendalian kanak-kanak cacat pendengaran. Kunci kepada kejayaan memulih pendengaran ialah pengesanan kanak-kanak cacat pendengaran seawal mungkin. Ini boleh dicapai melalui program saringan pendengaran bayi universal. Bagi kanak-kanak yang mengalami kepekakan jenis konduktif pembedahan mikrosurgeri telinga seperti miringotomi, miringoplasti, osikuloplasti dan pembinaan semula cuping dan lubang telinga menghasilkan kejayaan mengatasi masalah kepekakan mereka. Bagi kepekakan sensorineural pula, alat bantu dengar digital yang semakin canggih dapat memberi amplifikasi yang lebih kuat dan selesa. Bagi kanak-kanak yang mempunyai kepekakan yang amat teruk dan tidak dapat dibantu menggunakan alat bantu dengar, implan koklea merupakan satu-satunya ciptaan menakjubkan  yang dapat membantu mereka. Pembedahan implan koklea terbukti dapat memulihkan pendengaran ke tahap yang dapat membolehkan mereka dilatih bertutur dan berbahasa. Ahli audiologi dan patologi pertuturan bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam usaha ini. Anjakan paradigma dalam pengendalian kanak-kanak cacat pendengaran harus disertai dengan perubahan dalam sistem pendidikan mereka agar selari dengan perubahan dan kebolehan kanak-kanak ini. Objektif pendidikan harus menjurus kepada pembentukan pertuturan dan bahasa untuk berkomunikasi dan bukannya tertumpu kepada pengumpulan maklumat dan ilmu melalui penggunaan bahasa isyarat. Kanak-kanak cacat pendengaran berhak untuk mendengar, mendapat pendidikan, berkomunikasi, bekerja dan beramal seperti insan lain yang normal. Anjakan paradigma ini ialah untuk memberi hak-hak tersebut kepada mereka.


160904