| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
.
  

 

Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Cetakan Kedua 2008. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 978-967-942-805-6 (kulit lembut). RM35.00. 290 hlm. Anwar Din (sunt.).

Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu menjelaskan secara langsung tentang siapa sebenarnya Melayu. Ini penting kerana apa saja perkara berkaitan dengan Melayu adalah dilahirkan oleh kelompok manusia yang dinamakan Melayu itu. Sehingga ke hari ini masih belum ada penjelasan yang sah iaitu berasaskan sumber bukti yang sahih dan selaras dengan realiti siapakah yang dinamakan ‘orang Melayu’ itu. Tanpa memahami sifat asasi apa yang dikatakan orang Melayu itu, maka perbicaraan tentang apa saja mengenai orang Melayu termasuk kebudayaan dan kesenian hanya akan menjadi awang-awangan kerana tidak berpijak di alam nyata seperti mana dalam tulisan golongan yang menamakan diri mereka ahli sejarawi linguistik. Dijelaskan dalam buku ini bahawa orang Melayu itu adalah bersifat poligenesis, iaitu bukan dari baka dan tanah asal yang tunggal. Di samping itu, terdapat begitu banyak unsur luaran dalam kebudayaan Melayu yang datangnya daripada pelbagai pengaruh. Ini menyebabkan sentiasa berlaku perubahan dan penambahan dalam kebudayaan Melayu. Sebab utama kenapa ini berlaku adalah kerana sifat orang Melayu itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik. Buku ini menjelaskan sifat-sifat asasi orang Melayu itu secara empiris. Bertolak dari situ, dijelaskan juga konsep kebudayaan dan kesenian serta beberapa teori penting dalam dunia akademik dalam bidang ini supaya dapat menyediakan asas pengetahuan yang lebih mantap mengenai kebudayaan, kesenian, etos, ritual dan aspek-aspek kebudayaan Melayu lain. Pembangunan kebudayaan Melayu juga diberi perhatian khusus dalam buku ini. Bahagian ini menekankan peranan kerajaan dan pihak bukan-kerajaan dalam pembangunan  aspek-aspek kebudayaan dan kesenian Melayu. Buku ini cukup relevan dijadikan rujukan bagi pihak perancang, penggubal dasar dan peminat dalam bidang ini.

ANWAR DIN,  Ph. D., adalah Pensyarah Kanan dan Ketua Program Kebudayaan dan Kesenian di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang kajian beliau adalah pembangunan pelancongan, kebudayaan pembinaan bangsa Malaysia dan seni bina Melayu. Buku suntingan beliau bersama Penerbit UKM adalah Sastera Islam Citra Nurani, Ummah (2004) dan Dinamika Bangsa Melayu Menongkah Arus Globalisasi (2004).


030507