| Menu Utama  |  Buku & Monograf  | Buku Terbaru  |  Indeks Pengarang  | 
.

Khersonese Emas: Geologi Emas Semenanjung Malaysia. 2007. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 978-967-942-852-0 (kulit lembut). 76 hlm. RM20.00. Wan Fuad Wan Hassan.

Sejak zaman berzaman umat manusia terpukau dengan kecantikan dan sifat-sifat bitara logam emas, menyebabkan  permintaan terhadap logam ini sentiasa mengatasi bekalan. Keunggulan sifat-sifat fizikal logam ini, seperti kebolehtempaan dan kebolehaliran, dan sifat-sifat kimianya seperti kelengaian membuat logam ini tiada tandingan. Kelimpahan logam ini dalam kerak bumi amat lanka menyebabkan proses perlombongannya sukar dan mahal, membuatkan harganya tinggi. Bekalan emas dunia kebanyakannya datang dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain dan rizab terbesar terdapat dalam batuan konglomerat Prakambrian di Afrika Selatan, manakala emas epiterma yang terdapat di negara-negara keliling lautan Pacific terletak di tangga kedua daripada segi jumlah pengeluaran. Sejak lama dahulu, Semenanjung Tanah Melayu telah dikenali oleh orang-orang luar sebagai tempat pengeluar emas. Maka itu Ptolemy yang menulis pada abad kedua Masehi telah menyebut tentang sebuah Semenanjung Emas (Aurum Khersonese) yang terletak di antara negeri China dengan negeri India. Mengikut pengetahuan hari ini taburan penemuan emas utama di Semenanjung Tanah Melayu terdapat di Jalur Tengah, iaitu dari Batu Melintang di Kelantan, menuju ke selatan melalui Sokor, Pulai, Selinsing, Raub, Chenderas hinggalah ke Gunung Ledang di Johor. Jumpaan terbaru dibuat di Jalur Timur iaitu di kawasan Mersing di Johor dan Lubuk Mandi di Terengganu. Walaupun kelihatan rawak, taburan ini sebenarnya dikawal oleh proses geologi iaitu lengkung volkano pada zaman Perm-Trias di Semenanjung Malaysia. Jenis pemineralan emas Semenanjung Malaysia ditemui adalah sebagai telerang kuartza, dalam sulfida masif,dalam skarn, dan berkaitan rejahan igneus. Ciri-ciri longgokan emas boleh dilihat daripada kajian di Lubuk Mandi dan Penjom. Emas terdapat dalam telerang kuartza berkemiringan curam berarah Utara-Selatan. Perubahan batuan dinding yang terbentuk adalah jenis suhu-tekanan sederhana iaitu pensilisifikasian, pengargilitan dan pengkloritan-pempropilitan. Minerologi kebanyakan bijih adalah mudah iaitu mineral utama terdiri daripada pirit dan arsenopirit bersama sedikit sfalerit dan kalkopirit kecuali di lombong Ajmal di mana terdapat banyak galena, tetrahedrit dan mineral-mineral telurida. Kehadiran grafit adalah minor kecuali di Penjom di mana jumlahnya cukup banyak hingga menyebabkan gangguan dalam proses pemisahan emas. Kajian bendalir terkepung menunjukkan suhu pembentukan yang rendah. Daripada bukti-bukti yang ada, longgokan emas di Semenanjung Tanah Melayu boleh dikelaskan sebagai emas longgokan mesoterma, terhasil secara orogeni. Potensi adanya lagi longgokan emas primer seperti di Penjom cukup tinggi memandangkan kerja-kerja menjelajah longgokan primer ini masih rendah.

 


071207