| Penerbit UKM   | Buku Terbaru  |

 

Ekonomi Malaysia ke Arah Pembangunan Seimbang. 2009. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 978-967-942-914-5 (kulit lembut). 400 halaman. RM 50.00. Nor Aini Haji Idris & Ishak Yussof.

Dasar dan strategi ke arah mewujudkan pembangunan ekonomi seimbang di Malaysia telah lama diberi penekanan. Setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan , kesan penjajahan British ke atas Tanah Melayu yang mewujudkan keadaan dualisme ekonomi dari segi wilayah dan kelompok etnik masih tetap dirasai. Sejak beberapa dekad yang lalu ekonomi Malaysia mengalami perkembangan yang pesat. Kadar pertumbuhan ekonomi tinggi yang dicapai menjadikan Malaysia antara negara yang terbaik prestasinya di rantau ASEAN. Namun, pertumbuhan ekonomi semata-mata belum tentu boleh menjamin faedahnya dapat disebarkan secara adil dan saksama di kalangan masyarakat. Dalam pendekatan pembangunan bersama pertumbuhan ekonomi, proses pembangunan ekonomi bukan hanya terhad kepada pertumbuhan di dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau KDNK per kapita, tetapi perlu mengambil kira aspek penyebaran faedah dari pertumbuhan tersebut kepada semua golongan. Di Malaysia, isu agihan sebenarnya memerlukan masa yang lama untuk diselesaikan. Matlamat pengurangan kemiskinan mutlak dapat dicapai dalam tempoh hampir 35 tahun. Kerajaan terpaksa bekerja keras untuk mewujudkan agihan pendapatan yang seimbang di kalangan etnik. Kejayaan yang dicapai tidak mampu bertahan apabila berlaku perubahan radikal di peringkat ekonomi global sedangkan idea globalisasi yang berpaksikan Barat menolak sama sekali campur tangan kerajaan. Dalam konteks ini, cabaran utama yang harus dihadapi ialah untuk memastikan tuntutan globalisasi tidak menjejaskan matlamat negara untuk mencapai pembangunan seimbang secara lebih menyeluruh. Matlamat pembangunan ekonomi seimbang ini hanya boleh dicapai melalui campur tangan dan sokongan padu dari pihak kerajaan. Justeru pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan ekonomi yang cekap dan berkesan adalah perlu. Perbincangan bab-bab dalam buku ini adalah fokus kepada aspek tersebut. Kewujudan keseimbangan di antara pertumbuhan dengan kesejahteraan ekonomi yang merangkumi aspek keadilan sosial, isu kemiskinan dan agihan seimbang, persekitaran hidup harmoni dan alam sekitar serta pembentukan modal insan berkualiti perlu dibari perhatian yang serius kerana ianya akan menentukan kejayaan pembangunan negara pada masa hadapan.

NOR AINI HAJI IDRIS dan ISHAK YUSSOF, Ph. D., Profesor Madya di Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UKM.

 

 


080909