Pengenalan

Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia adalah imprin penerbitan ilmiah universiti yang diletak di bawah Pejabat Canselori. Penerbit UKM ditadbir oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi. Pada masa ini Penerbit UKM diketuai oleh seorang Pengerusi yang bertanggungjawab kepada Naib Canselor dan juga Pengerusi Sidang Pengarang Universiti.

Tugas Sidang Pengarang Universiti memutuskan sama ada sesebuah manuskrip mempunyai mutu isi dan ilmiah yang sesuai untuk diterbitkan. Jawatankuasa penerbitan telah ditubuhkan pada tahun 1970 dan dalam mesyuarat pada bulan Januari 1971 telah ditetapkan bahawa segala penerbitan ilmiah/akademik dalam bentuk buku, jurnal dan sebagainya yang diusahakan dalam universiti hendaklah disalurkan melalui Sidang Pengarang Universiti. Sejak tahun 1989 Naib Canselor secara rasmi melantik anggota Sidang Pengarang dan juga ketua-ketua penyunting jurnal universiti.

Penerbit UKM mengutamakan penerbitan karya asli dalam bahasa Melayu. Dalam pada itu, karya dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain dan terjemahan ke dalam bahasa Melayu juga diberi pertimbangan. Penerbit menerima karya dalam hampir semua cabang ilmu pengetahuan dengan tumpuan kepada kegunaan karya itu terutamanya kepada pelajar, sarjana, penyelidik, kakitangan kerajaan, golongan profesional dan peminat.