Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM

 Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Program Pencarian & Pengurusan Bakat

Latar Belakang

Program Pencarian Murid Pintar dan Berbakat dilaksanakan oleh Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada setiap tahun. Pencarian ini disasarkan kepada murid berumur 8 hingga 15 tahun di seluruh negara. Saringan mengenali murid pintar dan berbakat ini meliputi Ujian Saringan UKM1, UKM2 dan UKM3.

Apakah ujian yang perlu dilalui oleh murid yang ingin mencuba untuk mendapatkan tempat ke Program Pendidikan Menengah Pintar dan Berbakat?

Bagi kemasukan ke program pintar dan berbakat, murid-murid perlu melepasi UJIAN SARINGAN UKM1, UKM2 dan UKM3 sebelum ditawarkan ke Program Pendidikan Menengah Pintar dan Berbakat. Setiap tahun, ujian UKM1 dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 1 Februari sehingga 31 Mei. Ujian Saringan UKM1 terbuka kepada semua murid pelbagai bangsa berumur 9 hingga 15 tahun, manakala bagi murid beragama Islam ia dibuka kepada murid seawal usia 8 tahun hingga 15 tahun. Para ibu bapa boleh mendaftarkan anak mereka untuk mengambil ujian ini atau mendaftar secara kelompok di sekolah-sekolah anak mereka melalui laman web http://ukm1.permatapintar.ukm.my

Di manakah murid-murid pintar dan berbakat ini akan ditempatkan setelah melepasi semua peringkat saringan yang ditetapkan?

Murid-murid terpilih yang melepasi ujian saringan UKM1 dan UKM2 akan ditawarkan untuk mengikuti satu program pengayaan (enrichment) yang dipanggil Program Pengayaan Cuti sekolah (PPCS) sama ada di Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau di Kolej PERMATA Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

PPCS yang dijalankan dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini menyediakan program dan aktiviti pengayaan berpaksikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang akan memberikan pendedahan kepada murid-murid dengan aktiviti akademik, aktiviti kokurikulum berbentuk kesenian dan sukan, program-program kerohanian dan lawatan sambil belajar. Terdapat lebih daripada 30 aktiviti pengayaan yang ditawarkan. Antara contoh aktiviti pengayaan yang menarik yang ditawarkan adalah kelas Robotik, F1 in Schools (F1iS), Crime Scene Investigation (CSI), Genetic Engineering, Young Physicist, Fast-Paced Biology, Star Rangers dan pelbagai lagi.

Asas kepada pembinaan PPCS adalah untuk menyediakan program dan aktiviti mencabar yang bersesuaian dengan kebolehan kognisi tinggi murid pintar dan berbakat dalam membentuk mereka menjadi modal insan yang holistik bagi melahirkan bakal pemikir dan pencipta pada masa hadapan.

Bagi murid-murid berumur 11 hingga 12 tahun, mereka akan melalui ujian saringan yang seterusnya dan sekiranya mereka melepasi semua ujian saringan ini, mereka akan ditawarkan untuk mengikuti Program Menengah Pintar dan Berbakat berdasarkan kecenderungan mereka di antara tiga (3) buah sekolah seperti berikut:

  • Kolej PERMATA@Pintar Negara (KGPN) di Kampus Seremban, Negeri Sembilan;
  • Kolej PERMATA Insan (KGI) di USIM, Nilai, Negeri Sembilan; dan
  • Akademi Sains Pendang (ASP) di Kedah.

 Adakah terdapat pengkhususan dalam bidang tertentu yang disediakan di ketiga-tiga sekolah ini?

Ketiga-tiga sekolah yang menawarkan pendidikan menengah pintar dan berbakat ini menawarkan pengkhususan seperti berikut:

Kolej PERMATA@Pintar Negara (KGPN)

  • Pengkhususan bidang Sains Tulen
  • Pengkhususan Sains Tulen dan Teknologi Digital

Kolej PERMATA Insan (KGI)

  • Pengkhususan Sains Tulen yang berteraskan Aqli dan Naqli

* Murid juga perlu melalui satu lagi ujian saringan hafazan sebelum ditawarkan ke kolej ini.

Akademi Sains Pendang (ASP)

  • Pengkhususan bidang Sains Tulen

 Apakah manfaat yang akan diterima oleh murid sekiranya mereka terpilih ke sekolah-sekolah tersebut?

Murid yang terpilih untuk mengikuti pendidikan menengah pintar dan berbakat di tiga (3) buah sekolah ini, akan memperoleh pendidikan yang menyokong keperluan kebolehan kognitif mereka yang tinggi, mendapat pengalaman pendidikan yang mencabar dan berteknologi tinggi menerusi kurikulum yang rigorous (selaras dengan keperluan kebolehan/kognitif murid), mempunyai peluang untuk meneroka bidang yang diminati menerusi program-program pengayaan seperti Olympiad, Genome to Space; DNA Barcoding Sequencing dan Astrophysics, F1 in Schools, Robotic dan lain-lain. Menerusi program pintar dan berbakat ini potensi dan bakat murid dapat digilap sepenuhnya sehingga ke tahap maksimum.

Murid juga mempunyai peluang untuk menjalankan penyelidikan dengan bimbingan daripada pakar bidang/profesor di universiti dan menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal atau prosiding bersama mentor. Selain itu, murid juga berpeluang mendapat pengalaman tindikan industri (industrial engagement/ immersion) dan mempunyai peluang bersaing di peringkat dunia/ antarabangsa melalui pertandingan, penyelidikan, program pertukaran murid pintar dan berbakat serta berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia dan universiti Ivy League.