Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM

 Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Sekapur Sireh

 

Salam sejahtera,

Anak pintar anugerah Illahi,
Dijejak dicari sepelosok negeri,
Amanah bangsa kami dokongi,
Moga bakti dirahmati Illahi.

 

Pertama-tama saya ingin mengucapkan terima kasih kerana berkunjung ke laman sesawang ini.

Pusat GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat PERMATApintar® Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, mendokong aspirasi negara dalam menyediakan pendidikan Pintar dan Berbakat bertaraf dunia, khususnya untuk murid-murid Pintar dan Berbakat (PB) di seluruh Malaysia.

~Kami penyambung warisan akan terus meningkatkan azam dan memperkasa usaha demi  perjuangan mengangkat kecemerlangan  pendidikan Pintar dan Berbakat di bumi Malaysia yang tercinta~

Membangunkan potensi anak-anak pintar dan berbakat secara holistik menjadi matlamat kami sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara dan moto Universiti Kebangsaan Malaysia ~ UKM sebagai Pendaulat Amanah Negara.~

~Pintar bijak, Pintar beradab, Pintar cekap, dan berhemah tinggi
mendasari kemenjadian modal insan  anak-anak GENIUSpintar kami~

Anak pintar adalah aset negara yang perlu digilap. Kepintaran mereka perlu diasah dengan menyediakan kurikulum dan aktiviti pendidikan yang luwes dan mencabar. Program pendidikan yang mencabar kebiasaan dan melangkaui pemikiran dapat menggalakkan penerokaan, mencungkil kreativiti, dan mendalami konsep ilmu dengan lebih berkesan.  Sehubungan dengan itu, kepelbagaian pendekatan pembelajaran sangat penting bagi  melonjakkan potensi diri mereka ke tahap maksimum melalui bakat yang berjaya dicungkil dan diketengahkan. Namun, kegagalan dalam menyediakan program pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan kognisi mereka pula akan menyebabkan negara mengalami kerugian yang besar kerana modal insan ini tidak akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk pembangunan negara pada masa akan datang. Justeru, pemahaman ibu bapa, peranan guru yang berjiwa pendidik serta kepimpinan yang prihatin dan berwawasan menjadi pemangkin ke arah memacu kecemerlangan pelajar-pelajar  pintar dan berbakat ini.

Pusat GENIUS@Pintar Negara (PGPN), UKM ini telah beroperasi sejak Januari 2011 lagi. Sebagai pusat yang mengumpulkan murid-murid pintar dan berbakat dari seluruh Malaysia,  pusat ini bertanggungjawab dalam memberikan peluang untuk mengembangkan potensi diri pelajar menerusi program-program pengayaan, program pendidikan menengah dan program peringkat pra-universiti. Program pendidikan pintar dan berbakat yang berterusan dan komprehensif ini dijalankan bagi memastikan anak-anak pintar di negara ini terus terbela dan tidak tercicir dari arus pendidikan atau berhijrah ke negara luar yang menawarkan pelbagai ganjaran serta peluang pendidikan yang lebih baik.

~Dengan kesungguhan dan kasih sayang, kami pupuk dan kami baja bukan sekadar
kepintarannya, malah nilai-nilai insaniah anak-anak pintar ini~

Di pusat ini, murid bukan sahaja dilatih untuk meningkatkan prestasi akademik semata-mata. Keseimbangan pendidikan akademik dan kerohanian sangat diutamakan. Selain mendalami ilmu akademik berasaskan STEM, mereka juga dididik dengan pelbagai pengisian rohani secara formal dan in-formal. Matlamat  melahirkan insan pintar bersahsiah murni yang bukan sekadar unggul pencapaian akademik, malah dapat mengintegrasikan ilmu-ilmu akademik dan pengalaman pembelajaran dengan nilai-nilai keinsanan bertujuan untuk melahirkan modal insan pintar dan berbakat yang dapat menyumbang secara berkesan kepada kesejahteraan dan kecemerlangan pembangunan negara pada masa hadapan sejajar dengan visi Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM.

Pengalaman program selama sedekad ini telah menghasilkan banyak kejayaan  yang dapat dilihat melalui; pemilihan bidang pengajian pelajar lepasan kolej dan penglibatan dalam penyelidikan ke arah STEM, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Kejayaan ini selaras dengan misi PGPN, UKM itu sendiri, iaitu menjadi sumber inspirasi untuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan Penyelidikan (STEM) dalam bidang Pendidikan Pintar dan Berbakat. Kejayaan program yang memenuhi matlamat pendidikan negara dalam memperkasakan STEM untuk negara ini juga dapat dilihat melalui minat dan penglibatan lebih ramai generasi pintar dan berbakat yang menjurus ke arah STEM. Buktinya, lebih daripada 90% pelajar PGPN cenderung untuk memilih penyelidikan bidang sains tulen dan sains gunaan. Malah, lebih daripada 70% pelajar lepasan Kolej GENIUS@Pintar, UKM memilih STEM sebagai bidang pengajian di pelbagai peringkat pengajian di universiti. Tuntasnya program  GENIUS@Pintar Negara, UKM berjaya memenuhi aspirasi meningkatkan minat dan kecenderungan geneasi muda ke dalam bidang STEM sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia.

Alhamdulillah! Segala kejayaan murid dalam program ini tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan insan-insan berjasa di sebalik tabir perjuangan pendidikan ini.

~Amanah digalas dengan ikhlas, cabaran diharungi bersandar nurani,  semangat diikat dengan muafakat, Warga pintar bersatu laksana amanah penuh Tekad~

Usaha setiap warga digembleng, buah fikiran tidak dikesamping, kepakaran dihormati dan diikat dengan semangat yang murni “berkhidmat dalam pasukan secara harmoni”.  Ketulusan dan kesepakatan warga bertujuan mencapai visi PGPN untuk melahirkan insan pintar dan berbakat yang seimbang, agar minda ingin tahu mereka terjana untuk bersedia menyumbang sebagai pemimpin dunia, pemikir, inovator yang menghayati nilai–nilai kemanusiaan demi kemaslahatan ummah sejagat.

~Mengangkat maqam Aqal dan Budi, Pemikir yang menghayati resam padi ..semakin padat berisi semakin tunduk ke bumi  merendah hati dan bersiap siaga untuk berbakti~

Dalam membina modal insan, para pendidik di PGPN sangat komited dan sentiasa bersedia melakukan pelbagai pembaharuan  demi kelangsungan pembangunan masa depan negara. Kadangkala, mereka terpaksa menongkah arah kelaziman pendidikan arus perdana, meredah cabaran dengan membuat perubahan dalam masa yang singkat demi memenuhi keperluan dan keunikan murid pintar dan berbakat ini. Tidak hairanlah jika dilihat sama ada dari aspek kurikulum, pendekatan pembelajaran sehingga kepada aspek dan kaedah pentaksiran serta jenis-jenis program pengayaan, yang sebahagian besarnya di luar daripada norma kebiasaan pendidikan arus perdana ini dapat dijalankan dengan baik sekali, seterusnya menjadikan program ini suatu program yang unik, menepati keperluan pembelajaran murid Pintar dan berbakat. Warga pendidik kami sangat yakin bahawa setiap anak pintar dan berbakat berhak mendapat peluang dan laluan pendidikan berkualiti tinggi bagi meningkatkan potensi pembelajaran mereka ke tahap yang lebih optimum. Pengorbanan barisan pendidik kami adalah berasaskan pemahaman bahawa murid pintar dan berbakat memerlukan sokongan dan reka bentuk pembelajaran khusus yang boleh memenuhi keperluan pelbagai “learning curve” yang bersesuaian dengan tahap potensi diri yang berbeza. Inilah keunikan mereka, anak pintar negara!

~Sejarah mana mungkin dilupai..
              Sejarah-lah yang menjadikan siapa kita hari ini
                      Agar anak-anak pintar tidak mudah melupai..
                               Renungi sejarah insan berjasa di sebalik tabir program ini ~

“No child left behind” adalah kata keramat yang menjadi penyuntik semangat warga GENIUS@Pintar Negara, UKM untuk meneruskan perjuangan pendidikan anak-anak Pintar dan Berbakat negara, yang kini telah mulai diterima sebagai satu sistem pendidikan negara untuk anak-anak pintar dan berbakat. Program ini pada awalnya diilhamkan oleh YABhg Datin Seri Rosmah Mansor (DSR), iaitu isteri bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Beliau mempunyai minat yang mendalam untuk membantu mengembangkan potensi anak-anak pintar dan berbakat negara pada masa itu. Beliau telah bersama-sama mencambah idea dan menggembleng tenaga dengan kepakaran di universiti bagi memastikan hasrat memartabatkan pendidikan anak pintar negara menjadi kenyataan. Sehubungan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diberi mandat untuk membangun, melaksana dan memantau program Pintar dan Berbakat yang telah dilancarkan pada 3 April 2009. Tuntasnya, DSR merupakan salah seorang pendokong utama Program PERMATApintar sejak dari mula idea ini diketengahkan dan menjadi penaung kepada program PERMATApintarTM Negara, UKM. Wawasannya yang jauh terkehadapan telah memacu kegigihan beliau dalam mencari peluang untuk menjayakan agenda penting yang dilihat sebagai pelaburan modal insan pemikir negara untuk masa depan. Jasa beliau akan sentiasa dikenang, khususnya oleh anak-anak pintar dan berbakat dari kalangan berpendapatan rendah kerana beliau amat mengutamakan golongan ini.

~Jangan sampai ada anak-anak miskin yang dikenalpasti pintar tidak dapat mengikuti program ini, usaha dan bantu mereka sampai berjaya~

Itulah pesanan yang sentiasa tersemat di hati kami dan tidak dilupa sampai bila-bila untuk terus membina warisan dan memperkasa program yang berwawasan ini.

Sehubungan itu, laman sesawang ini diwujudkan sebagai wadah  perkongsian maklumat tentang Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM kepada umum. Hal ini merangkumi perkembangan dalam pelbagai aspek, program-program yang dijalankan, kegiatan yang dilakukan dan berita-berita pencapaian pelajar dari semasa ke semasa.

Program GENIUS@Pintar kini telah menghasilkan banyak berita kejayaan sama ada dari aspek kecemerlangan pelajarnya, mahupun perkembangan program-program yang disediakan. Antara kejayaan yang signifikan dengan program ini termasuklah pencapaian dari aspek laluan akademik pelajar lepasan Kolej GENIUS@Pintar, UKM. Berdasarkan data yang diperoleh dari tahun 2012 sehingga tahun 2019 dengan jumlah keseluruhan 709 orang graduan dari kolej ini, didapati bahawa sebanyak 31.1% daripada mereka telah berjaya meneruskan pengajian di universiti terkemuka luar negara. Manakala 68.9% daripada jumlah sedang meneruskan pengajian di universiti-universiti dalam negara. Graduan lepasan Kolej GENIUS@Pintar, UKM juga telah berjaya menembusi laluan pengajian ke pelbagai universiti terkemuka seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea, Australia dan lain-lain lagi. Penempatan pelajar di universiti dalam negara juga amat membanggakan apabila pelajar lepasan Kolej GENIUS@Pintar telah berjaya diterima untuk menyambung pengajian terus ke tahun satu di universiti-universiti awam dan universiti-universiti penyelidikan tanpa perlu melalui program persediaan. Kejayaan program ini diserlahkan lagi apabila lebih dari 73.3% graduan dari kolej ini telah menyambung pengajian dalam bidang STEM, sejajar dengan hasrat negara (KPM) untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang STEM. Selebihnya 26.7% mendalami bidang sains sosial seperti Perundangan, Perakaunan, Kewangan, Ekonomi, Sains Politik, Psikologi. Selain itu, data tiga kohort terawal (2012-2014) menunjukkan daripada 341 orang, 17.1% sedang menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah, 72.8% telah bekerja, 3.6% menunggu penempatan dan 6.5 sedang dalam proses mencari pekerjaan. Tuntasnya, kadar kebolehpasaran pelajar lepasan Kolej GENIUS@Pintar Negara UKM menunjukkan tanda yang sangat positif.

Kejayaan Pusat GENIUS@Pintar, UKM dalam memacu kecenderungan minat terhadap STEM dalam kalangan pelajar pintar terbukti apabila salah seorang murid dari Kolej GENIUS@Pintar Negara, UKM yang berusia 15 tahun terpilih untuk menjalankan penyelidikan bersama dengan kumpulan penyelidik yang terdiri dari Profesor dan pelajar pengajian Doktor Falsafah di Leibniz University Hannover, German. Program ini dijalankan di bawah Geran European Commission  Research Project bertajuk “Reliability and Safety Engineering and Technology for Large Maritime Engineering Systems.” Peluang meneroka ilmu menerusi projek penyelidikan di peringkat antarabangsa ternyata mampu membina keyakinan dan membuka perspektif  yang lebih luas kepada murid pintar untuk benar-benar mengenali potensi diri dan mengembangkan bakat dalam bidang yang diminati.

Selain itu, beberapa kejayaan pelajar GENIUS@Pintar Negara, UKM terserlah apabila berjaya terpilih untuk ke pertandingan  Peringkat Dunia. Penglibatan pelajar GENIUS@Pintar negara UKM adalah dalam pelbagai jenis pertandingan  yang  bercirikan multi-disiplin; STEM dan Non-STEM seperti   World Robotic Olympiad 2019 di Hungary, F1 in School World Final _2019, International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX), Philosophy Olympiad, Astronomy Olympiad, World Scholar’s Cup, Beijing China, dan pelbagai pertandingan penyelidikan di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Ternyata, pelajar Pintar dan Berbakat di Pusat ini bukan sekadar menjana kepintaran intelek, malah berpeluang mengasah dan mengembangkan bakat, minat dan potensi yang dimiliki. Program GENIUS@Pintar UKM ini sememangnya merai kepelbagaian potensi.

Satu lagi kejayaan program GENIUS@Pintar UKM (PGPN) yang bakal dilihat adalah apabila Model pendidikan PERMATApintar UKM akan diperluas penggunaannya sebagai model pelajar pintar cerdas dalam kurikulum Program Pendidikan Pintar Cerdas (PPPC) negara yang merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Inisiatif ini merupakan persediaan asas untuk murid-murid pintar cerdas negara menghadapi perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang berlaku di peringkat global.

Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM akan meneruskan usaha membina jaringan untuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk industri bagi memastikan program ini terus releven dan kekal berkualiti bagi memastikan bakat-bakat pintar negara  ini terpelihara, berjaya, dan kembali menyumbang bakti kepada negara.

Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM  ibarat bahtera yang sarat dengan muatan
Muatan aset pemikir dan sumber kepakaran negara yang tak ternilai harganya
Dalam kerancakan merancang HALA TUJU program agenda negara
Sumbangan ke arah kemajuan dan pembangunan negara menjadi utama
Moga terbukti kemenjadian modal insan pintar harta ternilai negara

Untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar saintis, teknokrat, pemikir, dan pemenang anugerah nobel (nobel laureate) pada masa akan datang sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang tidak terfikir oleh masyarakat hari ini. Seluruh warga PGPN, UKM mengharapkan agar lulusan graduan dari pusat ini akan menjadi tenaga pakar dalam bidang-bidang tersebut.

Justeru, PGPN, UKM bertekad merealisasikan program pendidikan pintar dan berbakat (PB) sebagai AGENDA NEGARA menerusi perancangan berikut;

  • Kurikulum pendidikan PB PGPN, UKM menjadi kurikulum nasional dalam pendidikan arus perdana.
  • PGPN, UKM menjadi pusat terkemuka dalam pengenalpastian dan pemilihan murid PB negara.
  • PGPN, UKM menjadi pusat memupuk kemenjadian modal insan PB yang mendasari ilmu, kemahiran dan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.
  • PGPN, UKM menjadi pusat rujukan pendidikan PB negara dan antarabangsa.
  • PGPN, UKM menjadi pusat penyelidikan terkemuka bidang PB di Malaysia.
  • PGPN, UKM menjadi pusat rujukan (One stop center) yang menyediakan program dan aktiviti pendidikan PB.
  • PGPN, UKM menjadi pusat rujukan model pendidikan STEM negara.
  • Modul Latihan Guru PGPN, UKM digunakan untuk latihan guru pendidikan PB negara,
  • PGPN, UKM memastikan Malaysia mempunyai pakar rujuk dalam bidang-bidang keperluan industri dan negara pada masa akan datang.
  • PGPN, UKM menyumbang untuk mewujudkan polisi dan dasar pendidikan PB dalam sistem pendidikan negara.

Tuntasnya, Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM mengambil tanggungjawab untuk mengangkat martabat pendidikan PB sebagai pelengkap yang  mengisi kelompangan dalam sistem pendidikan negara, khususnya untuk murid Pintar Cerdas dan Berbakat. Program ini bakal mewarnai landskap pendidikan negara menerusi pelbagai inovasi dalam pendidikan Pintar dan Berbakat bagi merealisasikan hasrat KPM untuk menyediakan pendidikan berkualiti bertaraf dunia dan visi UKM, “bertekad menjadi universiti terkehadapan” yang mendahului langkah masyarakat dan zamannya bagi membentuk masyarakat dinamis, berilmu dan berakhlak mulia.

Amanah dijunjung, bakti disemai, jiwa disatu
Ketulenan berjuang mengangkat maqam  ilmu
Demi  Agama, demi bangsa dan negara Malaysia
Warga Pusat GENIUS@Pintar akan terus berjasa

 

Sekian.

 

Salam Teroka, Cipta, Bitara

Daripada

Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof
Pengarah
Pusat GENIUS@Pintar Negara
Universiti Kebangsaan Malaysia