PROGRAM SUKARELAWAN DI ZOO NEGARA

Pada 27 Oktober yang lalu, kelas AP601 Program ASASIpintar telah mengadakan aktiviti kesukarelawan di Zoo Negara Malaysia. Tujuan utama aktiviti ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam program kesukarelawan. Selain itu, tujuan kami mengikuti program sukarelawan ini adalah untuk mengeratkan hubungan sesama pelajar di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Program yang kami ikuti ini melibatkan seramai 26 orang pelajar Program ASASIpintar 2015 – 2016 serta Cik Ong Sy Ing sebagai guru pengiring. Program sukarelawan ini sudah lama dijalankan oleh pihak Zoo Negara. Antara aktiviti yang dijalankan ialah membersihkan kandang haiwan dan persekitaran zoo, memberikan makanan kepada haiwan serta membantu dalam persembahan haiwan.

Kami bertolak dari Kafe Kolej Keris Mas pada pukul 6.45 pagi dan tiba di Zoo Negara kira-kira pada pukul 8 pagi. Ketua program memberikan sedikit peringatan di atas bas serta memberikan setiap peserta sepasang sarung tangan dan penutup muka sebagai langkah keselamatan di samping menjaga kebersihan dan kesihatan. Setibanya di sana, kami berkumpul dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Pada masa yang sama, pelajar Universiti Selangor (UNISEL) turut mengadakan program yang sama, maka ada antara kami yang membentuk kumpulan kecil bersama mereka. Sebelum bergerak ke tempat kerja masing-masing, kami sekali lagi diberi taklimat dan peringatan oleh wakil daripada pihak Zoo Negara tentang langkah keselamatan dan perkara-perkara yang harus dielakkan sepanjang mengadakan aktiviti ini.

Setelah itu, kami dibahagikan tugas secara rawak dan terus bergerak ke tempat kerja masing-masing bersama wakil daripada zoo. Antara kawasan yang diberikan kepada kami adalah kawasan karnivor, kawasan reptilia dan sebagainya. Terdapat juga satu kumpulan yang ditugaskan untuk hanya memberi makanan kepada haiwan-haiwan di seluruh zoo. Secara asasnya, kami perlu membersihkan sisa buangan haiwan di kandang-kandang mereka dan seterusnya memberi makanan. Seterusnya, arahan yang diberikan oleh wakil daripada zoo dan kerja yang diberikan untuk setiap kumpulan adalah berbeza. Sebagai contoh, ada yang perlu membersihkan kawasan di sekitar zoo, ada yang diberi peluang untuk memberi makanan kepada haiwan lain, malah ada yang ditugaskan untuk membantu ahli zoo membina sangkar baharu seperti untuk kura-kura yang ingin dipindahkan daripada tempat asalnya.

Setelah tamat sesi pagi, kami berehat selama 1 jam dan sambung semula kira-kira pada pukul 2 petang. Namun aktiviti tergendala seketika akibat hujan yang turun. Tidak lama kemudian, kami meneruskan kerja masing-masing dan aktiviti kami akhirnya tamat kira-kira pada pukul 4.30 petang. Setelah itu, kami berkumpul semula dan diberi sedikit ucapan penghargaan daripada wakil zoo. Mereka sememangnya menghargai sesiapa yang sudi untuk meluangkan masa dan menyertai program ini terutamanya daripada golongan pelajar. Walaupun kerja yang mampu kami lakukan adalah terhad, namun mereka masih menghargainya kerana kehadiran kami sedikit sebanyak meringankan beban yang terletak di bahu mereka.

Sebelum bertolak pulang, kami solat asar terlebih dahulu dan diberi peluang untuk membeli sedikit cenderahati daripada zoo tersebut. Kami bertolak pulang kira-kira pukul 5.30 petang dan tiba di Kolej Keris Mas pada pukul 7.45 petang.  Sememangnya aktiviti ini telah memberi suatu dimensi baru dalam pengalaman hidup kami. Peluang untuk melihat serta menyentuh haiwan dalam jarak dekat adalah suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Selain pengalaman bersama haiwan, peluang untuk berkerja serta berkongsi pengalaman dan cerita bersama pekerja-pekerja di Zoo Negara juga merupakan memori yang tidak harus dilupakan. Setelah beberapa bulan kami menelaah ilmu, mempunyai peluang untuk keluar dan berbakti kepada masyarakat sememangnya suatu yang amat kami perlukan. Kami berharap agar program-program kesukarelawan seperti ini dapat dijalankan secara lebih kerap lagi pada masa hadapan agar mata kami lebih terbuka dan seterusnya mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

sedia makanan

Peserta menyediakan makanan untuk diberikan kepada haiwan.

sapu daun

Peserta menyapu daun dan ranting-ranting di kandang kancil.

kutip ranting

Peserta mengutip kayu dan ranting-ranting di kandang harimau.

bersihakan sekitar kawasan

Peserta membersihkan sekitar kawasan haiwan reptilia.

diawasi pihak zoo

Peserta membersihkan kawasan dengan diawasi oleh pihak zoo.

kump yang ditugaskan

Kumpulan yang ditugaskan untuk memberi makanan kepada seluruh haiwan di zoo.

kura-kura 120 tahun

Peserta memberikan makanan kepada kura-kura yang telah berumur 120 tahun.

gambar beramai-ramai

Gambar beramai-beramai sebagai kenangan sebelum kami bertolak pulang.