Sekapur Sireh

noriahSalam Sejahtera,

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kerana berkunjung ke laman ini.

Kewujudan Pusat PERMATApintar Negara (PPpN) UKM ini masih tidak diketahui ramai sungguh pun PPpN telah pun beroperasi sejak bulan Januari 2011. Laman ini adalah satu cara untuk kami memberi makluman kepada umum tentang pusat ini. Serba sedikit maklumat mengenai pusat ini, program-program yang dijalankan dan kegiatan pelajar boleh didapati di sini. Hubungi kami sekiranya memerlukan maklumat tambahan.

Kajian yang dijalankan oleh Tidwell (1980) menunjukkan terdapat seorang pelajar pintar dan berbakat bagi setiap 10,000 orang kanak-kanak. Hari ini di Malaysia terdapat seramai 3.5 juta kanak-kanak yang berumur antara 9 hingga 15 tahun, dan jika dapatan kajian Tidwell boleh digunakan di Malaysia, maka secara amnya kita boleh buat kesimpulan bahawa terdapat kira-kira 350,000 orang pelajar pintar dan berbakat di Malaysia.

Kajian juga mendapati kebanyakkan pelajar ini memerlukan keperluan pendidikan yang berbeza dari kebanyakan pelajar lain. Sungguhpun sistem pendidikan yang ada sekarang telah direkabentuk untuk memenuhi keperluan majoriti pelajar, ia tidak dapat memenuhi keperluan pembelajaran kebanyakkan pelajar pintar dan berbakat. Akibatnya ada antara pelajar ini tidak menonjol dan tidak dapat menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan kebangsaan seperti UPSR, PMR dan SPM; sebahagiannya menjadi “school dropouts.” Bagi pelajar dari golongan berada pula, ada antara mereka yang telah memilih untuk menyambung pelajaran di sekolah menengah di luar negara, di mana mereka dapat mengembangkan potensi dan peluang pendidikan yang lebih luas. Semua pelajar ini merupakan satu dari sumber-sumber semula jadi negara yang perlu diurus sebaik mungkin supaya dapat memberi manfaat kepada negara di masa hadapan.

Malaysia berhasrat untuk membangunkan institusi pembelajaran yang membolehkan kesamarataan dan kecemerlangan menjadi idaman seseorang pelajar. Kesamarataan membawa maksud peluang untuk setiap pelajar mendapat laluan kepada pendidikan berkualiti yang tertinggi, sementara kecemerlangan membawa maksud keperluan setiap pelajar untuk mendapatkan peluang yang perlu bagi membolehkannya meningkatkan potensi pembelajaran. Oleh kerana perubahan pada setiap remaja adalah pantas dan tidak sama, peluang pembelajaran khas yang boleh memenuhi pelbagai “learning curve” pelajar-pelajar ini perlu direkabentuk.

Untuk memenuhi keperluan pembelajaran pelajar-pelajar pintar dan berbakat ini kerajaan Malaysia telah membangunkan satu program khusus dipanggil Program PERMATApintar(TM). Program ini telah diilhamkan YABhg Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia, yang mempunyai minat yang mendalam untuk membantu pelajar-pelajar ini mengembangkan potensi mereka. Beliau merupakan salah seorang pendokong utama Program PERMATApintar sejak dari mula idea ini diketengahkan. Dengan restu beliau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diberi mandat untuk membangun, melaksana dan memantau program ini yang telah dilancarkan pada 3 April 2009. YABhg. Datin Seri Rosmah juga merupakan penaung program PERMATApintarTM selain menjadi pengerusi Yayasan PERMATA.

Hari ini Pusat PERMATApintarTM Negara UKM merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia yang bertanggungjawab mengenalpasti pelajar-pelajar pintar dan berbakat dari seluruh tanah air dan memberikan mereka peluang untuk mengembangkan potensi, dan bakat mereka. Usaha ini perlu dijalankan kerana pelajar-pelajar ini adalah aset negara yang sangat berharga. Kegagalan mengenalpasti pelajar-pelajar ini boleh menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja yang sangat berharga, samada kerana mereka tercicir dari arus pendidikan, atau mereka berhijrah ke negara luar yang menawarkan ganjaran serta peluang pendidikan yang lebih baik.

Pusat ini menguruskan empat program utama: 1) Pencarian dan pengurusan bakat, 2) Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS), 3) Program Pendidikan PERMATApintarTM dan 4) Program ASASIpintar–program pra-universiti selama satu tahun. Di pusat ini pelajar dilatih bukan untuk meningkatkan prestasi akademik semata-mata; mereka juga diberi pelbagai input untuk melahirkan insan kamil, individu yang unggul pencapaian akademiknya di samping dapat menggunakan ilmu khusus, “technical know-how/expertise” dan pelbagai pengalaman yang ada untuk menyumbang kepada kesejahteraan dan kejayaan negara.

Sebagai persediaan untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar-pakar saintis, teknokrat, pemikir, dan nobel laureate di masa akan datang sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang tidak terfikir oleh masyarakat hari ini. Semoga lulusan pusat ini ada yang menjadi individu berkenaan.

Sekian.

Prof  Datok Dr Noriah Mohd Ishak
Pengarah