Falsafah Pendidikan Negara, Visi, Misi dan Nilai

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

VISI

Visi kami adalah untuk memupuk individu pintar dan berbakat dengan minda ingin tahu bagi memastikan mereka dapat menyumbang kepada pembentukan modal insan yang bakal menjadi pemimpin dunia, pemikir, dan pencipta masa hadapan.

MISI

Untuk menjadi pelopor dalam menginspirasikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Mathematik (STEM) dan penyelidikan kepada pelajar pintar dan berbakat.

 

NILAI

Nilai-nilai berikut, yang  dikongsi bersama oleh setiap warga kerja,  merupakan tulang belakang semua aktiviti yang dijalankan di pusat ini.

Passionate (bersemangat dan mempunyai iltizam yang tinggi)

Inspirational (menjadi sumber inspirasi kepada yang lain)

Nurturing (sentiasa memberi panduan, bantuan dan tunjuk ajar)

Teamwork (kerja berpasukan, tidak mementingkan diri sendiri)

Awareness (peka terhadap alam sekeliling

Respectful & Responsible (sentiasa hormat menghormati dan bertanggugjawab)

SEPINTAS LALU PUSAT PERMATApintar™ NEGARA

Dalam usaha memenuhi keperluan pembelajaran pelajar-pelajar pintar dan berbakat ini, kerajaan Malaysia telah membangunkan satu program khusus dikenali sebagai Program PERMATApintar™. Program ini telah diilhamkan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia, yang mempunyai minat yang mendalam untuk membantu pelajar-pelajar ini mengembangkan potensi diri mereka. Beliau merupakan salah seorang pendokong utama Program PERMATApintar™ sejak dari mula idea ini diketengahkan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diberi mandat untuk membangun, melaksana dan memantau program ini yang telah dilancarkan pada 3 April 2009. YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor juga merupakan penaung Program PERMATApintar™ selain menjadi pengerusi Yayasan PERMATA.

 

Hari ini Pusat PERMATApintar™ Negara UKM merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia yang bertanggungjawab mengenalpasti pelajar-pelajar pintar dan berbakat dari seluruh tanah air dan memberikan mereka peluang untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka. Usaha ini perlu dijalankan kerana pelajar-pelajar ini adalah aset negara yang sangat berharga. Kegagalan mengenalpasti pelajar-pelajar ini boleh menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja yang sangat berharga, samada kerana mereka tercicir dari arus pendidikan, atau mereka berhijrah ke negara luar yang menawarkan ganjaran serta peluang pendidikan yang lebih baik.

 

Pusat PERMATApintar™ Negara UKM mempunyai empat program utama iaitu Program Pencarian dan Pengurusan Bakat, Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS), Kolej PERMATApintar™  Negara dan Program ASASIpintar (Program Pra-Universiti).