Malaysian Journal of Student Advancement @ Jurnal Personalia Pelajar

 HEP-UKM

PANDUAN KEPADA PENYUMBANG

SKOP

Jurnal Personalia Pelajar ialah sebuah jurnal ilmiah yang komited kepada perkembangan dapatan penyelidikan dalam bidang perkembangan dan kemajuan pelajar. Jurnal ini menerbitkan artikel, ulasan topik terkini, dan nota penyelidikan yang menarik minat para sarjana, terutamanya daripada segi kandungan dan pendekatannya.

Jurnal Personalia Pelajar diterbitkan oleh Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni dan dianggotai oleh Sidang Editor yang terdiri daripada ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain itu, para sarjana terkenal dari universiti dalam dan luar negara dilantik sebagai ahli lembaga penasihat dan penilai artikel yang dikemukakan.

 

PROSEDUR PENYERAHAN MANUSKRIP

Jurnal Personalia Pelajar menerbitkan manuskrip yang ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Manuskrip yang diserahkan untuk diterbitkan dalam jurnal ini hendaklah karya asli yang belum pernah diterbitkan atau tidak dihantar serentak untuk pertimbangan oleh mana-mana penerbitan lain.

Dua salinan manuskrip, ditaip selang dua baris di atas kertas bersaiz A4 tidak melebihi 15 muka surat, hendaklah diserahkan kepada Ketua Editor, Jurnal Personalia Pelajar Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia, Aras 7, Bangunan PUSANIKA, 43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Para penulis yang manuskripnya telah diterima untuk penerbitan dikehendaki menghantar sesalinan manuskrip akhir yang telah disunting berserta dengan salinan fail dalam disket atau CD.  Semasa manuskrip masih dalam pertimbangan para penulis bertanggungjawab menghubungi editor untuk memaklumkan tentang sebarang perubahan alamat.

 

FORMAT DAN GAYA FORMAT

Tajuk sesuatu manuskrip perlulah ringkas, deskriptif, dan seharusnya tidak melebihi 15 perkataan. Setiap manuskrip harus mempunyai abstrak, 150 hingga 250 perkataan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang memerihalkan isi utamanya. Pihak editor akan memberikan bantuan kepada penulis yang tidak dapat menyediakan abstrak dalam Bahasa Melayu.

Secara am, pembahagian isi merangkumi Pengenalan, Kaedah Penyelidikan, Hasil dan Perbincangan, Kesimpulan dan Rujukan.  Setiap manuskrip mesti disertakan dengan 3-5 kata kunci.

Semua ilustrasi termasuk rajah, carta dan graf, mesti dilabel dan disediakan dalam halaman yang berasingan daripada teks. Kedudukan ilustrasi seperti yang dikehendaki dalam teks hendaklah ditanda dengan jelas. Semua ilustrasi ini harus dirujuk dan dinomborkan secara berurutan sebagai rajah. Semua ilustrasi hendaklah sama ada dilukis dengan jelas menggunakan dakwat kekal, difotografkan dalam bentuk hitam putih atau warna dan dicetak di atas kertas yang bermutu, atau dalam bentuk imej digital, dan disediakan dalam bentuk camera-ready.

Rujukan dalam teks hendaklah menggunakan sistem nama penulis dan diikuti oleh tahun penerbitan. Satu senarai rujukan yang disusun mengikut abjad hendaklah dimasukkan di bahagian akhir sesebuah manuskrip. Kesemua rujukan yang dipetik dalam teks haruslah muncul dalam senarai rujukan. Para penulis bertanggungjawab memastikan ketepatan dan kesempurnaan maklumat dalam senarai rujukan. Semua manuskrip mesti mengikut garis panduan rujukan Penerbit, Universiti Kebangsaan Malaysia atau The Chicago Manual of Style (University of Chicago Press). Gaya rujukan yang digunakan haruslah konsisten di semua bahagian manuskrip.

 

HAKCIPTA

Para penulis bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan manuskrip mereka tidak melanggar mana-mana hak cipta yang sedia ada. Para penulis seharusnya mendapatkan keizinan untuk menerbitkan semula atau mengubahsuai bahan-bahan yang mempunyai hak cipta, dan menunjukkan bukti keizinan tersebut semasa menyerahkan naskhah akhir manuskrip.

 

PROSES PENILAIAN

Sesebuah manuskrip akan dinilai oleh Sidang Editor dan sekurang-kurangnya seorang wasit bebas. Keputusan tentang penerbitan sesebuah manuskrip didasarkan kepada saranan ahli-ahli lembaga ini. Sesebuah manuskrip akan dinilai berasaskan kesesuaiannya dengan Jurnal Personalia Pelajar, sumbangan kepada disiplin ilmu, kejituan analisis, keluasan konseptual, persembahan yang jelas, dan kesempurnaan teknikal.  Nama penuh dan afiliasi semua penulis manuskrip hendaklah dinyatakan pada halaman depan yang dibuat secara berasingan dengan manuskrip.  Manuskrip yang diserahkan oleh mana-mana anggota Sidang Editor juga tertakluk kepada prosedur penilaian yang sama.

 

NASKHAH SEMAKAN, OFF-PRINTS DAN ALAMAT

Satu set pruf akan dihantar kepada penulis bagi tujuan penyemakan kesilapan percetakan. Adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk memaklumkan sebarang pembetulan kepada Sidang Editor. Para penulis akan dibekalkan dengan 20 off-prints percuma berserta dengan satu naskhah jurnal sebaik sahaja ia diterbitkan. Sila nyatakan alamat semua penulis manuskrip (termasuk nombor telefon, faks dan e-mail) bagi tujuan surat menyurat.