Persatuan Kakitangan Akademik UKM

 Cakna Kebajikan Ahli Akademik

Berita Panas

1) STATUS SYARAT PENGESAHAN JAWATAN PENSYARAH DS51

Pada 3 Sept 2018, Presiden PKAUKM telah menghantar surat kepada pihak Pendaftar UKM bertanyakan tentang status syarat pengesahan jawatan bagi pensyarah kanan DS51. Ini kerana PKAUKM telah mendapat maklumat bahawa Pihak Pengurusan Tertinggi UKM akan menambah syarat pengesahan jawatan bagi pensyarah kategori ini seperti berikut:
i) menerbitkan 3 jurnal SCOPUS
ii) pensyarah tersebut adalah pengarang utama bagi jurnal tersebut
iii) mengajar satu kursus citra
iv) membuat satu kursus dalam bentuk MOOC

PKAUKM berpendapat sebarang perubahan kepada syarat-syarat pengesahan jawatan atau kenaikan pangkat perlulah dibincang terlebih dahulu dengan PKAUKM yang merupakan badan utama yang menjaga kebajikan kakitangan akademik. Tambahan pula syarat lama telah dipersetujui di dalam Minit Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) pada tahun 2014 yang lalu.

Harap maklum.

2) LAPORAN SOAL SELIDIK MENGENAI PERLAKSANAAN ICGPA DI UKM

PKAUKM mengambil inisiatif melaksanakan satu soal selidik ringkas mengenai perlaksanaan iCGPA di UKM. Ini berikutan kenyataan media YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia bahawa iCGPA tidak diwajibkan di universiti awam. Namun, YB Menteri telah memberi pilihan kepada universiti awam (UA) sama ada ingin meneruskan program itu atau sebaliknya.

Kenyataan media tersebut boleh ditonton di: Video

Untuk itu, exco PKAUKM telah merangka dua instrumen soal selidik untuk meninjau persetujuan ahli PKAUKM dan ahli akademik mengenai perlaksanaan iCGPA di UKM. Tempoh soal selidik bermula 29 Jun 2018 sehingga 4 Julai 2018. Dapatan awal kajian telah turut disampaikan kepada YB Menteri semasa pertemuan antara YB Menteri Bersama MAAC di KPT pada 2 Julai 2018.

Dua soalan tersebut adalah:

  1. Persetujuan mengenai perlaksanaan iCGPA di UKM
  2. Jika ia diteruskan di UKM, adakah anda akan memberi kerjasama?

Seramai 430 orang kakitangan telah memberi maklum balas. Lebih 90% tidak bersetuju dengan perlaksanaan iCGPA di UKM. Hampir 60% tidak akan memberi kerjasama kepada perlaksanaan iCGPA jika ia diteruskan dilaksanakan.

Pendirian PKAUKM

Dengan mengambil kira kenyataan media YB Menteri bahawa perlaksanaan iCGPA di UA perlu mengambil kira consensus di UA, maka dengan ini PKAUKM mencadangkan bahawa perlaksanaan iCGPA tidak diteruskan.

3)  SKIM PERKHIDMATAN DAN GAJI AKADEMIK

Pada 29 April 2018 Kongres Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) telah mengeluarkan satu resolusi yang dipersetujui oleh semua Persatuan Akademik di IPTA termasuk PKAUKM dimana Presiden MAAC akan mengadakan pertemuan dengan YB.Menteri Pendidikan untuk merealisasikan resolusi tersebut iaitu:

Menggesa kerajaan mewujudkan satu (1) skim perkhidmatan untuk semua ahli akademik UA, tanpa mengira bidang, yang lebih baik bagi memastikan kesegaraman dan kelestarian skim perkhidmatan ahli akademik UA. (Skim Perkhidmatan dan Gaji Akademik  SPGA).

Isu ini akan dibincangkan dengan secepat mungkin dengan YB.Menteri yang baru dilantik  iaitu YB. Dr. Maszlee Malik.

Harap maklum. Terima kasih.

Translate »