1
2 4
3 5
 
 
 
 

Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia ke-XI

   
   

Dengan bertemakan Pembangunan untuk Kesejahteraan dan Perdamaian: Pengalaman Indonesia-Malaysia, Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia ke-XI (SKIM XI) telah berjaya diadakan pada 10 hingga 12 November 2009 di Universitas Padjadjaran (UNPAD), Bandung, Indonesia.  Hubungan akrab yang terjalin sejak awal 1980an, telah memastikan SKIM kini mampu bertahan walaupun setelah berusia 24 tahun.   SKIM XI menampung pembentangan 220 kertas kerja oleh para peserta dari pelbagai universiti dan institusi di Malaysia dan Indonesia.  Dalam ucapan pelancarannya, Rektor UNPAD, Prof. Ir. Dr. Ganjar Kurnia menegaskan bahawa SKIM anjuran bersama UNPAD dan UKM telah membuktikan keakraban para ilmuan dan sarjana Indonesia dan Malaysia dalam perkongsian ilmu, pengetahuan dan pengalaman bagi pengembangan taraf kehidupan masyarakat terbanyak.  Beliau juga menggesa agar SKIM akan terus diadakan dengan kesedaran untuk mempertingkat kualiti penganjuran dan kertas kerja yang dibentangkan.

Sementara itu, bagi Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor UKM, SKIM bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturrahim antara UKM dengan UNPAD, tetapi juga antara Malaysia dengan Indonesia.  Beliau berkeyakinan, para ilmuan dan penyelidik Malaysia dan Indonesia telah mengambil langkah yang betul dalam menyumbang penentuan arah membina kedamaian, kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  Kepulauan dan rumpun Melayu adalah suatu kawasan geopolitik yang kaya dan kuat. Kekayaan dan kekuatan budaya, bahasa, biodiversiti, sumber asli, keupayaan pemikiran dan kreativiti penduduknya mampu menyediakan ramuan untuk membangunkan sebuah tamadun agung di rantau ini.  Yang perlu dilakukan adalah penggemblengan seluruh kekuatan itu dalam menangani cabaran dan merebut segala peluang serta menggilap harta warisan ke arah mencapai matlamat ketamadunan alam Melayu.  Beliau juga mengharapkan SKIM akan meneruskan tradisinya dengan menerbit semua kertas kerja berkualiti yang dibentang sebagai langkah memperkaya korpus ilmu Malaysia-Indonesia.

 
     
 
     
 

Foto dari Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat, UKM

 

 
 
 

Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi Selangor, MALAYSIA. Tel: +603 8921 5555, e-mel: webmaster@ukm.my
Laman web ini diselenggarakan oleh Unit Kandungan Web Universiti (UNIKWeb)
Penafian. Hakcipta © Universiti Kebangsaan Malaysia 2008