Satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Harvard University Asia Center dan Lam Kin-Chung Morning Sun Charity Fund telah diadakan pada 28 Oktober 2009.
UKM diwakili oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin , selaku naib canselor. Harvard University Asia Center pula diwakili oleh Dr. Ho Hau Wong, selaku penasihat kehormat manakala Lam Kin-Chung Morning Sun Charity Fund diwakili oleh Dr. Lam Kin Chung yang merupakan pengasas dan pengerusi organisasi berkenaan. Turut hadir dalam majlis ini ialah Prof. Sugata Bose, Profesor sejarah Gardiner, University Harvard.
Matlamat MoU ini adalah untuk memformal kerjasama antara ketiga-tiga buah organisasi berkenaan dan juga untuk menjadi penaja bersama kepada "Initiatif Siri Syarahan Umum Harvard Ezra F. Vogel Malaysia/Singapore”. Dengan menandatangani MoU ini, UKM akan menjadi hos syarahan Harvard Ezra F. Vogel Malaysia sebanyak dua kali setahun bagi tempoh lima tahun. Syarahan umum yang akan diadakan pada 2010 nanti bakal menjadi sebahagain daripada perayaan 40 tahun UKM.
Program yang dinamakan sempena nama Prof. Ezra F. Vogel yang menjadi Pengarah Harvard University Asia Centre dari tahun 1997-1999, bertujuan untuk memperkukuh hubungan universiti Harvard merentasi Asia Tenggara dan Asia Selatan bermula dengan Singapura dan Malaysia. Harvard University Asia Centre memfokus kepada hubungan antarabangsa di Asia dan kajian perbandingan di negara dan rantau Asian. UKM berasa bangga kerana dipilih sebagai universiti di Malaysia untuk terlibat dalam siri syarahan ini bersama-sama dengan Nanyang Technological University di Singapura.
Kerjasama di antara UKM dan Harvard bermula lewat tahun 1980-an apabila UKM mengkaji trak yang sejajar dalam pendidikan perubatan yang salah satu daripadanya adalah pembelajaran berasaskan masalah. Kemudian, pada awal tahun 11990-an, Fakulti Perubatan UKM menghantar empat ahli fakulti bagi mendapat latihan klinikal dan penyelidikan dalam bidang otorhinolaryngologi atau ENT. Latihan yang diperoleh daripada Harvard Medical School telah sebahagiannya menyumbang kepada kejayaan Program Implan Koklea yang diwujud pada tahun 1995, dan Pusat Kejuruteraan Tisu yang ditubuh pada tahun 2001.
Bagi mengingati peristiwa tersebut, UKM dengan bangga menjemput Prof. Sugata Bose untuk menyampaikan syarahan umum tahunannya bertajuk “The Idea of Asia in Modern History”.
Adalah diharapkan dengan inisiatif baru ini, akan membuka lebih banyak peluang bagi kedua-dua universiti untuk bekerjasama dalam bidang seperti cabaran membina negara bangsa, teknologi perubatan dan kesihatan, tenaga keterbaharuan, perubahan iklim, teknologi nano dan bahan termaju, biodiversiti dan bioteknologi serta pembangunan lestari.
Foto dari Pejabat Perhubungan Antarabangsa, UKM
|