Home

PROGRAM DOKTOR PENDIDIKAN TINGGI

There are no translations available.

PROGRAM DOKTOR PENDIDIKAN TINGGI

 

Program Doktor Pendidikan Tinggi adalah satu program kedoktoran baharu yang ditawarkan secara bersama oleh Fakulti Pendidikan (FPen) dan Pusat Pembangunan Akademik (PPA). Program yang berbentuk pembelajaran sepanjang hayat ini telah diluluskan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bertarikh 11 Oktober 2012. Program ini merangkumi satu gabungan kursus-kursus yang telah dianjurkan oleh PPA dengan kursus-kursus baharu yang telah dikenalpasti.  Selain itu, satu projek penyelidikan perlu dijalankan untuk melengkapkan program ini.

 

Program ini diwujudkan untuk menyediakan ahli akademik yang berketerampilan dan berkemahiran dalam pengajaran di peringkat pendidikan tinggi. Ia juga bertujuan untuk melahirkan pengurus akademik yang mampu memperkemas sistem pendidikan tinggi negara dengan memberikan sokongan kepada ahli akademik bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan modal insan yang berkualiti seperti mana yang termaktub dalam Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara.


Program ini juga adalah satu program berkonsepkan pembelajaran berasaskan kerjaya (work-based learning) yang boleh diikuti berdasarkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Program ini memberi penekanan kepada aspek penyelidikan yang merangkumi aspek yang berkaitan dengan perkembangan kurikulum pengajian tinggi serta inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.


Untuk mengikuti program ini, calon perlu melengkapkan 30 kredit kursus dan menyelesaikan satu projek penyelidikan yang bernilai 40 kredit. Kursus-kursus yang ditawarkan dikategorikan mengikut blok-blok seperti berikut:

Blok 1: Pendidikan Tinggi Asas (4 kredit)

Blok 2: Pendidikan Tinggi Lanjutan (4 kredit)

Blok 3: Pendidikan Tinggi Profesionalisme (4 kredit)

Blok 4: Pemantapan Pendidikan Tinggi (12 kredit)

Blok 5: Kajian Tindakan (6 kredit)

 

Calon boleh memulakan penyelidikan iaitu Blok 6 (40 kredit) setelah melengkapkan semua kursus di Blok 1, 2 dan 3 yang bernilai 12 kredit.  Hasil penyelidikan calon perlu diterbitkan dalam makalah jurnal berwasit.  Calon juga perlu mengemukakan satu disertasi pendidikan tinggi yang merupakan hasil integrasi  makalah-makalah yang telah diterbitkan dalam jurnal berkenaan. Pengijazahan Doktor Pendidikan Tinggi akan dikurniakan kepada calon yang telah melengkapkan kesemua Blok yang bernilai 70 kredit.

 

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperoleh dengan muat turun disini.

 

PROGRAM DOKTOR PENDIDIKAN TINGGI

Prof. Ir.  Dr. Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat memberi taklimat Program Doktor Pendidikan Tinggi kepada kakitangan UKM pada 18 Mac 2013 di bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM.

Last Updated on Monday, 27 May 2013 09:34