Lestari Bakau 2022

Anjuran: Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad (CoopKilim), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) & Pusat Penyelidikan dan Kecemerlangan Marin (MAREC) UiTM Perlis

Tarikh: 16 Julai 2022

Tempat: Dewan Anjung Lestari, Jeti Pelancongan Sungai Kilim, Langkawi, Kedah

LANGKAWI, 16 Julai 2022 – Bagi meraikan sambutan Hari Pemuliharaan Paya Bakau Sedunia 2022, Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi (CoopKilim) bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pusat Penyelidikan dan Kecemerlangan Marin (MAREC) UiTM Perlis telah mengadakan satu program “Lestari Bakau” di Taman Georimba Kilim Kars, Langkawi yang berlangsung pada 15 hingga 17 Julai 2022. Peserta program adalah terdiri daripada 42 orang pelajar daripada MAREC yang mana telah berkampung bersama keluarga angkat di sekitar kawasan Kilim berkenaan. Wakil daripada Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-UKM) yang terlibat secara langsung adalah Dr. Ahmad Aldrie Amir (Ketua Program Penyelidikan Integriti Alam Sekitar) dan En. Othman Ayeb (Felo Bersekutu). Dr. Ahmad Aldrie Amir yang merupakan pakar dalam pengurusan dan pemuliharaan serta ekologi hutan bakau terlibat dalam pelancaran Program Pendidikan serta turut memberikan penerangan semasa program berlangsung. Selain PPL-UKM, agensi-agensi lain yang turut dijemput termasuklah Pejabat Hutan Daerah Langkawi, Galeria Perdana, Pejabat Perikanan Daerah Langkawi dan Friends of Langkawi Geopark (FLAG).

Laporan disediakan oleh: Asbiyatulaida Derahman