Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan menawarkan program pengajian siswazah secara tesis dan kerja kursus bagi melatih lebih ramai saintis yang mampu menjalankan penyelidikan asas dan gunaan dalam usaha untuk menjadikan UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan. Program Sarjana melalui tesis disokong dengan beberapa kerja kursus bagi menyediakan asas yang kukuh kepada calon sebelum menjalankan penyelidikan. Program Sarjana dengan kerja kursus pula akan mewajibkan calon menjalankan satu projek penyelidikan yang pendek dan berfokus. Program Pengajian lanjutan di peringkat sarjana dan doktor falsafah dijalankan samada secara sepenuh atau separuh masa.
BIDANG PENYELIDIKAN DAN IJAZAH YANG DITAWARKAN
Pusat Pengajian menjalankan penyelidikan dalam bidang-bidang penyelidikan yang antaranya ialah analisis dan kimia makanan, bahan perisa, biopolimer boleh dimakan, fitokimia dan aditif makanan lain, ingredien makanan, penerimaan makanan, kederiaan makanan, keselamatan makanan dan kualiti, mikrobiologi makanan dan fermentasi, pemakanan komuniti, pemprosesan makanan, bahan bukan organik, getah asli cecair, kimia koloid, pemangkinan, persekitaran, sebatian semulajadi daripada tumbuhan, teori dan simulasi dan kimia minyak dan lemak. Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan menawarkan program pengajian siswazah dalam bidang-bidang mengikut jenis pengajian berikut:
· Doktor Falsafah (Kimia)
· Doktor Falsafah (Pemakanan)
· Doktor Falsafah (Sains Makanan)
· Sarjana Sains (Kimia)
· Sarjana Sains (Pemakanan)
· Sarjana Sains (Sains Makanan)
