PUSAT KAJIAN PEMBANGUNAN, SOSIAL & PERSEKITARAN

 Center for Research in Development, Social and Environment

ANSOS Sepintas Lalu

PENGENALAN

Sebelum proses penstrukturan semula fakulti dilaksanakan pada tahun 2001, Program Antropologi dan Sosiologi wujud sebagai sebuah jabatan iaitu Jabatan Antropologi dan Sosiologi. Jabatan tersebut telah ditubuhkan serentak dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada bulan Mei 1970. Pada awalnya dua disiplin iaitu antropologi dan sosiologi telah diajar di Jabatan secara berasingan, tetapi mulai sesi 1979-80 usaha telah diambil untuk mengintegrasikan disiplin antropologi dan sosiologi dari segi program pengajaran dan bidang penyelidikan.

 

            Prinsip utama yang digunakan dalam merekabentuk kurikulum Program adalah terkini, sentiasa mengambilkira dan berevolusi mengikut perkembangan ilmu dan teknologi, lengkap dan mantap. Prinsip yang digunakan juga mengambilkira visi Universiti yang ingin menjadi universiti bertaraf dunia. Sehubungan itu visi Program memberikan pendidikan bersifat ilmiah dan saintifik tentang manusia, masyarakat dan budaya. Dari segi misinya pula Program menjana ilmu yang berteraskan gabungan disiplin antropologi dan sosiologi yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat dan budaya yang membangun dan berperanan aktif dalam menanggapi isu-isu lokal, regional dan global. Matlamat akhir Program adalah menghasilkan graduan yang memiliki ciri-ciri profesional yang relevan, sesuai di pasaran, berdaya saing dan cukup terlatih untuk pembelajaran seumur hidup.

           

            Kursus-kursus yang ditawarkan oleh Program pada peringkat Sarjanamuda menggabungkan dua komponen, iaitu komponen sejagat dan khusus. Komponen sejagat merangkumi teori dalam sains sosial termasuk falsafah dan pemikiran sosial, teori serta metodologi dalam antropologi dan sosiologi. Komponen khusus pula tercermin daripada kursus-kursus teras kedua-dua disiplin seperti famili dan kekerabatan, urbanisasi dan urbanisme, hubungan etnik, etnografi, agama, kajian minoriti, gender, devians dan jenayah, sosiologi industri, perubahan sosial, organisasi kompleks, budaya dan konsumerisme dan pemakanan dan kesihatan. Melalui kursus-kursus tersebut, kajilidikan, latihan industri dan penulisan latihan ilmiah pelajar dapat mengamati dan menganalisis proses sosiobudaya secara am dan berupaya mengenali pelbagai fenomena sosial dan isu yang terlibat dalam proses pembangunan negara secara khusus.

 

            Sesuai dengan matlamat Program untuk memperkasakan lagi pengajian siswazahnya dan meningkatkan mutu graduan siswazah, kedua-kedua kurikulum prasiswazah dan siswazah dinilai secara bergabung dari semasa ke semasa. Tujuannya adalah menyemak kesinambungan ilmu yang diberikan, kesesuaiannya dari segi aplikasi dan tuntuan pasaran, dan memastikan pengajaran serta pembelajaran bersifat terkini dan global. Sehingga kini Program telah banyak melatih pelajar siswazah dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Iran, Nigeria, Jepun dan Mexico. 

           

Sejak awal penubuhannya hingga sekarang, Program Antropologi dan Sosiologi telah mempunyai rekod pencapaian akademik yang amat membanggakan. Hal ini tergambar melalui komitmen tenaga pengajarnya terhadap pengajaran yang cemerlang, penglibatan secara terus menerus dalam penyelidikan yang berkualiti tinggi menggunakan dana UKM dan dana dari luar UKM di peringkat nasional dan juga antarabangsa, khidmat konsultasi yang diberikan kepada pelbagai pihak luar dari UKM, dan sumbangan ilmiah serta profesional kepada beberapa dasar dan pelan negara.