PROGRAM SAINS POLITIK UKM

Jabatan Sains Politik ditubuhkan di UKM pada bulan Februari 1976. Berikutan dengan penstrukturan semula Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) pada 2001, Jabatan ini telah dikonstruksi semula sebagai sebuah program di bawah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi. Berbanding dengan disiplin lain di dalam FSSK, sains politik adalah asas kepada kemunculan/terbitan sub-disiplin dalam pengajian strategi. Tanpa kewujudan sains politik, maka tidak akan wujud perkara seperti hubungan antarabangsa, ekonomi politik antarabangsa, pengajian strategi dan keselamatan malah pengajian yang berkaitan dengan pertahanan (Ramasamy 2005).

 

Objektif Program Sains Politik adalah untuk melahirkan siswazah yang menguasai ilmu Sains Politik, berfikiran kritikal dan mempunyai sikap serta kemahiran menyelidik dan berkeupayaan mengaplikasikannya dalam bidang pekerjaan. Sebagai salah satu program sains politik terawal di negara ini, program ini telah melahirkan begitu ramai graduan yang kini melata di serata perkhidmatan sama ada sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Sebahagian besar dari mereka menceburi bidang-bidang seperti perguruan, pegawai tadbir diplomatik, wartawan, pentadbir, diplomat, penyelidik dan juga ahli politik. Ia juga menjadi payung kepada penghasilan pensyarah-pensyarah baru yang kini bertugas di beberapa institusi pengajian tinggi tempatan khususnya universiti-universiti bukan penyelidikan yang baru ditubuhkan.

 

Antara sarjana-sarjana yang pernah berkhidmat dan menyumbang kepada prestij program ini termasuklah  Dr Sanusi Osman, Allahyarham Rustam Sani. Dr. P. Ramasamy, Profesor Harold Crouch, Allahyarham Dr. Mohd Ali Kamaruddin, Ghazali Mayudin, Saliha Hassan dan Wan Abdul Rahman.

 

Dengan menawarkan pengajian dari peringkat sarjana muda sehinggalah ke Doktor Falsafah, Program Sains Politik mempunyai cakupan pengajian yang komprehensif meliputi kursus-kursus seperti Pengantar Sains Politik, Pengantar Falsafah Politik, Pengantar Pentadbiran Awam, Transformasi Politik Dunia, Falsafah dan Ideologi Politik, Teori Dan Politik Malaysia, Ekonomi Politik Antarabangsa, Politik Amerika Syarikat, Penulisan Akademik dan Metodologi Penyelidikan. Ia direkabentuk untuk melahirkan siswazah yang mempunyai ilmu tentang sistem pemerintahan negara, hubungan diplomatik dengan negara luar dan juga melahirkan penggubal dan pelaksana polisi negara yang berkeupayaan.

 

Keperluan kepada lulusan Sains Politik ini amat mustahak bagi mengisi tuntutan pasaran semasa sehingga permohonan untuk belajar di Program ini adalah tinggi sekali.  Umpamanya, bagi Semester 2, sesi akademik 2012/2013, bilangan pelajar yang mendaftar untuk beberapa kursus sarjana mencecah 40 orang iaitu pertambahan lebih 100% dari bilangan yang biasa diterima. Selain itu, dinamika politik semasa yang mengalami perubahan demi perubahan seperti yang mula disaksikan pada Pilihan Raya Umum Ke-10 1999 dan Pilihan Raya Umum Ke-12 2008 telah menambah minat dan permintaan terhadap program ini.

 

Untuk maklumat lanjut, hubungi:
Ketua Program Sains Politik,
Dr. Muhamad Takiyuddin Ismail
Tel: 03-89214459
E-mel: taki@ukm.my