Pusat Penyelidikan Tasik Chini, UKM (603) 8921 3291

pptc@ukm.my

Kajian mamalia kecil di Lembangan Tasik Chini

18 November 2013

Comments:

0
 November 18, 2013
 0

Category: Fauna

Kajian mamalia kecil di Lembangan Tasik Chini

Malaysia adalah antara beberapa negara didunia yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang amat tinggi. Hutan di Malaysia mampu menampung kepelbagaian spesies yang tinggi dan mempunyai spesies yang tidak dapat ditemui di tempat lain. Malangnya lebih daripada 40% hutan hujan tropika semulajadi di Malaysia telah hilang. Dua cabaran utama yang dihadapi memulihara hutan hujan tropika iaitu mengekalkan kepelbagaian biodiversiti sedia ada dan mempromosikan regenerasi hutan yang telah terganggu.

Mamalia kecil seperti kelawar (yang merupakan separuh dari jumlah mamalia yang terdapat di hutan Malaysia) dan roden (komponen kedua terbesar) memainkan peranan yang penting di dalam ekosistem semulajadi tetapi kajian berkenaan fungsi dan kepentingan kurang dikaji. Mamalia kecil mampu bertindak sebagai agen pendebungaan, agen penyebar/pemangsa biji benih, mengawal serangga perosak dan menjadi sumber makanan kepada haiwan karnivor. Kumpulan ini juga adalah komponen yang penting di dalam ekosistem hutan melalui sumbangan kepada aliran tenaga dan kitaran nutrien. Ini akan memberi kesan kepada vegetasi dan tanah yang mampu meningkatkan proses regenerasi hutan. Kadar kitar nutrien dan mineral boleh berubah disebabkan aktiviti penggalian tanah dan pemendapan najis dan air kencing oleh mamalia kecil yang boleh mempengaruhi kandungan kimia tanah.

 

Kelawar mempunyai kepelbagaian tabiat pemakanan yang lebih luas berbanding order mamalia lain. Kemampuan kelawar dalam memproses makanan dalam kuantiti yang besar mempengaruhi kepentingan kelawar dalam persekitaran semulajadi.  Pemakan serangga penting daripada segi ekologi dan pertanian di mana kelawar pemakan serangga merupakan pemakan serangga malam yang utama. Kelawar pemakan serangga memakan serangga dalam jumlah yang besar dan dipercayai memainkan peranan penting dalam kawalan biologi (serangga perosak dan perubatan) dan mengekalkan dinamika populasi serangga di dalam persekitaran semulajadi. Kelawar pemakan serangga mampu memakan serangga sekurang-kurangnya 50% dari berat badannya (dan mampu mencapai sehingga 80% dari berat badannya bagi sesetengah kelawar). Ini adalah bersamaan dengan memakan 600 ekor nyamuk dalam tempoh satu jam dan kumpulan kelawar yang besar mampu memakan sekitar 2000 tan serangga setiap tahun.

 

Sebagai penyebar biji benih bagi spesies perintis seperti Solanum dan Piper, kelawar pemakan buah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan hutan yang telah dibersihkan. Kelawar memainkan peranan yang sama atau lebih penting daripada burung dalam menyebar biji benih terutamanya dihabitat terganggu (dan mempunyai ruang) di mana tumbuhan perintis dan pokok renek penting dalam memulakan proses regenerasi hutan. Kelawar pemakan buah juga penting dalam menyebar biji benih di kawasan yang telah dibersihkan dan jarang dilaluinya oleh haiwan lain. Kelawar pemakan buah yang berjaya menyebarkan biji benih pokok ara memberi perkhidmatan yang penting kepada ekosistem dengan memastikan ketahanan jangka masa panjang daripada segi sumber makanan dan tempat tinggal bagi haiwan lain. Sejenis spesies pokok ara, Ficus sumatrana di dalam hutan hujan tropika Malaysia dimakan oleh sekurang-kurangnya 26 spesies burung dan 7 spesies mamalia yang aktif pada waktu siang dan mungkin hampir semua haiwan pemakan buah.

 

Di Malaysia, kajian tentang tabiat pemakanan kelawar pemakan serangga adalah amat kurang. Untuk mengatasi kekurangan pengetahuan ini, satu kajian yang menyeluruh tentang tabiat pemakanan dan pemilihan mangsa oleh kelawar rumah, Scotophilus kuhlii, telah dimulakan di kawasan Tasik Chini. Scotophilus kuhlii telah dipilih kerana spesies ini mempunyai kadar taburan yang tinggi dan selalu ditemui bersarang di kawasan habitat manusia dan juga boleh ditemui bersarang dalam kumpulan yang besar di dalam gua, bumbung rumah, bangunan yang telah ditinggalkan, lubang pokok getah dan juga lubang dalam pokok tumbang dalam hutan. Disebabkan kehadiran tempat bersarang berdekatan dengan manusia, kelawar spesies ini boleh menyebabkan masalah terutamanya disebabkan sisa najis dan bunyi bising. Gangguan ini mengakibatkan sarang dimusnahkan dan kelawar dibunuh. Walaupun kelawar ini mempunyai taburan yang luas, tidak banyak diketahui tentang ekologi dan biologi spesies ini.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *