Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Universiti Kebangsaan Malaysia, ialah entiti  yang mengendalikan urusan  komunikasi dengan publik dalaman dan luaran seperti pelajar, orang ramai, alumni, media dan sebagainya. Ia diwujudkan pada 11 Februari 2010 melalui penstrukturan semula yang menggabungkan  Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat (PPAK) dan Unit Kandungan Web Universiti (UnikWeb). Berikutan gabungan itu Unikweb diperluaskan peranannya dan ditukar nama menjadi Portal Berita UKM.  Seiring dengan itu, Web TV UKM diwujudkan untuk membolehkan aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan yang dijalankan oleh UKM dibuat liputan bukan saja melalui berita bertulis tetapi juga menggunakan video, dan kedua-duanya disalurkan melalui internet.

Penstukturan semula ini dilakukan selaras dengan kenaikan status Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  sebagai sebuah universiti yang memberi tumpuan kepada penyelidikan. Berikutan dengan itu terdapat keperluan mendesak untuk menyebarluas dan mempromosi aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan yang dilaksanakan di UKM bukan saja untuk makluman masyarakat Malaysia tetapi juga masyarakat dunia yang dilakukan melalui media konvensional dan media baru.

Sebelum penstrukturan itu, Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat adalah sebahagian daripada Pusat Perancangan Korporat dan Komunikasi (PPKK), manakala Unit Kandungan Web (Unikweb) terletak di bawah Pusat Teknologi Maklumat (PTM). Pejabat Perhubungan Awam yang wujud sejak penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970, secara sendiri telah melalui banyak perubahan dan beberapa kali menjadi sebahagian daripada beberapa unit lain.


Fungsi Pusat Komunikasi Korporat Kini
Fungsi teras PKK ialah pengurusan acara bagi aktiviti utama UKM, menguruskan hal-ehwal hubungan masyarakat dan urusan korporat segala kegiatan universiti yang memberi faedah kepada UKM, penyediaan ucapan rasmi pegawai utama UKM, penerbitan korporat  iaitu Senada dan Resonance,  hubungan media, promosi pendidikan dan lawatan pihak luar, khususnya pelajar sekolah, ke UKM.  PKK juga mengendalikan papan digital  dan buletin ewarga yang digunakan untuk menyampai maklumat dan berita terkini kepada seluruh warga UKM.

Selain itu ia juga menyelaras  laman web  fakulti, institut  dan pusat perkhidmatan di seluruh UKM.

Penubuhan unit Portal Berita UKM dan Web TV UKM meluaskan lagi fungsi PKK sebagai sebuah pusat sehenti komunikasi yang mengumpul, menerbit dan menyebarluaskan bahan berita sendiri, yang sebelum ini hanya bergantung kepada organisasi media luar untuk melakukannya.

Pusat Komunikasi Korporat  beroperasi dari dua pejabat, iaitu di Aras 2, Bangunan Canselori, dan di Wisma Media, Kelab Golf Danau UKM.


Pengarah Pengasas Pusat Komunikasi Korporat ialah Prof Dr Mohd Safar Hasim.