Penafian Terjemahan Bahasa Ketiga

Sila ambil perhatian bahawa laman yang akan dipaparkan selepas pengalihbahasaan secara automatik oleh komputer . Kebarangkalian kandungan mungkin berbeza daripada maksud sebenar tidak dapat dielakkan. Universiti Kebangsaan Malaysia tidak bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau kesalahan maklumat yang mungkin terjadi dari kandungan yang telah dialih bahasa. Kandungan rasmi hanya pada laman yang asal di dalam Bahasa Inggeris dan Malaysia.

PEJABAT PRO NAIB CANSELOR KAMPUS KUALA LUMPUR

PROF. DATUK DR. A RAHMAN A JAMAL

MD (UKM), MRCP (Ire), PhD (Lond), GDHM (SMU-SingHealth), FASc (Malaysia), PJN, DPNS, ANS

Pro Naib Canselor

Kampus Kuala Lumpur

Selamat Sejahtera dan Selamat Datang ke Laman Web Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia

Salam hormat saya ucapkan kepada seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia dan semoga sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat.  Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk menyandang jawatan Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur.  Jawatan yang baru diluluskan oleh UKM ini merupakan satu amanah yang amat besar dan saya berdoa agar dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh integriti serta dapat memenuhi harapan dan keperluan pihak pengurusan tertinggi universiti.

Terma rujukan utama jawatan ini adalah untuk memimpin dan menyelaras semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berada di kampus Jalan Raja Muda, Cheras dan Jalan Temerloh,  termasuk kolej kediaman. Di bawah Kampus Kuala Lumpur ini terdapat empat (4) buah Fakulti (Perubatan, Sains Kesihatan, Pergigian dan Farmasi), Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan dua (2) buah Institut Kecemerlangan (Institut Perubatan Molekul dan Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan), Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) yang akan siap pada hujung tahun 2018 serta dua(2) buah Kolej Kediaman (Kolej Tun Dr. Ismail dan Kolej Tun Syed Nasir).  Antara tugas penting lain adalah termasuk mengenalpasti dan mengurus ruang serta bertanggung jawab merancang hala tuju dan pembangunan keseluruhan Kampus Kuala Lumpur.

Beberapa perubahan dalam governan dan struktur organisasi akan dilakukan. Hasrat pengurusan tertinggi UKM ini adalah bertujuan untuk mempermudahkan tadbir urus serta mengurangkan birokrasi dan kebergantungan kepada kampus utama di Bangi dalam pelbagai aspek pentadbiran dan pelaksanaan, khususnya beberapa jabatan yang mempunyai fungsi yang sama merentas kesemua pusat tanggungjawab termasuklah pengurusan kewangan, sumber manusia, prasarana dan teknologi maklumat. Acuan dan semangat UKM akan terus dimantapkan supaya apa saja yang berlaku di Kampus Kuala Lumpur ini akan mencerminkan UKM sebagai Pendaulat Amanah Negara serta merealisasikan slogan ‘Mengilham Harapan,  Mencipta Masa Depan’.

Dalam 2 bulan pertama ini saya telah memulakan sesi perbincangan dengan kumpulan pengurusan dan pelaksana serta mempengerusikan beberapa mesyuarat untuk memahami kehendak dan harapan semua pemegang taruh terhadap jawatan baru Pro Naib Canselor ini. Dalam masa ini juga saya telah menyediakan terma rujukan yang lebih terperinci bagi jawatan Pro Naib Canselor ini termasuklah punca kuasa yang perlu diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti bagi memetakan proses governan dan tadbir urus dengan jelas. Telah berlaku juga interaksi dan perbincangan  dengan YBhg. Tan Sri Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari dan semua ketua PTJ di bawah Kampus Kuala Lumpur.

Saya berdoa semoga Allah SWT akan mempermudahkan segala urusan saya khususnya untuk menggembleng sumber yang ada di Kampus Kuala Lumpur ini bagi menghasilkan sesuatu yang berbeza dan istimewa serta bernilai tinggi untuk semua pemegang taruh dan pelanggan kita termasuk pelajar, pesakit dan warga universiti.   InsyaAllah kita akan bergerak sebagai satu pasukan dan meletakkan agenda dan visi UKM sebagai panduan utama bagi mengerakkan  transformasi di Kampus Kuala Lumpur.

Saya ingin berkongsi di sini peta strategi yang saya kemukakan kepada pengurusan tertinggi semasa saya dipanggil untuk temuduga jawatan ini. Strategi ini akan diperkemaskan dan dimantapkan dengan idea dan input dari semua pihak. Perlaksanaan strategi ini hanya akan berjaya dengan kerjasama dan komitmen padu dari semua pemimpin dan warga dari semua pusat tanggungjawab Kampus Kuala Lumpur. Sekian, Wassalam.

 

6 Februari 2018

20 Jamadilawal 1439H