Forum: ”Antara Menjaga Integriti & Maruah Diri Dengan Gangguan Seksual Di Persekitaran: Apa Yang Perlu Kita Lakukan”

CHERAS, 30 Oktober 2018 – Seramai 457 peserta yang terdiri daripada warga UKM dan Universiti Awam lain hadir dalam Forum: ”Antara Menjaga Integriti & Maruah Diri Dengan Gangguan Seksual Di Persekitaran: Apa Yang Perlu Kita Lakukan” anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Kuala Lumpur. Perasmian forum telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) sebagai mewakili Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Prof. Datuk Dr. A Rahman dalam ucapannya berkata, UKM menyambut baik usaha kerajaan yang telah menyediakan Kod Amalan Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja, Pekeliling Perkhidmatan dan Garis Panduan yang berkaitan. Namun kod amalan dan pekeliling perkhidmatan sahaja tidak mencukupi malah usaha berterusan bagi memberi kesedaran kepada warga kampus termasuk pihak-pihak yang mempunyai kuasa di tempat kerja dan persekitaran pembelajaran perlu dilaksanakan. Tambah beliau, UKM komited untuk menjaga kebajikan serta melindungi kakitangan, pelajar dan orang awam daripada sebarang gangguan seksual dan salah laku di dalam kampus.

Panel undangan khas forum ialah Yang Berhormat Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal bin Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti & Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri, dan YBhg. Prof. Dr. April Camilla Roslani, Senior Vice-President for the College of Surgeons, Academy of Medicine of Malaysia dan Profesor di Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Manakala Moderator forum pula ialah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Antara topik yang dibincangkan ialah isu berkaitan gangguan seksual oleh pihak pengurusan atasan, pencabulan hak asasi manusia, persepsi awam mengenai salah laku kakitangan dalam profesian perubatan yang telah tersebar, cadangan dan tindakan yang sesuai dalam menangani gangguan seksual. Maklumat dan pandangan ahli panel yang mempunyai portfolio berbeza menjelaskan kepentingan dan tanggungjawab serta hak masing-masing dalam menangani isu gangguan seksual.

Matlamat forum untuk memberi kesedaran kepada warganya telah tercapai dan lebih banyak program kesedaran akan dilaksanakan sebagai usaha yang berterusan oleh pihak pengurusan tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia.