Hari Mesra Graduan dan Majlis Sanjungan Profesor Emeritus 2019 Fakulti Perubatan UKM

 

Oleh : Noorlaily Abdul Rahim
Foto: Hasnan Musa, Hang Jebat Mukthtar Affandi dan Noorashikin Yusof

CHERAS, 3 November 2019 – Hari Mesra Graduan dan Majlis Sanjungan Profesor Emeritus 2019 telah dianjurkan oleh Sekretariat Prasiswazah, Fakulti Perubatan. Majlis dijalankan dengan meriah dengan kehadiran lebih 600 orang tetamu yang terdiri daripada graduan, pensyarah, dan ibubapa di Dewan Kolej Tun Syed Nasir, Jalan Temerloh Kuala Lumpur. Seramai 232 orang graduan Fakulti Perubatan UKM dan 34 orang graduan Universitas Padjadjaran (UNPAD) Bandung, Indonesia diraikan pada tahun ini. Graduan Fakulti Perubatan UKM yang berjaya menamatkan pengajian adalah dari Ijazah Doktor Perubatan, Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan, dan Diploma Lanjutan Kebidanan, manakala graduan UNPAD pula dari program Ijazah Sarjana Kedokteran UNPAD.

Graduan-graduan cemerlang diraikan dengan acara penganugerahan pingat dan hadiah. Hadiah dan penganuegarah tersebut ialah Hadiah Buku Obstetrik dan Ginekologi (Prof. Dr. Chong Chan Hian), Hadiah Buku Pediatrik (Dr. Abd Malik Abdullah), Anugerah Dekan (Cemerlang), dan Pingat Emas Lokman Saim. Penganugerahan disampaikan oleh Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali kecuali Anugerah Pingat Emas Lokman Saim yang disampaikan sendiri oleh Prof. Emeretus Dato’ Dr Lokman Saim kepada penerima iaitu Saudara Chan Chee Yong. Penerima merupakan pelajar Program Ijazah Doktor Perubatan yang cemerlang dalam akademik, serta bergiat aktif dalam aktiviti persatuan, sukan dan khidmat masyarakat.

Majlis juga turut meraikan Prof. Dato’ Dr. Lokman Saim yang mendapat penganugerahan sebagai Profesor Emeritus di Majlis Konvokesyen UKM pada tahun ini. Beliau merupakan mantan Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM yang juga antara yang pertama di Malaysia dan rantau ASEAN yang mempelopori sub-bidang dalam pembedahan telinga dan otak atau neuro otology.

Turut hadir dalam majlis , Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Dr. Med. Setiawan, Dekan Fakultas Kedokteran UNPAD, Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Hj. Siraj, Pengarah Pusat CITRA UKM, Prof. Dr. Norhamidi Bin Muhamad, Pengarah Pusat Kembangan Pendidikan UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, dan barisan mantan-mantan dekan serta pensyarah.