HCTM Jalankan Pembedahan Bariatrik Tertinggi di Malaysia Sejak 1996

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

CHERAS, 18 Januari 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan lebih 1,200 pembedahan bariatric sejak tahun 1996,  jumlah tertinggi yang dicatatkan oleh hospital-hospital di Malaysia.

Pakar Gastrointestinal dan Pembedahan Obesiti, Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata, pada awalnya pembedahan ini dilakukan secara terbuka, tetapi sejak tahun 1990-an telah berlaku perubahan pembedahan terbuka kepada minimalize surgery (pembedahan laparoskopi) iaitu melalui tebukan lubang kecil sahaja.

“Jadi, dari tujuh ke lapan lubang, kemudian lima ke tiga lubang dan sekarang HCTM telah membuat pembedahan single incision laparoscopic surgery iaitu tebuk lubang melalui pusat sahaja.

“Pesakit mengalami luka pembedahan yang sangat kecil kerana hanya satu lubang sebesar 5mm sahaja yang ditebuk di pusat. Jadi masa untuk pesakit pulih dan kembali ke aktiviti normal termasuk kembali bekerja hanya satu minggu,”kata beliau.

Beliau berkata, pembedahan yang dilakukan itu adalah mengubah struktur perut (usus kecil) supaya dapat mengurangkan volume makanan atau minuman pesakit.

Katanya, pembedahan bariatric bukan sahaja untuk menghilangkan berat badan, malah dapat mengurangkan bebanan kencing manis.

“Dulu kita ingat pembedahan ini hanya untuk mengurangkan berat badan sahaja, tapi sekarang kita dapat lihat kalau pesakit yang ada masalah kencing manis, penyakit itu dapat dikawal dengan baik walaupun dalam dua hingga tiga hari selepas pembedahan.

“Sekarang kita dah tahu melalui pembedahan itu ada weight independent effect dimana tidak ada kena mengena dengan berat tetapi pembedahan tersebut dapat mengubah struktur horman dalam badan untuk meningkatkan incretin hormones. Hormon ini akan menyebabkan kawalan kencing manis lebih baik,” jelasnya.

Katanya, setakat ini, pesakit yang paling berat sekali yang pernah beliau dan pasukannya terima dan buat rawatan adalah lebih 300 kilogram (kg).

“Seorang dengan berat 350 kg dan seorang lagi dengan berat 330 kg. Alhamdulillah, pesakit yang berat 330 kg sekarang telah turun ke 144kg,” katanya.

Prof Madya Dato’ Dr Nik Ritza Kosai berkata, pembedahan itu hanya dilakukan sekali sahaja kerana ia adalah inisiatif permulaan bagi pesakit untuk mengurangkan berat badan yang lebih banyak.

“75 peratus daripada keseluruhan pakej bagaimana pesakit ini boleh hilang berat badan yang banyak adalah dalam jangka masa lama bergantung kepada pesakit sendiri. Jadi, pesakit perlu betul-betul motivated dan disiplin dengan pemakanan, di mana mereka digalakkan makan sedikit tetapi berulang kali.

“Mereka juga digalakkan untuk bersenam. Majoriti pesakit yang melakukan rawatan dan pembedahan ini suka dengan keadaan baru mereka kerana kualiti hidup semakin meningkat dan boleh buat pelbagai aktiviti. Hidup mereka berubah 360 darjah dari segi pemikiran, masalah perubatan yang mereka ada, dan juga keyakinan diri,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada ahli pasukannya iaitu Dr. Mustafa, Dr. Raynu, Dr. Aznan, dan Dr.Iman yang semuanya boleh melakukan pembedahan bariatrics secara sendiri.

“Mereka mempunyai pesakit-pesakit sendiri, tetapi kami bersatu di bawah satu bumbung di satu unit di HCTM,” katanya.