Kandungan Genetik Boleh Mempengaruhi Risiko Mendapat Kanser Pangkal Rahim Dalam Kalangan Wanita Di Malaysia

Virus papilloma manusia (human papillomavirus, HPV) merupakan virus yang menjadi punca utama kanser pangkal rahim. Namun begitu, hanya sebilangan kecil wanita yang dijangkiti oleh HPV yang menghidap kanser tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa jangkitan HPV sahaja tidak cukup untuk mengakibatkan kanser pangkal rahim. Terdapat faktor-faktor lain yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang wanita yang dijangkiti oleh HPV akan mendapat kanser tersebut. Salah satu faktor ialah kandungan genetik atau DNA individu.

DNA terdiri daripada 3 bilion subunit ataupun huruf kimia. Lebih kurang 99.9% daripada huruf kimia ini adalah serupa dalam semua manusia manakala huruf-huruf yang selebihnya adalah berbeza antara individu dengan individu yang lain. Perbezaan huruf kimia antara individu ini dipanggil “polimorfisme”. Polimorfisme menentukan ketidaksamaan atau perbezaan setiap manusia, bukan sahaja dari segi ketinggian, warna mata, warna rambut, saiz tangan dan sebagainya, malah kecenderungan seseorang untuk mendapat kanser.

Para saintis dari Amerika Syarikat, Korea, Portugis, Afrika dan beberapa negara yang lain telah mengenal pasti beberapa polimorfisme yang dapat mempengaruhi kecenderungan seseorang wanita mendapat kanser pangkal rahim. Dua polimorfisme tersebut yang sering dikaji ialah polimorfisme yang dipanggil ‘rs361525’ dan ‘rs1800629’. Kedua-dua polimorfisme ini wujud pada bahagian DNA yang menyebabkan penghasilan faktor nekrosis tumor (tumor necrosis factor), iaitu satu molekul yang memainkan peranan penting dalam proses pembahagian sel. Proses pembahagian sel ini penting untuk pertumbuhan. Namun, sekiranya jumlah faktor nekrosis tumor yang dihasilkan dalam badan terlalu tinggi, proses pembahagian sel akan berlaku dengan kerap dan ini akan mengakibatkan kanser.

Saintis percaya bahawa kedua-dua polimorfisme tersebut dapat mempengaruhi kecenderungan individu menghidap kanser kerana polimorfisme ini dapat membawa kesan kepada jumlah faktor nekrosis tumor di dalam badan. Walaupun begitu, pengaruh polimorfisme pada kecenderungan menghidap kanser lazimnya berlainan antara satu populasi dengan populasi yang lain. Contohnya, individu yang tinggal di Amerika Syarikat yang membawa huruf kimia A untuk polimorfisme rs361525 mungkin mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser berbanding dengan individu yang membawa huruf kimia G, tetapi individu yang tinggal di Korea yang membawa huruf kimia A mungkin mempunyai risiko yang rendah berbanding dengan individu yang membawa huruf kimia G, manakala individu dari Portugis yang membawa kedua-dua huruf kimia itu mempunyai risiko yang sama. Hal ini terjadi kerana individu daripada satu-satu populasi mempunyai tabiat hidup yang berlainan serta terdedah kepada pelbagai situasi persekitaran yang berlainan. Polimorfisme akan bertindakbalas dengan semua faktor yang dinyatakan untuk membawa kesan kepada kecenderungan seseorang individu mendapat kanser. Pengaruh polimorfisme rs361525 dan rs1800629 terhadap kecenderungan mendapat kanser pangkal rahim dalam kalangan wanita di Malaysia masih belum banyak diketahui.

Satu kajian telah dijalankan di mana sampel darah telah diambil daripada 185 pesakit kanser pangkal rahim dan 209 orang wanita sihat. Kajian mendapati polimorfisme rs361525 untuk huruf A dan G tidak mempunyai perbezaan ketara antara pesakit kanser dan wanita sihat. Namun, perbezaan ketara pada huruf A dan G pada polimorfisme rs1800629 dapat dilihat (sila rujuk carta di bawah). Statistik menunjukkan wanita di Malaysia yang membawa huruf A akan mempunyai risiko yang dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kanser pangkal rahim berbanding dengan mereka yang membawa huruf G. Hasil pemerhatian ini, langkah pencegahan awal kanser pangkal rahim untuk wanita berisiko tinggi boleh dilakukan dengan saringan polimorfisme rs1800629. Walaupun begitu, kajian dan penyelidikan terperinci masih perlu dijalankan sebelum saringan genetik ini boleh dilaksanakan.

 

PENULIS:
Dr. Tan Shing Cheng
Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI)

KUMPULAN PENYELIDIK YANG TERLIBAT:
1. Dr. Tan Shing Cheng, Universiti Kebangsaan Malaysia
2. Prof. Madya Dr. Mohd Pazudin Ismail, Universiti Sains Malaysia
3. Dr. Daniel Roza Duski, Hospital Sultan Ismail
4. Prof. Dr. Nor Hayati Othman, Universiti Sains Malaysia
5. Prof. Dr. Ravindran Ankathil, Universiti Sains Malaysia