Majlis Pemakaian Jubah Graduan Doktor Falsafah Kampus Kuala Lumpur UKM

CHERAS, 9 November 2018 –  Majlis Pemakaian Jubah Graduan Doktor Falsafah Kampus Kuala Lumpur UKM bagi fakulti-fakulti dan institut di Cheras dan Jalan Raja Muda di bawah satu payung Kampus Kuala Lumpur UKM buat pertama kali diadakan seacara bersama yang mana sebelum ini diadakan mengikut fakulti dan institut  masing-masing.  Acara diadakan sempena dengan Majlis Konvokesyen UKM yang ke-46 pada 10hb hingga 13hb November 2018 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Seramai 65 orang graduan Doktor Falsafah berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini dengan penyumbang terbesar bilangan graduan adalah dari Fakulti Perubatan iaitu seramai 40 orang, dari Jabatan Kesihatan Masyarakat (9 orang), Farmakologi (6 orang), Patologi (3 orang), Fisiologi (2 orang), dan masing–masing seorang dari  Biokimia, Mikrobiologi, Anatomi dan Pusat Kejuruteraan Tisu diikuti 16 orang  Doktor Kesihatan Masyarakat (DrPH). Manakala Fakulti Sains Kesihatan seramai 19 orang iaitu Sains Bio Perubatan (8 orang), Optometri (4 orang), Dietetik (2 orang), Fisioterapi (2 orang) dan masing-masing seorang dari Pendengaran dan Pertuturan, Liguistik Klinikal serta Psikologi Kesihatan. Manakala Fakulti Farmasi seramai 6 orang dan seterusnya seorang (1) dari UMBI.

Prof. Datuk. Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor UKM mengucapkan syabas dan tahniah kepada setiap graduan atas kejayaan yang dikecapi. Beliau berharap para graduan dapat terus menimba ilmu dan menyumbang kepada institusi penempatan ataupun sebagai individu. Beliau turut berharap graduan yang telah berjaya dan menempa nama pada masa hadapan tidak lupa untuk membalas budi kepada UKM dengan memberi sumbangan sama ada dalam bentuk kepakaran atau endowmen.

Hadir dalam majlis ini ialah Tuan Hj. Abdul Razak Hussin Pengarah Eksekutif Pentadbiran UKM, Dekan-dekan Fakulti, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, professor pengiring, penyelia dan graduan, ibubapa. Acara diakhiri dengan ucapan daripada Dr.Aspalilah Binti Alias, wakil graduan Doktor Falsafah dan sesi fotografi.