Pelancaran The International Strategy: The Royal College Of Surgeons Of Edinburgh (RCSEd)

 

Oleh: Noorlaily Binti Abdul Rahim

CHERAS, 25 Sept 2019 – Pelancaran The International Strategy: The Royal College Of Surgeons Of Edinburgh (RCSEd) telah diadakan di Auditorium, Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), Pusat Perubatan UKM. Majlis pelancaran dirasmikan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Keberangkatan baginda ke majlis ini turut diiringi oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Hadir dalam majlis Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor UKM, Dato’ Yeow Wah Chin, ahli Lembaga Pengarah UKM, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor UKM, Mr. Pala Rajesh, Naib Presiden The Royal College of Surgeons Edinburgh, Professor Angus Mackintosh Watson penerima anugerah The Tuanku Muhriz Travelling Fellowship.

Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dalam ucapannya berkata beliau mewakili UKM mengalu-alukan kolaborasi lanjut bersama pihak The Royal College of Surgeons of Edinburgh yang mana kolaborasi ini bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan tetapi juga dalam penyelidikan. Beliau percaya gabungan kedua-dua institusi ini boleh memberikan pencapaian yang lebih baik.

Majlis anjuran The Royal College of Surgeons of Edinburgh turut menganugerahkan penerima tokoh pertama The Tuanku Muhriz Travelling Fellowship kepada Prof. Dr. Angus Watson yang berkhidmat kepada masyarakat Borneo selama dua minggu. Prof. Dr. Angus Watson berkongsi pengalaman beliau sewaktu bertugas di beberapa pusat kesihatan dan klinik dari sudut amalan dan teknik pembedahan luar bandar berbanding pembedahan moden.