PERHIMPUNAN KAKITANGAN KAMPUS KUALA LUMPUR UKM BIL.3/2019

Majlis Perhimpunan kakitangan Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (KKL UKM) bilangan 3/2019 telah diadakan pada 23 Ogos 2019 di Auditorium Blok Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, KKL UKM, Cheras yang telah disempurnakan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro-Naib Canselor KKL UKM dan dihadiri lebih 250 orang warga kerja KKL UKM.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Dekan-dekan Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan serta juga Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Wakil Pengarah UMBI serta juga para pegawai kanan KKL UKM, Ketua-ketua Jabatan serta juga wakil pengurusan Pos Malaysia.

Pengisian majlis perhimpunan pada kali ini termasuklah pelancaran  Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) oleh Jabatan Farmasi, HCTM dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad, pelancaran Konsep Hospital Mesra Ibadah, HCTM anjuran Pusat Islam KKL UKM, pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan ke 62 anjuran Pusat Jaringan, Komunikasi Korporat dan Teknopolis Kesihatan dan yang terakhir pelancaran Kempen Filantropi oleh Bahagian Strategi dan Penjanaan, KKL UKM.

Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) bertujuan untuk memberi perkhidmatan pembekalan ubat susulan terus ke lokasi pilihan pesakit melalui sistem pos. Perkhidmatan ini merupakan salah satu daripada perkhidmatan baharu yang boleh dipilih oleh pesakit HCTM yang memenuhi kriteria tertentu yang telah ditetapkan dan telah diperkenalkan di Farmasi Pesakit Luar HCTM sejak November 2018 serta perkhidmatan ini ditawarkan hanya bagi kiriman ubat kepada pesakit luar HCTM di seluruh Malaysia sahaja.

Objektif utama perkhidmatan ini adalah untuk mengurangkan masa menunggu pesakit di kaunter farmasi; menjamin kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit dan meningkatkan tahap komplians pesakit terhadap ubat-ubatan. Sehingg kini, seramai 760 pesakit telah menggunakan sistem UMP. Caj kiriman akan ditanggung oleh pesakit mengikut berat ubat yang dihantar.

Pelancaran Konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) dengan slogan ANDA TETAMU KAMI berkonsepkan menerapkan nilai islam atau ubaidah kepada kakitangan; mengamalkan kecemerlangan perkhidmatan; memfokus kepada kesejahteraan pelanggan; dan membantu, memudah dan menggalakkan ibadah sama ada peskait, keluarga pesakiat dan kakitangan untuk melaksanankan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Aktiviti yang dijalankan oleh Pusat Islam KKL UKM melalui konsep HMI termasuklah latihan dan pendidikan kakitangan; perkhidmatan kepada pesakit dan waris; dan kemudahan dan infrastruktur. Konsep HMI akan dilaksanakan di seluruh wad secara berperingkat dan dimulai dengan Wad 6G; Wad 5F Wad 5C; Wad 4H dan Wad 2B. Pada majlis berkenaan, turut diadakan majlis penyampaian gegantung HMI kepada wakil-wakil yang berkenaan.

Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke 62 peringkat KKL UKM, acara simbolik yang dijalankan adalah dengan pengibaran bendera Malaysia oleh para pegawai kanan KKL UKM dan acara pakaian seragam pasukan keselamatan merangkumi pakaian pengawal semasa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.  Pengawal pada masa itu terletak di bawah pentadbiran Temenggung bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam negeri. Kebiasaan pakaian pengawal di istana diseragamkan untuk memudahkan pengenalannya; pakaian Polis Malay States Guides (1896); pakaian pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Unified Colonial Police Service (1936); pakaian pengawal Garrison iaitu Pasukan Polis Sarawak dan Renjer Sarawak iaitu Constabulary (1932); pakaian polis Sabah (1880); pakaian polis Perlis (1909); pakaian polis Johor (1917); pakaian polis lelaki (1974 – 1994); pakaian Special Contables (SC) lelaki (1948); dan juga pakaian seragam bagi pegawai lelaki berbentuk Bush jacket (1974 – 1994).

Turut diadakan adalah tayangan video sempena dengan Pelancaran Kempen Filantropi KKL. Video ini diarahkan oleh Saudara Shahrol Iza Suid Albana, Ketua Bahagian Multimedia Korporat dan diterbitkan oleh  KKLTV, JAKOMTEK KKL sempena pelancaran  Kempen Philantrophy “Kerana Kami Prihatin”. Menampilkan beberapa pelakon tanahair seperti Faizal Hussein, Azar Azmi dan Atiqah Afina serta penampilan khas Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM.

“Kerana Kami Prihatin” mengisahkan keinginan dan kesedihan seorang bapa yang mahu memberikan rawatan kepada anaknya yang sakit tetapi beliau tidak berkemampuan. Melalui kempen “Kerana Kami Prihatin” beliau mendapat bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia kepada Tabung Kebajikan Pesakit HCTM bagi menjalani pembedahan anaknya.

Kempen Philantrophy ini menganjur, menyokong dan memudahkan aktiviti kedermawanan bagi membantu pengumpulan dana yang mampan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, pendidikan dan penyelidikan di HCTM.