Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia

CHERAS, 14 Mei 2018 – Sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kampus Kuala Lumpur telah diadakan di Auditorium, Pusat Perubatan UKM dengan meriah. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor, Kampus Kuala Lumpur.

Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei setiap tahun dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, HCTM merupakan hari pengikhtirafan dan mengenang jasa para jururawat terutamanya yang berkhidmat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz. Kerjaya sebagai seorang jururawat tertumpu kepada hak kesihatan, penjagaan kesihatan yang berkualiti dan sentiasa menambahbaik sistem perawatan terhadap pesakit.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Prof. Madya Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Puan Fuziah Abdul Hamid, Ketua Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan serta beberapa pegawai kanan dan kakitangan kejurawatan yang terdiri daripada pengurus, ketua jururawat dan jururawat dari pelbagai wad dan klinik.

Menurut Prof. Datuk Dr. A Rahman, profesion kejururawatan kini telah  berkembang dengan perubahan pantas dari bedside nursing care kepada kerja-kerja yang highly technical. Kini telah ada nursing diagnosis untuk mengenal pasti masalah pesakit dan merancang keperluan serta kehendak pesakit mengikut keadaannya.

Tambahannya lagi di era globalisasi masa kini, transformasi sistem kesihatan menjadi cabaran dengan peningkatan umur yang panjang dikalangan pesakit.  Para jururawat perlu berilmu seiring dengan revolusi teknologi perubatan dan pembaharuan penjagaan kesihatan mengikuti perubahan masa.

Bersempena dengan sambutan ini, Jabatan perkhidmatan Kejururawatan telah mengambil langkah proaktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan amalan hidup sihat seperti  Minggu Literasi Kesihatan dan Gaya Hidup Sihat di Institut Perguruan Ilmu Khas dan Larian Amal Nurse Fit Run serta pameran evolusi perkembangan bidang kejururawatan dengan kerjasama Muzium Warisan Akademik UKM sebagai tanda penghargaan kepada  para jururawat HCTM.

Majlis dimeriahkan lagi dengan acara memotong kek dan beberapa persembahan lakonan serta nyanyian daripada kakitangan jabatan. Tidak ketinggalan, persembahan silat dan dikir yang bersahaja berjaya memeriahkan lagi suasana majlis.