SEMINAR PENGURUSAN BAKAT 2019 YANG PERTAMA DIANJURKAN DI KAMPUS KUALA LUMPUR UKM

Oleh : Hafizah Mohamad Isa
Foto : Noor Hazreena Kamarudin

CHERAS, 3 Jun 2019 – Jabatan Pendaftar, Kampus Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (KKL UKM) telah menganjurkan Seminar Pengurusan Bakat yang bertemakan Kearah Peningkatan Kemahiran Kepimpinan Alaf Baharu pada 2 hingga 3 Julai 2019 di Auditorium, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Ja’afar,  Kampus Kuala Lumpur UKM, Cheras, Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur.

Seminar ini menampilkan dua tokoh yang telah menyampaikan Ucap Utama iaitu Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi UKM dan YAM Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti. Selain
itu beberapa tokoh terkenal telah menyampaikan ceramah antaranya Tan Sri Rafidah Aziz, Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM, Datuk Dr. Md Hamzah Md Kassim, Chief Executive Officer & Co-founder of the IA Group, Dr. Fazilah Shaik Allaudin, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Pelan Kesihatan dan eHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Sherene Azura Azli, Chief Executif Officer of Malaysian Healthcare Travel Council, Prof. Ng Han Seong, Emeritus Consultant, Department of Gastroenterology and Hepatology, Singapore General Hospital (SGH) serta penampilan khas artis popular sekitar 1970an hingga 2000, Datuk Irwan Shah Abdullah (DJ Dave), Penyanyi dan Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Pengurusan bakat dilihat sebagai faktor yang kritikal bagi menentukan kejayaan serta menjadi keutamaan yang strategik bagi sesebuah organisasi. Aspek kepimpinan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pegawai yang kompeten dan berdaya saing. Seminar berbentuk sebegini adalah penting untuk memperkasa kepimpinan di samping melengkapkan Pegawai Pengurusan dan Profesional UKM dan Universiti Awam (UA) yang lain dengan budaya unggul bagi menghadapi cabaran baharu dalam bentuk permintaan dan ekspektasi yang semakin meningkat daripada publik dan pihak berkepentingan.

Berucap semasa merasmikan seminar, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, berkata penganjur telah berjaya menarik minat tokoh-tokoh akademik, korporat, pendidikan, kesihatan, perubatan dan industri yang hebat dan terkemuka negara dan pihak industri yang berkongsi ilmu serta pengalaman mengenai kemahiran kepimpinan alaf baharu kepada kumpulan pengurusan dan profesional di Universiti Awam (UA), eksekutif dan pengurus di peringkat industri dan agensi luar.

Seminar ini telah dapat mengumpulkan lebih 200 orang pegawai pengurusan dan profesional di UKM dan Universiti Awam yang lain seperti USIM, UIAM, UTHO, UNIMAS, HKL, KKM, MHTC, Malaysia Board of Cardiothoracic Surgery, dan Bower Group Asia Malaysia Sdn. Bhd. serta pengurus-pengurus di agensi luar untuk menimba ilmu dan pengetahuan serta memberi nilai tambah kepada melalui perkongsian idea yang telah disampaikan oleh tokoh-tokoh dalam sesi ceramah sepanjang seminar.

Turut hadir sepanjang majlis Tuan Haji Razak Husin, Pendaftar UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali, Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof. Madya Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom, Dekan Fakulti Pergigian, Prof. Madya Dr. Jamia Azdina Jamal, Dekan Fakulti Farmasi, ketua–ketua jabatan dan beberapa pegawai kanan KKL UKM serta pengerusi jawatankuasa penganjur seminar, Puan Rohazaini Hasan, Timbalan Pengarah Pentadbiran, Jabatan Pendaftar, Kampus Kuala Lumpur UKM serta ahli-ahli jawatankuasanya.