SEJARAH

url

1. Sejarah

Penubuhan Pusat Kesihatan Pelajar telah ditetapkan melalui Mesyuarat Hal-Ehwal Pelajar pada 23 Mac 1976. Pusat ini yang pada mulanya merupakan salah satu Unit di bawah bahagian Hal-Ehwal Pelajar telah mula berfungsi pada tahun 1978, bertempat di Paras 3, Bangunan Pentadbiran (Canselori) ketika itu, tenaga pekerja dan carta organisasi Pusat ini terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan yang dibantu oleh seorang Jururawat dan seorang Pembantu Rumah Sakit.

Dengan bertambahnya bilangan kakitangan sejajar dengan pertambahan bilangan pelajar, Pusat ini telah dipindahkan daripada bangunan Pentadbiran ke bangunan PUSANIKA pada tahun 1988. Degan perkembangan tersebut Pusat ini telah dapat menawarkan perkhidmatan Rawatan Pergigian bermula pada awal tahun 1989. Pengembangan perkhidmatan yang disediakan telah memantapkan lagi organisasi Pusat Kesihatan Pelajar (PKP).

Pembangunan berterusan Perkhidmatan Kesihatan di kampus akhirnya telah menjustifikasi Pusat ini untuk mendapat bangunannya yang tersendiri yang telah dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-6 dengan budget lebih daripada RM 3.5 Juta. Perkhidmatan rawatan telah dimulakan di kompleks yang baru dan indah ini mulai 14 Ogos 1995. Pembinaan kompleks Pusat Kesihatan Pelajar yang sedia ada ini telah mengambilkira keperluan perkhidmatan rawatan dan kesihatan pelajar untuk unjuran ke tahun 2000 seterusnya sehingga bilangan pelajar di kampus induk mencapai 20,000 orang. Dengan perkembangan perkhidmatan yang dipanjangkan kepada warga kampus selain daripada pelajar, nama pusat ini telah ditukarkan kepada Pusat Kesihatan pada Disember 2003.

2. Fungsi dan Peranan Pusat Kesihatan Universiti

Fungsi utama Pusat ini ialah untuk mengurus dan menyediakan perkhidmatan rawatan primer kepada warga kampus terutamanya pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang berada di Kampus Induk Bangi.

Kemudahan kesihatan dan rawatan asas yang disediakan kepada pelajar amat penting bagi membantu mereka mencapai tahap kesihatan fizikal, mental dan sosial yang sempurna yang diperlukan bagi memudahkan proses pembelajaran mereka. Dari perspektif yang lebih luas kemudahan yang disediakan ini juga berperanan sebagai satu daripada komponen program pembangunan sektor kesihatan negara untuk mencapai tahap ‘Kesihatan Untuk Semua’ (Health For All).