ETIKA DALAM BIDANG SENI FOTO:

Dalam apa jua profession yang diceburi, etika dan adap perlu dipatuhi. Begitu juga dalam bidang senifoto. Terutamanya bagi Jurufoto Professional (JP) yang menjadikan senifoto sebagai sumber rezeki. Namun para amatur juga tidak terkecuali kerana senifoto tidak boleh dibandingkan dengan profession lain. Contohnya Peguam, Doktor, Akuantan, Jurutera (sekadar beberapa contoh jawatan professional) mempunyai badan yang mengawal tingkah laku mereka. Jurufoto tidak ada badan begitu. Cuma kalau ada jurufoto akhbar dan majallah yang menjadi ahli dalam Pertubuhan Akhbar peringkat kebangsaan atau negeri yang mengawal mereka.

Jurufoto Amatur (JA) tidak terkecuali. Semua peraturan, etika, adap hendaklah dipatuhi oleh mereka. Jika tidak kerjaya mereka akan menjadi sukar diusahakan kerana tindakan yang mungkin diambil oleh pihak-pihak tertentu.

Secara am, segala etika bergantung pada keadaan di mana jurufoto berada. Di negara kita jurufoto wajib mematuhi undang-undang Malaysia. Samada jurufoto Malaysia atau luar negara undang-undang disini perlu dipatuhi.

Peraturan tertentu seperti di jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat perlu dipatuhi. Mereka mempunyai paraturan khas. Tidak semua kawasan, premis tertentu boleh dimasuki begitu mudah.

Di Malaysia kerajaan menerusi Jabatan Penerangan mengawal dan mendaftar semua petugas akhbar dalam dan luar negara. Begitu juga petugas dari agensi kejaan. Mereka akan diberikan Kad Pengakuan Akhbar. Kad ini akan mencetak nama, pertubuhan yang diwakili. Terdapat gambar sebagai pengenalan.Kad ini perlu dipakai ketika membuat liputan di majlis-majlis yang dihadiri oleh Yang Di Pertuan Agong, Sultan dan Raja, Perdana Menteri dan para menteri.

Namun kad ini tidak menjadi peraturan mutlak, kerana ada majlis-majlis tertentu tidak boleh digunakan kerana penganjur mengeluarkan pas khas acara-acara tertentu sebagai mengawal jumlah kehadiran petugas media.

Mana boleh semua jurufoto membanjiri mana-mana majlis. Contohnya Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran di Istana. Majlis di Parlimen, Majlis Konvokesyen di Universiti. Secara umumnya tidak semua jurufoto boleh masuk ke mana-mana majlis anjuran kerajaan atau syarikat.

Merakam gambar premis tertentu juga perlu diberi perhatian. Tidak semua bangunan boleh dirakam sewenang-wenangnya. Anda boleh ditahan atau disoal siasat jika merakam gambar tanpa kebenaran. Umpamanya di kawasan Istana, bangunan kerajaan, kilang dan sebagainya. Bayangkan jika pihak kilang mengesyaki anda berniat jahat?

Majlis-Majlis Rasmi

Saya ingin menurunkan beberapa etika ketika berada di majlis-majlis rasmi sebagai garis panduan semua jurufoto.

Menjadi satu pemandangan biasa kita melihat jurufoto seperti bebas berada di majlis-majlis rasmi.Sebenarnya tidak. Mereka tetap dikawal oleh pegawai khas yang sentiasa memerhati gerak geri. Jika salah pergerakan, mereka akan diarah keluar!!

Jurufoto juga diarah mengikuti peraturan majlis. Mereka akan ditempatkan di sudut khas. Ada masanya mereka tidak dibenarkan bergerak bebas. Lihat istiadat di Istana yang sering disiarkan oleh TV, anda mungkin tidak terlihat jurufoto bebas. Begitu juga di Parlimen.

Jurufoto tidak boleh berada rapat dengan VVIP atau VIP. Jarak antara 15-20 kaki adalah jarak yang masih di dibolehkan jika di majlis Yang Di Pertuan Agong, Sultan dan Raja, Perdana Menteri.

Jika VVIP berada diatas pentas, jangan merakam gambar dari atas pentas. Jurufoto perlu berada di bawah pentas. Di sinilah lens Telephoto/Zoom digunakan.

Jika berada di majlis makan, jangan rakam gambar semasa tetamu sedang mengunyah makanan. Kalau perlu juga merakam gambar mereka waktu itu minta kebenaran (bukan Raja) mereka.

Pakaian menjadi perkara yang utama ketika anda berada majlis-majlis rasmi. Jika majlis dihadiri oleh Duli-Duli Sultan, pakaian yang sesuai ialah suit lengkap. Jika majlis rasmi lain ialah pakaian bersopan. Jangan memakai TShirt dan Jeans, Seluar pendek!

Namun apa yang mustahak jika anda terlibat dalam apa-apa jua majlis pastikan mendapat peraturan dari pegawai khas dalam majlis tersebut. Selain itu sebagai orang timur yang tinggi nilai sopan santun, fikirlah apa yang baik dalam budaya kita itu adalah yang sesuai dengan majlis tersebut. Takkanlah orang bersopan dalam majlis kita tidak? Yang mustahak kalau boleh ikutilah kursus-kursus protokol jika ada

Begitu juga jika anda terlibat dalam acara sukan, belajar undang-undang jika tidak anda akan berada di tengah padang pulak!

Jurufoto perlu sedar dimana bumi dipijak. Sebagai jurufoto Islam, gunakan Islam sebagai panduan sempurna. Ingat perkara yang Islam larang itu adalah yang perlu ditinggalkan. Jangan musnahkan kemurnian Islam, negara, moral bangsa. Pegang amanah. Jangan rosakkan peribadi orang lain dengan ilmu dan kemahiran anda.

Membentuk keperibadian yang unggul adalah lambang tamadun manusia. Sifat Amanah, Jujur, menyimpan rahsia adalah sifat yang baik perlu ditanamkan pada diri seorang jurufoto. Jangan menggunakan menjadikan senifoto sebagai pisau untuk memusnahkan orang lain. Bentuk peribadi yang mulia untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jurufoto sedang bertugas
Kad akhbar/pas majlis rasmi

 


@RaaiMan tahpermai 26062001_edit 191003