Berita & Acara

 

 

Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya

Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya adalah penilaian yang dilakukan ke atas makmal untuk tujuan mengenalpasti semua jenis risiko yang berkaitan dengan bahan kimia yang digunakan. Penilaian ini dilakukan untuk mengenalpasti tindakan yang boleh dilakukan, berdasarkan penaksiran pada pengukuran pengawalan sedia ada (existing control) dan darjah pendedahan bahan kimia (exposure degree). Pelindungan terhadap pengguna makmal daripada kesan bahan kimia berbahaya di tempat kerja adalah salah satu tanggungjawab utama pengguna/pekerja di bawah Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994. Dalam mencapai tujuan ini, Penaksiran Risiko Bahan Kimia Berbahaya telah dilakukan terhadap semua bahan kimia yang terdapat di makmal SELFUEL, khususnya bahan kimia berbahaya terhadap kesihatan melalui kaedah mengenalpasti, menaksir dan mengawal risiko melalui aktiviti yang di jalankan.

Penilaian risiko ini telah di jalankan pada 17 Julai 2012 oleh Penilai bertauliah yang didaftarkan dengan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia, Datuk Ir. Nordeen Mohd Salleh. Prosedur bagi penilaian ini adalah berdasarkan penaksiran kualitatif, lawatan ke makmal-makmal, pemerhatian ke atas individu yang mengendalikan bahan kimia dan rujukan ke atas prosedur kerja, manual, beberapa rekod dan dokumen. Makmal yang melalui penilaian ini telah dibahagikan kepada 3 Unit kerja (Work Unit) berdasarkan jumlah bahan kimia yang terdapat di makmal berkenaan. (Lihat Lampiran).

 


Kolokium dan Sanggar Kerja Institut Sel Fuel 2012

Dimaklumkan bahawa institut sel fuel akan menganjurkan kolokium dan Sanggar Kerja Institut Sel Fuel 2012 seperti butiran berikut:

Tarikh : 27-29 Mei 2012

Masa   :  8.00 am- 10.00 pm

Tempat : Gem Beach Resort,Batu Rakit Kuala Terengganu

Harap Maklum.

 

Prof. Ir. Dr Wan Ramli Wan Daud telah dipilih sebagai Fellow Akademi Sains Malaysia dalam bidang IT dan kejuruteraan di Mesyuarat Agung Tahunan ke-17 Akademi Sains Malaysia

Prof. Ir. Dr Wan Ramli Wan Daud telah dipilih sebagai Fellow Akademi Sains Malaysia dalam bidang IT dan kejuruteraan di Mesyuarat Agung Tahunan ke-17 Akademi Sains Malaysia pada 28 April 2012. Pemilihan itu adalah suatu pengiktirafan bagi penyelidikan termaju bertaraf dunia dan sumbangan saintifik asli beliau di dalam sel fuel, tenaga hidrogen dan teknologi pengeringan, mengetuai dalam banyak subbidang, dan menerbitkan 217 makalah dalam jurnal berimpak tinggi antarabangsa dalam ketiga-tiga bidang. Wibawanya sebagai seorang saintis terkemuka dalam bidang-bidang ini telah membawa kepada undangan untuk pembentangan 13 kertas ucapan utama antarabangsa dan 10 ucapan undangan antarabangsa di seluruh dunia dan 9 ucapan utama kebangsaan. Beliau telah dianugerahkan 2 anugerah berprestij antarabangsa bagi kecemerlangan sumbangan dalam penyelidikan teknologi pengeringan dan 3 anugerah antarabangsa berprestij untuk kecemerlangan dalam penyelidikan teknologi sel fuel dan hidrogen. Beliau memenangi banyak pingat emas di pertandingan inovasi antarabangsa dan kebangsaan bagi inovasi dan ciptaan beliau.

 

The 3rd International Conference onn Fuel Cell & Hydrogen Technology (ICFCHT) 2011

 

Dimaklumkan bahawa Institut Sel Fuel, UKM akan menganjurkan persidangan antarabangsa seperti berikut:

Tajuk               : The 3rd International Conference on Fuel Cell & Hydrogen Technology (ICFCHT 2011)
Tempat            : Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur

Tarikh              : 22-23 November 2011

 

Tarikh penting:

Tarikh Akhir Penghantaran Abstrak                             31 Julai 2011

Pemakluman Penerimaaan Abstrak                             15 Ogos 2011

Tarikh Akhir Penghantaran Kertas Penuh                    15 September 2011

Pemakluman Penerimaaan Kertas Penuh                     30 September 2011

Pendaftaran Awal                                                   31 Mei 2011

 

Untuk maklumat lanjut sila rujuk brosur persidangan (seperti yang dilampirkan)  atau layari laman web berikut http://www.ukm.my/icfcht2011

 

 

Hari Bersama SELFUEL Sempena Ekspo Kecemerlangan Warisan Ilmu (EKWI) UKM 2011

 


Semua dijemput hadir

Objektif mengadakan Hari Bersama SELFUEL sempena Ekspo Kecemerlangan Warisan Ilmu UKM 2011 adalah untuk:

  1. Memberi informasi  kepada pelajar yang ingin menyambung pelajaran di peringkat Master dan Ph.D dalam bidang Sel Fuel dan Teknologi Hidrogen.
  2. Menarik pelajar dan orang awam dari semua peringkat lapisan masyarakat untuk mengenali Institut Sel Fuel dengan lebih dekat seterusnya memahami objektif penubuhan institut ini.
  3. Memperkenalkan Institut Sel Fuel kepada masyarakat umum dan industri.
  4. Memperkenalkan program pengajian yang ditawarkan oleh Institut Sel Fuel kepada pelajar prasiswazah.
  5. Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya melestarikan alam demi kelangsungan kehidupan.

Marilah kita bersama-sama memeriahkan Hari Bersama SELFUEL sempena EKWI 2011 ini demi melestarikan Masa Depan Tenaga.


Klip youtube Sel Fuel Langsung,Institut Sel Fuel UKM.

Pautan ke laman youtube DMFC: http://www.youtube.com/watch?v=2N6JiAawDh0

 

Kolokium & Sanggar Kerja Institut Sel Fuel 2010

KOLOKIUM INSTITUT SEL FUEL 2010:

14 Julai 2010, Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya, Selangor

 

Laporan selepas mengadakan persidangan

Ikhtisar hasil/perakuan persidangan

Kolokium telah berjaya diadakan dan mencapai matlamat seperti yang dirancang. Hasil daripada persidangan ini adalah penerbitan sebuah prosiding yang mengumpulkan laporan hasil penyelidikan dan kemajuan setiap kumpulan di bawah Institut Sel Fuel.

Tujuan Persidangan

Penganjuran kolokium ini adalah bertujuan untuk memantau prestasi dan pencapaian terkini Institut dan setiap kumpulan penyelidikan. Di samping itu membincangkan hala tuju dan merancang pelan strategik untuk pelaksanaan perancangan Institut dan setiap kumpulan penyelidikan. Ia juga bertujuan memberi peluang setiap kumpulan untuk berkongsi hasil kajian dengan warga SELFUEL yang lain serta mengeratkan silaturahim antara warga SELFUEL.

 

Keputusan Pameran International Invention,Innovation & Technology Exhibition 2010

(ITEX 10)

Tahniah dan syabas kepada semua pemenang:


Pingat Emas

Tajuk: DMFC for Hybrid Handphone Charger

Pemenang: Prof. Madya Dr. Siti Kartom Kamarudin,Prof. Madya Dr. Zahira Yaakub , Sariah Basri, Prof. Dr. Wan Ramli Wan Daud,Achmad Fauzie, Norhafiz Hashim, Azran Mohd Zainoodin.


Syarahan Perdana Proffesor IR. DR. Wan Ramli Wan Daud

 

Dimaklumkan bahawa Institut Sel Fuel dan FKAB,Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses akan menganjurkan Syarahan perdana proffesor IR. Dr. Wan Ramli Wan Daud:

Tajuk:Kejuruteraan ; Sains Atau Seni

Tarikh: 6 April 2010

Masa : 8.00 am - 1.00 pm

Tempat : Bilik Senatl,Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia.

Maklumat lanjut mohon hubungi:03-8921 7085/7081 (Dr.LOh Kee Shyuan/Dr Edy Herianto Majlan).

 

 

Bengkel Penulisan Manuskrip Jurnal dan Tesis 2010

Dimaklumkan bahawa Institut Sel Fuel akan menganjurkan Bengkel Penulisan Manuskrip Jurnal dan Tesis 2010:

Tarikh: 10 April 2010

Masa : 8.00 am - 5.00 pm

Tempat : Residence Hotel,UNITEN Putrajaya Campus

Maklumat lanjut mohon hubungi:03-8921 7085/7080 (Dr.LOh Kee Shyuan/En Faizal).

Keputusan Pameran 20th International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2009 (ITEX 09)

 

Institut Sel Fuel telah menghantar 4 produk penyelidikan untuk menyertai ITEX 2009 dan telah memenangi 2 Emas, 1 Perak dan 1 Gangsa. Tahniah dan syabas kepada semua pemenang.

Senarai pemenang-pemenang:

Pingat Emas
Tajuk: Renewable Hydrogen Production Using Waste Aluminium
Pencipta: Zahira Yaakob, Wan Ramli Wan Daud, Lim Kean Long, Zetty Aziza Ahmad

Tajuk: Industrial Wastewater as the Fuel for Power Generation Using a Biological Fuel Cell
Pencipta: Manal Ismail, Jamaliah Md. Jahim, Siti Kartom Kamarudin, Wan Ramli Wan Daud, Siti Norhana Shaari, Lim Swee SU, Tewarajan A/L Malaysia, Mimi Hani Abu Bakar

Pingat Perak
Tajuk: Micro Direct Methanol Fuel Cell Tool Kits: Small Power
Pencipta: Siti Kartom Kamarudin, Wan Ramli Wan Daud, Zahira Yaakob, Norhafiz Hashim, Sahriah Basri, Mismi Suraya, Umi Azmah

Pingat Gangsa
Tajuk: MEA Fabrication Using Novel Easting Machine
Pencipta: Abu Bakar Mohamad, Abdul Amir H. Kadhum, Wan Ramli Wan Daud, Nurhaswani Bahaman, Siti Rahmah Mokhtaruddin, Zaihasrah Masron

 

Liputan Media Seminar dan Pameran Sel Fuel 2009

 

Institut Sel Fuel telah berjaya menganjurkan Seminar dan Pameran Sel Fuel 2009 yang berlangsung dari 25-26 March 2009 di Hotel Palace of the Golden Horses. Berikut adalah liputan media dari Bernama dan Kosmo:
Bernama:Work With Local Varsities To Commercialise Fuel Cell, Local Firms Told
Kosmo: Motosikal tanpa bateri, petrol

 

Lawatan Kerja ke Amerika Syarikat

16-20 Mac 2009

Pengenalan

Satu lawatan kerja ke Amerika Syarikat telah diadakan pada 16 Mar hingga 20 Mar 2005 oleh kakitangan akademik Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kakitangan akademik yang mengikuti lawatan ialah Ketua Jabatan iaitu Prof. Ir. Dr. Sobri Mohd. Takriff, Dr. Nurina Anuar, Dr. Jamaliah Md. Jahim, dan Pn. Shuhaida Harun. Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk melawat Michigan State University (MSU) di Michigan, berjumpa dengan beberapa kakitangan akademik di universiti berkenaan, dan berbincang tentang beberapa perkara penting berkaitan akademik dan penyelidikan kedua-dua universiti. Di samping lawatan ke MSU, dua kakitangan JKKP yang terdiri daripada Dr. Jamaliah Md. Jahim dan Pn. Shuhaida Harun mengambil kesempatan menghadiri kursus Super Pro yang diadakan di Rutgers University, New Jersey.

Michigan State University, Michigan

Lawatan ke MSU telah bermula pada hari Isnin, 16 Mar hingga hari Selasa, 17 Mar.

Objektif utama lawatan JKKP ke MSU adalah seperti berikut:

  1. Membincang tentang program sangkutan yang akan dilakukan di MSU oleh salah seorang pensyarah di JKKP iaitu Pn. Shuhaida Harun dalam bidang kejuruteraan proses berkenaan penukaran biobahan ligneselulosa kepada gula terfermentasi.
  2. Membincangkan tentang kemungkinan untuk mendapat tempat yang sesuai untuk staf akademik menyambung pelajaran di peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan kimia, biokimia dan bioproses.
  3. Membincangkan tentang perkembangan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan kimia, biokimia dan bioproses di MSU, dan juga tentang kerjasama penyelidikan yang boleh direalisasikan di antara kedua universiti ini serta memperolehi maklumat lanjut tentang peluang latihan dan penyelidikan yang dapat dijalankan di sana.
  4. Melawat beberapa kemudahan makmal dan peralatan yang terdapat di MSU.
  5. Meninjau kesesuaian untuk melaksanakan program pertukaran pelajar di antara universiti.

Hasil Lawatan Ke MSU

Dalam rangka lawatan dua hari tersebut, antara kakitangan akademik yang telah ditemui ialah:

  1. Professor Dr. Bruce E. Dale

    Beliau merupakan University Distinguished Professor, Faculty Advisor, dan juga Associate Director di Office of Biobased Technologies, MSU. Di samping itu, beliau juga merupakan pengasas kepada Biomass Conversion Research Laboratory (BCRL) di MSU yang merupakan pusat yang menerajui penyelidikan terutamanya dalam bidang Biomass Conversion, Biobased Industrial Products, Value-Added Agriculture, dan juga Life Cycle Assessments. Beliau merupakan ketua projek penyelidikan di bawah geran Great Lakes Bioenergy Research Center, yang dibiayai oleh US Department Of Energy sebanyak USD25 million setahun selama 5 tahun. Antara projek penyelidikan yang aktif dijalan oleh beliau dan kumpulannya di BCRL ialah Utilization of Renewable Resources dan Life Cycle Models of Biobased Product Systems. Di samping itu, beliau merupakan pengasas teknologi prarawatan AFEX - Ammonia Fiber Explosion yang digunakan dalam proses penukaran biobahan lignoselulosa kepada biotenaga/biobahanapi. Pihak JKKP terutama Pn. Shuhaida dan Dr. Jamaliah telah banyak berbincang dengan beliau tentang program sangkutan yang akan dilakukan oleh Puan Shuhaida dalam pengajian PhDnya berkenaan bidang penukaran biobahan lignoselulosa, dan juga tentang kemungkinan mengadakan kerjasama penyelidikan dengan beliau dalam bidang yang telah dinyatakan.

  2. Dr. Seungdo Kim

    Beliau merupakan seorang research specialist di BCRL yang banyak menjalan projek penyelidikan berkenaan metodologi Life Cycle Analysis (LCA) terutamanya dalam bidang penukaran biobahan berlignoselulosa kepada biobahanapi seperti bioethanol, persekitaran, pancaran gas hijau dan sebagainya. Beliau telah banyak menerangkan dengan panjang lebar tentang konsep, mengapa perlunya LCA, bagaimana pendekatan untuk melakukan LCA dan sebagainya.

  3. Professor Dr. Martin C. Hawley

    Beliau merupakan Chairperson di Department of Chemical Engineering & Material Science, MSU. Perbincangan dengan beliau banyak berfokus kepada tahap pencapaian Department of Chemical Engineering & Material Science daripada segi bilangan pensyarah, bilangan pelajar (prasiswazah dan pancasiswazah), bilangan projek penyelidikan yang berbiaya, belanjawan penyelidikan, bilangan dan amaun geran baru yang telah diperolehi, bilangan paten, dan jumlah penerbitan. Beliau juga telah menerangkan kepada pihak JKKP tentang bidang penyelidikan yang terdapat di jabatan seperti 1) biotechnology, biomaterials & systems and molecular biology; 2) biobased materials resource utilization; 3) renewable energy, energy conversion & energy storage devices; 4) nanotechnology; 5) polymer & composites; 6) electronic & ceramic materials; 7) advance metallic systems; 8) colloid & interface science; dan 9) multiphase transport phenomena; dan terdapat 8 pusat penyelidikan di jabatan yang mendokong bidang penyelidikan yang dinyatakan. Beliau amat mengalu-alukan projek kerjasama penyelidikan, program sangkutan, dan juga program penukaran pelajar di antara UKM dan MSU.

  4. Professor Satish Udpa

    Beliau merupakan dekan di College of Engineering, MSU. Perbincangan dengan beliau berfokus kepada pencapaian MSU dan UKM secara kesuluruhan, dan juga tentang program sangkutan Pn.Shuhaida Harun. Seperti juga Prof. Martin, beliau juga amat mengalu-alukan projek kerjasama penyelidikan, program sangkutan, dan juga program penukaran pelajar di antara UKM dan MSU di masa hadapan.

  5. Professor Mark Worden

    Beliau merupakan seorang jurutera kimia yang amat berminat dalam bidang kejuruteraan biokimia dan sel biologi, dan kini menjadi seorang penyelidik yang aktif dalam bidang berkenaan. Antara projek penyelidikan yang diterajui oleh beliau ialah multiphase biocatalysis, nanostructured biomimetic interfaces, dan protein expression. Perbincangan dengan beliau banyak bertumpu kepada perkembangan program kejuruteraan biokimia di MSU dan UKM, dan banyak idea tentang penambaikan dalam program kejuruteraan kimia diperolehi daripada beliau.

  6. Kemudahan makmal dan peralatan yang terdapat di BCRL, Dept. of Chemical Engineering & Material Science dan MSU.
    Terdapat tiga makmal yang telah di lawati oleh pihak JKKP iaitu Biomass Convension Research Laboratory, Biomass Conversion Analysis Laboratory, dan akhir sekali Analytical Equipment Laboratory.

    • Biomass Conversion Research Laboratory (BCRL)
      Seperti yang dinyatakan sebelum ini, makmal ini merupakan pusat yang menerajui kajian mengenai penukaran bahan berlignoselulosa kepada biobahanapi atau biotenaga didalam kawasan Great Lakes. Terdapat beberapa peralatan dan proses yang digunakan dalam menjalankan penyelidikan tersebut, antaranya ialah peralatan bagi proses AFEX, peralatan bagi proses hidrolisis enzim, peralatan bagi kajian enzim dan lain lain lagi.
    • Biomass Conversion Analysis Laboratory
      Makmal ini pula merupakan satu makmal khas yang digunakan untuk membuat setiap analisis pencirian termasuk gula terfermentasi bagi proses penukaran bahan berlignoselulosa. Proses pencirian yang dibuat bermula dari proses pembersihan, penghalusan, prarawatan, hidrolisis sehingga proses fermentasi.
    • Analytical Equipment Laboratory
      Makmal ini pula menempatkan beberapa peralatan bagi analisis makmal seperti GC, HPLC, LCMS, 3D MS, Maldi-Tof dengan kuantiti yang banyak bagi setiap jenis peralatan.

Perbincangan dan penutupan lawatan ke MSU

Antara pemerhatian yang telah dilakukan:

  1. Kemudahan makmal-makmal yang dilengkapi dengan peralatan yang serba moden dan canggih.
  2. Kuantiti perlatan yang agak banyak membolehkan kemudahan yang terdapat disitu dapat dikongsikan dengan pihak luar dengan bayaran yang berpatutan.
  3. Kerjasama kakitangan jabatan dengan kakitangan luar jabatan/sokongan yang lain amat erat berpandukan kepada mod perhubungan dan projek serta analisis yang telah dilaksanakan dalam merealisasikan sesuatu produk atau keputusan.
  4. Kerjasama penyelidikan dengan beberapa universiti lain yang sungguh kuat, saling percaya di antara satu sama lain, dan pembahagian skop yang amat jelas berdasarkan projek kerjasama yang telah dan sedang dijalankan.
  5. Sifat kerterbukaan di antara kakitangan akademik, sokongan, dan juga pelajar pascasiswazah.
  6. Tempat kerja serta persekitaran yang amat selesa, serba lengkap dan juga kondusif memudahkan penyelidikan dilakukan dengan sistematik.

Seminar Batch / Bio-Process Modeling, Cost Analysis, Production Planning and Scheduling

Seminar ini yang diadakan di Rutgers University telah bermula pada hari Khamis, 19 Mar hingga hari Jumaat, 20 Mar 2009.

Seminar yang diadakan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan khusus menggunakan aplikasi software SuperPro kepada penyelidik dan jurutera yang berminat untuk mengaplikasikan software SuperPro dalam membuat analisis penyelidikan.

Seminar dua hari telah menggabungkan teori dan sesi hands-on menggunakan SuperPro Designer and SchedulePro. SuperPro yang merupakan simulator proses banyak membantu penyelidik dan jurutera dalam memodel dan mengoptimum kan proses sesekumpul dan juga proses selanjar, analisis kos, cycle time reduction, environmental impact assessment, dan lain-lain lagi. Manakala SchedulePro pula, yang merupakan penjadual pengeluar (production scheduling) dan alat pengurusan sumber (resource management tool), memudahkan pengguna dalam urusan penjadualan, perancangan, analisi kapasiti dan debottlenecking of multi-product and multi-purpose facilities. Antara topic-topik khusus yang didedahkan kepada peserta ialah Interface fundamentals, Flowsheet development and initialization, Material Balances & Equipment Sizing, Process Scheduling & Resource Tracking, Project Economic Evaluation, Throughput analysis and Debottlenecking dan Cycle Time Reduction.

 

 

Seminar & Pameran Sel Fuel di Palace of the Golden Horses, Malaysia

25-26 Mac 2009

 

Institut Sel Fuel telah berjaya menganjurkan Seminar dan Pameran Sel Fuel 2009 pada Mac 25-26, 2009 di Palace of The Golden Horses Hotel, Mines Resort City, Sri Kembangan, Selangor. Seminar itu telah dirasmikan oleh Y.B. Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi dan ucapan perasmian beliau telah disampaikan oleh Y.B. Tuan Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi. Tujuan seminar ini diadakan ialah untuk menutup secara rasmi enam projek IRPA-PR RMK-8 tentang sel fuel dan tenaga hidrogen yang berniai RM 16 juta dari 2002-2007. Seminar dan Pameran itu dianjurkan juga bagi menunjukkan kegemilangan pencapaian program penyelidikan dan pengembangan sel fuel dan tenaga hidrogen Institut Sel Fuel kepada Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi dan orang ramai. Enam projek yang mewakili 5 kumpulan penyelidikan yang kukuh, dan 4 kumpulan penyelidikan baru di Institut mempamerkan produk mereka yang termasuk motosika sel fuel Serindit, penjana kuasa mudah alih sel fuel 1 kW Lestari 1000, penjana kuasa mudah alih sel fuel 5 kW the Lestari 5000, plat dwikutub komposit polimer, MEA Pt rendah, mangkin pembentukan semula auto-terma, ekowisma hidrogen suria, fotomangkin bahan pewarna, sel fuel metanol langsung, biosel fuel dan biohidrogen daripada POME. Institut telah menerbitkan 49 makalah jurnal, 95 makalah prasidang persidangan antarabansa dan 89 makalah prasidang persidangan kebangsaan. Institute juga telah memfailkan 19 paten dan 1 cap perniagaan di MyIPO. Y.B. Tuan Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi telah mengucapkan syabas kepada Institut kerana kejayaannya di dalam projek IRPA PR RMK-8 yang baru ditutup itu dan mengarahkan syarikat tempatan mengambil dan mengkomersialkan harta-harta intelek teknologi sel fuel dan hidrogen Institut. Beliau juga mengucapkan minatnya terhadap ekowisma hidrogen suria yang beliau harap akan dilaksanakan di Sarawak dan Sabah yang tidak disambung grid kuasa. Kemudian di pameran khas pencapaian penyelidikan dan pengembangan kelompok industri di foyer Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi pada 31 Mac 2009, Y.B. Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi mengucapkan syabas kepada Institut bagi kejayaannya dan minat beliau melaksanakan ekowisma hidrogen suria di Sabah.

 

Dari kiri ke kanan: Yg.Bhg. Prof. Dr. Rahmah Mohamed, Y.B. Tuan Haji Fadillah bin Haji Yusof, Yg.Bhg. Prof. Dr. Ir. Wan Ramli Wan Daud.


Ucapan Alu-aluan oleh Yg.Bhg. Prof Wan Ramli Wan Daud, Pengarah Institut Sel Fuel.


Yg.Bhg. Prof. Dr. Rahmah Mohamed, Timbaan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi).


Ucapan oleh Y.B. Tuan Haji Fadillah bin Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi.


Perasmian oleh Y.B. Tuan Haji Fadillah bin Yusof.


Sidang media.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penyerahan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Institut Sel Fuel UKM - Fakulti Kejuruteraan Universiti Gunma di Gunma, Jepun

22-23 Mac 2009

Felo Institut Sel Fuel, Dr. Edy Herianto Majlan telah mengunjung ke Jabatan Kejuruteraan Kimia & Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Universiti Gunma, Jepun pada 22-23 Mac 2009. Kunjungan ini ialah untuk melihat penyelidikan yang dilakukan dalam bidang sel fuel di university itu serta penyerahan dan penandatanganan MOU di antara Institute Sel Fuel dan Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina UKM dengan Fakulti Kejuruteraan Gunma bagi penyelidikan bersama dalam bidang sel fuel khususnya dan bidang kejuruteraan dan alam bina amnya.

Penyerahan MoU UKM-Gunma Universiti dalam bidang teknologi sel fuel dan kejuruteraan dan seni bina. Prof. Dr. Takayuki Takarada (kiri), Prof. Dr. Nobuyoshi Nakagawa (tengah) dan Dr. Edy Herianto Majlan (kanan).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Menghadiri jemputan khas dari Kedutaan Canada di Tokyo Seminar on Canadian Hydrogen & Fuel Cell

24 Februari 2009

Pengarah Institut Sel Fuel, Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud dan Dr. Edy Herianto Majlan, pada tanggal 24 Februari 2009 telah menghadiri Jemputan khas dari kedutaan Canada di Tokyo untuk menghadiri Seminar on Canadian Hydrogen & Fuel Cell. Seminar ini menampilkan pembentang dari pihak kerajaan dan juga industri Canada seperti: Automotive Fuel Cell Cooperation (AFCC), Ballard Power Systems (www.ballard.com), Dana Canada (www.danacanada.com), Greenlight Innovation (www.greenlightinnovation.com), Hydrogen & Fuel Cells Canada (http://www.h2fcc.ca) Palcan Energy Corporation (www.palcan.com), Porotech Ltd. (www.porotech.net), QuestAir Technologies (www.questairinc.com) dan National Research Council Institute for Fuel Cell Innovation (www.ifci-iipc.nrc-cnrc.gc.ca). Dalam acara itu, pihak kedutaan Canada di Tokyo telah berjanji akan memberikan kesempatan kepada pihak Institut untuk mengunjungi industri dan pusat penyelidikan sel fuel di Canada.

 

Menghadiri 5th International Hydrogen & Fuel Cell Expo 2009

25-27 Februari 2009

Pada tanggal 25-27 Februari 2009, Pengarah Institut Sel Fuel, Prof. Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, dan dua orang felo Institut, Prof. Madya. Dr. Norhamidi Muhamad dan Dr. Edy Herianto Majlan, telah menghadiri 5th International Hydrogen & Fuel Cell Expo 2009 di Tokyo Bigsight, Jepun. Ekspo yang diadakan oleh Hydrogen Energy Systems Society of Japan (HESS) dan Fuel Cell Development Information Center (FCDIC) itu telah disertai oleh sebanyak 473 pemamer dari 15 negara serta turut dihadiri oleh 26,240 pengunjung. Dalam ekspo ini, banyak maklumat dan pencapaian terkini dalam bidang teknologi sel fuel dari 15 negara dipamerkan.

 

Jangkauan Penyelidikan dan Lawatan Sambil Belajar Ke Nanyang Technological University Singapura

26-27 Februari 2009

Pada akhir Februari 2009, kumpulan Sel Fuel Oksida Pepejal (SOFC) dari Institut Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melawat ke Makmal SOFC di Nanyang Technological University (NTU), Singapura. Kumpulan tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norhamidi Muhamad dan diiringi oleh Prof. Madya Dr. Andanastuti Muchtar, dua orang calon doktor falsafah iaitu Dedikarni dan Jarot Raharjo, serta dua orang siswazah peringkat sarjana iaitu Noor Ashrina dan Nanda Sastaviana.

Objektif lawatan adalah untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam penyelidikan SOFC di antara kumpulan SOFC UKM dan NTU. Lawatan ini juga diharap dapat mendedahkan pelajar siswazah kumpulan SOFC di UKM terhadap kerja-kerja praktikal yang terbabit dalam proses sintesis, pencirian dan penyelidikan komponen sel fuel oksida pepejal seperti anod, katod dan elektrolit.

Program lawatan dimulakan dengan pembentangan mengenai penyelidikan sel fuel di NTU oleh Professor Chan Siew Hwa yang merupakan pengarah penyelidikan sel fuel di School of Mechanical and Aerospace Engineering di NTU (http://www3.ntu.edu.sg/mae/Research/Programmes/Fuelcell/index.htm). Pembentangan seterusnya diberikan oleh Prof Madya Dr Norhamidi, yang mana beliau berkongsi maklumat mengenai kerja-kerja penyelidikan awal dalam bidang SOFC di UKM. Selanjutnya, perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama penyelidikan di antara kedua-dua pihak telah dijalankan.

Ini diikuti dengan lawatan ke makmal SOFC, NTU untuk melihat hasil-hasil penyelidikan dan kelengkapan penyelidikan yang dimiliki oleh NTU. Pelajar siswazah di bawah seliaan Professor Chan Siew Hwa telah menunjukkan secara dekat kerja-kerja penyelidikan yang mereka lakukan.

Penyampaian cenderahati oleh Prof Madya Dr Norhamidi kepada Professor Chan Siew Hwa.

 

 

 

 

 

 

 

Secara keseluruhannya, lawatan telah berjalan dengan lancar dan sangat bermanfaat terutama kepada pelajar siswazah. Professor Chan Siew Hwa dan ahli kumpulan penyelidikan beliau telah memberikan layanan yang sangat baik sepanjang lawatan dan kerjasama mereka sangat dihargai. Hasil daripada lawatan ini dijangka akan meningkatkan hubungan kerjasama di antara kumpulan penyelidikan SOFC di Institut Sel Fuel, UKM dengan kumpulan penyelidikan SOFC di NTU.

Gambar berkumpulan di Makmal SOFC, NTU


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

The International Conference on Future of the Palm Oil Business 2009 (ICPOB2009)

19-17 March 2009

Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud, Pengarah Institut Sel Fuel telah diundang oleh Asif International untuk membentang kertas ucapan utama tentang "Palm Oil Mill Effluent, Waste or Resource? Waste to Energy: Biohydrogen & Microbial Fuel Cells" (Efluen Kilang Minyak Sawit (EKMS), Bahan Buangan atau Sumber? Bahan Buangan kepada Tenaga: Biohidrogen dan Biosel Fuel) di The International Conference on Future of the Palm Oil Business 2009 (ICPOB2009), 19-17 March 2009, Hilton Phuket Arcadia, Phuket, Thailand. Tema persidangan ialah "Mengatasi Ancaman dan Menjadi Peluang Kenyataan". Prof. Wan Ramli Wan Ramli bercakap tentang cara baru teruja mengguna EKMS sebagai suatu sumber tenaga keterbaharuan bersih. Biogas adalah bahan api tersaur yang dihasilkan melalui fermentasi EKMS dalam keadan anaerobik dan gas itu diguankan di dalm kilang minyak sawit bagi menjimatkan bahn api. Alternatif yang lebih bersih pada masa hadapan terdekat ialah menghasilkan biohidrogen melalui fermentasi EKMS pada keadaan anaerobik. Biohidrogen seperti biogas, boleh digunakan di dalamkilan minyak sawit bagi menjimatkan bahn api. Cara yang lebih baik lagi menggunakan EKMS ini sebagai sumber tenaga pada masa hadapan ialah menjana tenaga elektrik langsung daripadanya menggunakan satu kelas biosel fuel yang digelar sel fuel mikrob yang menjana tenaga elektrik melalui fermentasi anaerobik di anod sambil menurun BOD/COD EKMS itu. Konsep itu digelar gabungan rawatan bahan buangan dan tenaga (GaRBaT). Cabaran sekarang ialah mengembangkan sel fuel mikrob yang mempunyai ketumpatan tenaga yang cukup untuk tersaur digunakan sebagai tenaga tambahan di kilang minyak sawit dalam masa terdekat dan sebagai tenaga teragih percuma bagi masyarakat di masa hadapan. Satu kelas biosel fuel yang digelar sel fuel enzim boleh digunakan untuk mengesan biomolekul penting. Kedua-dua sel fuel mikrob dan sel fuel enzim dikembangkan di Institut Sel Fuel, UKM oleh kumpulan biosel fuel.
Pautan ke laman persidangan: http://www.icpob.com/index.html

Fellow Akademi Sains Malaysia dalam bidang IT dan kejuruteraan di Mesyuarat Agung Tahunan ke-17 Akademi Sains Malaysia pada 28 April 2012.