KOSMO 7 JANUARI 2015: Bina enjin mesra alam

in_03.1

INSTITUT Sel Fuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mencipta kenderaan Sel Fuel Hidrogen pertama di negara ini.

Ia merupakan sebuah kereta golf yang enjinnya dijana kuasa menggunakan sistem Proton Exchange Membrane (PEM) Sel Fuel/Superkapasitor Kuasa Hibrid.

Enjin tersebut mempunyai kecekapan tenaga yang lebih tinggi daripada enjin kereta biasa iaitu 50 peratus berbanding 30 peratus.

Menariknya, enjin berkenaan mudah untuk dihasilkan dan ringan iaitu seberat 25 peratus daripada bateri biasa serta memerlukan 75 peratus ruang yang diperuntukkan bagi bateri.

Kereta tersebut dilancarkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dalam siri kelima persidangan media dan pameran pencapaian kejayaan universiti penyelidikan Malaysia di UKM, Bangi, Selangor awal bulan Disember tahun lalu.

Turut menyaksikan pelancaran itu ialah Pengarah Pengajian Tinggi Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan Timbalan Naib Canselor UKM (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar.

Enjin kereta golf itu direka dan dihasilkan oleh sepasukan penyelidik dari Kumpulan Kejuruteraan Sistem Proses Sel Fuel yang diketuai oleh bekas Pengarah dan Pengasas Sel Fuel serta Felo Penyelidik Utama. Profesor Ir. Datuk Dr. Wan Ramli Wan Daud.

Kuasa penggerak utama enjin tersebut adalah dari timbunan lapisan sel fuel yang menjana kuasa elektrik melalui tindak balas elektrokimia antara hidrogen dan oksigen dari udara pada suhu rendah yang menghasilkan air sebagai sampingan.

Kenderaan sel bahan api itu mempunyai pelepasan sifar dan bersih, mesra alam serta lestari.

Wan Ramli dalam catatan Facebooknya berkata, syarikat kereta terkemuka dunia seperti Toyota, Honda, Nissan, Ford, Renault dan Ganeral Motors akan melancarkan kenderaan komersial sel fuel pada tahun 2015.

UKM diberi mandat oleh Kementerian Pendidikan untuk mengetuai projek yang membangunkan kenderaan asli pelepasan sifar menggunakan sel fuel dengan geran berjumlah RM7 juta selama 3 tahun.

Ia akan dilaksanakan hasil kerjasama beberapa buah universiti dan syarikat automotif di Malaysia dengan harapan supaya dapat mengeluarkan prototaip kereta bahan api sel menjelang tahun 2016.

Wan Ramli turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Pengarah baru Institut Sel Fuel UKM, Prof. Dr. Abu Bakar Muhamad, Timbalan Pengarah, Prof. Dr. Siti Kartom Kamarudin, Prof. Madya Dr. Edy Winson Majlan serta semua felo dan kakitangan makmal yang membantu melancarkan kenderaan itu

Beliau juga berterima kasih dengan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM) Prof. Dr. Mohd. Fauzi Zain dan kakitangan CRIM kerana sokongan mereka.

 

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_03.htm#ixzz3ODDX9mRt


Hakcipta terpelihara 

 

 

 

 

 

 

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_03.htm