Solar Energy Research Institute

Institut Penyelidikan Tenaga Suria | Solar Energy Research Institute

Latar Belakang

Sejarah Penubuhan Institut

Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) ditubuhkan pada 1 Julai 2005. Ianya terbina di atas kesedaran untuk mengurangkan kebergantungan ke atas sumber tenaga berasaskan bahan api fosil yang ternyata menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan global. Bekalannya yang tidak terjamin, penyusutannya yang mendadak berikutan peningkatan permintaan dan juga pengaruh politik antarabangsa menyebabkan harga bahan api fosil tidak terkawal.

Maka, perlunya satu sumber tenaga yang kekal, mapan dan mesra alam dalam memenuhi keperluan manusia. Tenaga keterbaharuan seperti tenaga suria dilihat sebagai tenaga yang berpotensi untuk dibangunkan bagi menggantikan bahan api fosil ini. Bagi menyokong usaha ini, SERI menjalankan program penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan teknologi tenaga keterbaharuan dan pusat penghasilan sumber tenaga manusia yang mahir dalam bidang tenaga keterbaharuan.

 

Falsafah / Rasional Penubuhan

SERI diwujudkan sebagai wadah penyelidikan dalam bidang tenaga keterbaharuan yang menyediakan ilmu pengetahuan yang tinggi dari segi teori dan penggunaannya. Hal ini sejajar dengan matlamat negara bagi membangunkan keupayaan dan kecekapan saintifik untuk menghasilkan modal insan terlatih bagi memenuhi tuntutan tenaga kerja professional yang diperlukan di sektor awam dan swasta.