Program Pengurusan Sumber Genetik Tumbuhan dikendali sebagai satu program peringkat antarabangsa dengan kerjasama daripada Bioversity International dengan tujuan melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran teori yang mendalam dan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk mengurus sumber genetik tumbuhan secara lestari. Program ini diajar oleh ahli fakulti dengan input daripada institusi penyelidikan negara penting seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) and Lembaga Getah Malaysia (MRB). Kaedah ini memberikan peluang kepada graduan untuk menceburi pelbagai bidang pekerjaan berkaitan pengurusan sumber genetik tumbuhan dalam pertanian, perhutanan, bioteknologi dan aktiviti hilirannya. Program ini juga bertujuan untuk menarik minat ahli profesional yang sedang bertugas untuk menambah ilmu saintifik bagi tujuan penyelidikan dan pengajaran.
Kerja kursus & Sepenuh masa
Minimum 2 semester (1 tahun)
Maksimum 4 semester (2 tahun)
Kemasukan – 2 kali setiap tahun (Mac dan Okt)
*tertakluk kepada kalendar akademik UKM
Bahasa Inggeris
Semester | Taraf Kursus | Kod dan Nama Kursus | Jumlah Kredit |
I | Kursus Wajib | STPD6024 Kaedah Penyelidikan STAP6073 Sistem Pengurusan Persekitaran STAP6043 Kepelbagaian dan Sistematik Tumbuhan STAP6974 Projek Penyelidikan I | 14 |
Kursus Pilihan | STAB6903 Kepelbagaian Sumber Genetik Tumbuhan STAB6924 Bioteknologi Tumbuhan Lanjutan | 7 | |
II | Kursus Wajib | STAP6033 Biogeografi STAP6986 Projek Penyelidikan II | 9 |
Kursus Pilihan | STAB6914 Pembiakbakaan Tumbuhan STAB6143 Botani Ekonomi dan Etnobotani STAB6013 Biologi Pemuliharaan | 10 | |
Jumlah Keseluruhan Kredit | 40 |
STPD6024 Kaedah Penyelidikan
Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada bidang penyelidikan. Kursus ini memberikan para pelajar maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan Master atau PhD mereka melalui penyelidikan di FST, UKM. Sepanjang 12 minggu kuliah, pelajar diajar falsafah, dan etika penyelidikan. Mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dalam menulis cadangan penyelidikan mereka, persembahan penyelidikan dan kompilasi penyelidikan dalam bentuk tesis atau disertasi. Kemahiran seperti reka bentuk eksperimen, endnote, mendeley, turnitin, penerbitan, persembahan lisan dan banyak lagi diajar dalam 44 jam kontak dengan pelajar. Pelajar kemudiannya dinilai berdasarkan cadangan penyelidikan, pembentangan cadangan penyelidikan dan dan peperiksaan akhir.
STAB6013 Biologi Pemuliharaan
Keadaan bumi pada masa ini berada ditahap yang kritikal kerana ekosistem semulajadi dan ahli-ahlinya terancam oleh aktiviti manusia. Untuk menangani masalah ini, satu disiplin sains baru telah wujud, iaitu, Biologi Pemuliharaan. Disiplin ini tidak hanya menumpukan perhatian kepada kemandirian spesies. Malah disiplin ini juga mengambilkira aspek falsafah moral, keadilan sosial, ekonomi dan politik. Kursus ini dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk menonjolkan pendekatan multidisiplin ini, iaitu: asal-usul Biologi Pemuliharaan; kepelbagaian biologi dan kepentingannya; ancaman terhadap kepelbagaian biologi; perlindungan, pemulihan dan pengurusan populasi, spesies, habitat dan ekosistem; dan, ekonomi dan pembangunan mapan.
STAB6143 Botani Ekonomi dan Etnobotani
Kursus ini memfokus dan membincangkan aspek-aspek botani tumbuhan yang berkepentingan ekonomi dan etnobotani kepada manusia termasuk peranan tumbuhan di dalam kedudayaan dan tamadun manusia. Ia juga akan mencakupi beberapa kumpulan komoditi tumbuhan utama seperti tanaman makanan (padi, sumber karbohidrat lain), tumbuhan ubat-ubatan dan juga tumbuhan landskap desa dan bandar. Sejarah penggunaan tumbuhan di kalangan penduduk Asia Tenggara akan digariskan dalam aspek biologi, alam sekitar, sosio-ekonomi, kebudayaan dan peranan tumbuhan di dalam pengunaan moden seperti tanaman ladang dan bioteknologi pertanian.
STAB6903 Kepelbagaian Sumber Genetik Tumbuhan
Kursus ini akan membincangkan aspek-aspek berkaitan kepelbagaian sumber genetik tumbuhan, dan memberi penekanan kepada spesies tumbuhan yang penting, termasuk spesies hutan, yang diguna untuk tujuan makanan dan pertanian, bahan mentah industri dan ubat-ubatan. Kepelbagaian sumber genetik bagi tanaman utama, minor, dan yang kurang dieksploitasi akan dibincangkan. Aspek penting termasuk prinsip am mengenai kepelbagaian dan evolusi, asal-usul dan pusat kepelbagaian, takung gen, sistem pembiakan, nilai kepelbagaian tumbuhan, dan penggunaannya dalam pembiakbakaan varieti moden. Kursus ini juga merangkumi pelbagai kemajuan dalam teknologi penanda molekul dan hubungkaitnya dengan sumber genetik tumbuhan, termasuk lawatan lapangan.
STAB6914 Pembiakbakaan Tumbuhan
Kursus ini akan membincangkan tentang pembiakbakaan tumbuhan, dan memberi penekanan kepada semua prinsip genetik dan kaedah yang penting dalam pembiakbakaan tanaman termasuk sistem pembiakan, pewarisan gen, penghibridan dan pemilihan, kerintangan terhadap penyakit dan perosak, saling tindak genotip x persekitaran, manipulasi gen dan kejuruteraan genetik. Tajuk-tajuk berkaitan pembiakbakaan spesies hutan termasuk strategi pembiakbakaan pokok, kaedah pemilihan dan pengeluaran bijibenih. Kursus ini juga meliputi genetik populasi dan kuantitatif yang mempunyai kaitan dengan pembiakbakaan tumbuhan, termasuk lawatan lapangan.
STAB6924 Bioteknologi Tumbuhan Lanjutan
Kursus memberi pengenalan dan kaedah bioteknologi lanjutan yang penting dan melihat bagaimana kaedah bioteknologi baru boleh menyumbang dan digunakan bagi pembaikan tanaman atau dalam program pembiakbakaan pokok. Kaedah bioteknologi termasuk aspek genomik, bioinformatik dan manipulasi genetik merangkumi pemetaan genom tumbuhan dengan penanda molekul, pengklonan berasaskan peta, penjujukan genom, analisis jujukan, vektor untuk pengklonan, kaedah transformasi dan analisis tumbuhan transgenik. Kelas amali yang disaji adalah analisis rangkaian, analisis jujukan dan kaedah transformasi yang diguna dalam pembaikan tanaman dan pokok. Amali/demonstrasi/lawatan adalah termasuk.